‘Jijok Angin’ merupakan istilah tradisional dari Kelantan yang melambangkan satu pengalaman atau rasa yang sangat mendalam, sehingga mampu menyentuh jiwa dan memberikan kepuasan yang luar biasa.
Begitulah pesanan yang ingin disampaikan melalui persembahan seni tradisional Kelantan, Jijok Angin: Pantai Timur, yang akan berlangsung pada 31 Mei dan 1 Jun di Wisma Geylang Serai (WGS), sebuah pusat yang berperanan mengetengahkan budaya dan seni Melayu kepada masyarakat Singapura.
Program anjuran WGS ini mengetengahkan seni tradisional Kelantan seperti Mak Yong, Tari Inai, Silat Jawi, Wayang Kulit, serta muzik rakyat yang menggunakan gendang dan serunai.
Acara ini juga melibatkan kerjasama antara kumpulan muzik genderang Melayu, Genbano dari Singapura; Anak Limbat dari Pasir Mas, Kelantan; Pak Yong, Encik Rosnan Rahman; penari dan koreografer Singapura, Lyn Hanis; serta kumpulan dikir barat tempatan, Si Anak Seni.
Pementasan ini turut menjanjikan pengalaman pelbagai dimensi yang dapat meninggalkan kesan mendalam dengan paparan visual menarik, ditambah elemen pencahayaan dan audio yang memukau, seolah-olah membawa penonton ke suasana negeri Kelantan.
Selain menikmati persembahan utama yang mengasyikkan pada 31 Mei, penonton juga berpeluang menghadiri pertunjukan berskala kecil dan bengkel interaktif pada 1 Jun, yang memberikan ruang untuk memahami dan mendalami seni tradisional Kelantan secara lebih dekat.
Persembahan utama Jijok Angin: Pantai Timur akan diadakan pada 31 Mei di Persada Budaya, WGS, bermula 8 malam.
Manakala, bengkel interaktif yang memaparkan seni Mak Yong (dikendalikan oleh Pak Yong, Encik Rosnan) dan Silat Jawi (dikendalikan oleh guru silat Jawi, Encik Abdullah Abdul Kadir, daripada Pertubuhan Seni Silat Jawi Warisan Anak Limbat, Kelantan), akan berlangsung dari 12 tengah hari hingga 5 petang di Project Studios, Aras 4, WGS.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 27 Mei melalui Zoom, Pengasas Genbano, Encik Idham Ta’al, 51 tahun, yang juga Pengarah Artistik Jijok Angin: Pantai Timur, berkata:
“Saya mula bekerjasama dengan penggiat seni di Kelantan melalui usaha menyediakan alat muzik tradisional di sana, yang secara langsung menghubungkan saya dengan muzik tradisional Kelantan.
“Daripada kerjasama itu, kami menghasilkan sebuah album muzik tradisional Kelantan bertajuk Jijok Angin, yang dipasarkan di seluruh rantau ini.
“Projek ini melahirkan inspirasi untuk memperkenalkan seni dan budaya Kelantan dengan lebih meluas lagi, dan tercetuslah pementasan Jijok Angin.”
Genbano merupakan kedai alat muzik yang beroperasi sejak 2015, membekalkan alat muzik tradisional seperti gendang di sekolah di Singapura dan menerima tempahan melalui platform media sosial seperti laman Facebook dan Instagram.
Selain itu, penggiat seni Pak Yong dari Kuala Lumpur, Malaysia, Encik Rosnan, 53 tahun, turut berkongsi kepentingan mendedahkan seni tradisional Kelantan kepada generasi muda supaya ia dapat terus dihargai dan dilestarikan.
“Cabaran terbesar adalah mempersembahkan seni tradisional yang telah berusia ratusan tahun kepada generasi muda yang mungkin tidak begitu mengenalinya.
“Bagi mereka, seni tradisional seperti Mak Yong atau wayang kulit ada kalanya dianggap lapuk atau tidak relevan.
“Oleh itu, sebagai generasi pelapis yang mengetengahkan seni ini, kami perlu mencari cara untuk menarik minat generasi muda terhadap seni tradisional dengan menyesuaikan persembahan mengikut cita rasa mereka, khususnya di Singapura,” tambah Encik Rosnan.
Sementara itu, aktivis teater dan budaya, Encik Saiful Ahmad Elahi, 46 tahun, selaku Penerbit Kreatif Jijok Angin, berkongsi keterujaannya terhadap kolaborasi antara kumpulan dikir barat tempatan, Si Anak Seni, dengan tukang karut dari Kelantan.
“Melalui Jijok Angin, kami menonjolkan keunikan seni tradisional Kelantan, termasuk seni dikir barat yang turut diberi perhatian.
“Kami akan membawa persembahan dikir barat versi tradisional yang menggabungkan elemen asli dari Kelantan dengan bakat tempatan.
“Ini adalah peluang emas bagi masyarakat Singapura menyaksikan persembahan dikir barat tradisional yang jarang diketengahkan,” jelas Encik Saiful.
Mengulas tentang harapan terhadap pementasan ini, Encik Idham berharap ia menjadi pemangkin kepada usaha melestarikan seni tradisional, sekali gus menjadikan Singapura sebagai pusat penting dalam mengetengahkan seni dan budaya Nusantara kepada generasi muda.
“Sebagai sebuah pusat seni yang merangkumi pelbagai budaya Nusantara, Singapura perlu terus mendukung inovasi dan kreativiti untuk memastikan seni tradisional kekal relevan.
“Sebagai contoh, evolusi dikir barat di Singapura memperlihatkan bagaimana anak seni tempatan memperkayakan persembahan dengan elemen moden, misalnya dengan menggunakan ‘prop’, yang sesuai dengan cita rasa semasa.
“Begitu juga dengan Tari Inai, di mana elemen ‘fusion’ telah diperkenalkan untuk menjadikannya lebih menarik, bukan sahaja kepada masyarakat Melayu, malah kepada pelbagai lapisan masyarakat lain,” tambah Encik Idham.
Tiket persembahan Jijok Angin: Pantai Timur pada 31 Mei, bermula 8 malam di Persada Budaya, WGS, adalah percuma.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg