Hentikan sengketa, mulakan perjalanan damai dalam industri hiburan
Hentikan sengketa, mulakan perjalanan damai dalam industri hiburan
Isu Puteri Balqis, Mia Sara: Tidak perlu panjangkan gosip, ‘membawang’ di ambang Ramadan
Dunia hiburan di Malaysia baru-baru ini kembali hangat apabila dua nama yang tidak asing lagi, Puteri Balqis, atau lebih mesra disapa Aqish, 18 tahun; dan Mia Sara Nasuha, 20 tahun, terperangkap dalam kemelut peribadi di media sosial.
Sebagai bekas pelakon cilik yang membesar di layar kaca televisyen serta dunia perfileman, perjalanan mereka ke alam dewasa nampaknya tidak lari daripada ujian dan konflik masa lalu yang kembali menghantui.
Isu ini tercetus apabila Aqish menuntut permohonan maaf daripada Mia berhubung kenyataan yang dianggap menggores hati ibunya, Norashikin Mohd Aziz, suatu ketika dahulu.
Menurut laporan media sebelum ini, Aqish menyeru nama Mia selepas mendakwa pelakon tersebut pernah menghina ibunya secara terbuka.
Ini termasuk menunjukkan sokongan dengan menekan tanda suka pada rentetan komen yang menghina Balqis serta keluarganya.
Kontroversi itu pula turut disulami dakwaan seorang kru penerbitan yang pernah bekerjasama dengan kededua pelakon, yang mendakwa terdengar perbualan menghina melibatkan Mia Sara dan seorang lagi bekas pelakon cilik, Rykarl, terhadap Balqis.
Di satu sisi lain, saya melihat Balqis sudah ‘lelah’ dengan kecaman dan rasa sering ditindas atau dipandang rendah, lantas mula bangkit mempertahankan maruah keluarganya.
Sementara itu, Mia turut tampil dalam podcast Kita-Kita Aje!, yang dikendalikan oleh Datuk Aznil Nawawi dan dimuat naik di saluran YouTube, menjelaskan kenyataan lamanya itu adalah cerminan ketidakmatangan usia kanak-kanak dan mendakwa keadaan menjadi lebih keruh akibat salah faham netizen.
Dalam era digital ini, sememangnya mudah untuk meluahkan perasaan hanya dengan satu ketikan dan hantaran di media sosial.
Namun, adakah media sosial menjadi wadah terbaik untuk meleraikan sengketa peribadi?
Apabila satu isu menjadi tontonan ramai, ia sering berakhir di meja podcast atau video temu bual demi ‘penjelasan’.
Namun bagi saya, ia hanya memanjangkan rantaian gosip dan budaya ‘membawang’ dalam kalangan masyarakat sekali gus pengamat seni hiburan.
Di samping itu, kehadiran pelakon berpengalaman seperti Datin Seri Umie Aida dan Izara Aishah yang memberikan sokongan moral kepada Balqis menunjukkan betapa pentingnya sistem sokongan.
Menerusi laman web Berita Harian Malaysia (BHM), Umie Aida berkata Aqish membesar dalam suasana yang menyaksikannya melihat kesusahan ibunya.
Lantas, hal ini membentuk Aqish sebagai ‘anak yang sentiasa melindungi ibunya’.
Izara turut meluahkan simpati terhadap Aqish dan akur berkongsi kisah hidup yang hampir serupa.
“Puteri Balqis adik saya dan saya akan mempertahankan orang yang saya panggil ‘keluarga’.
“Kisah hidup kami serupa. Jadi memandangkan dia sememangnya seorang pejuang, jadi saya pun harus...,” tulis Izara menerusi satu hantaran di Threads tanpa menghabiskan ayat, sekali gus memberi bayangan kesediaannya untuk melindungi aktres muda berkenaan.
Saya fikir, alangkah baik jika sokongan ini berhujung menjadi jambatan perdamaian dan bukan kayu api yang menyemarakkan lagi api persengketaan antara kededua pelakon, Aqish dan Mia.
Kini, kita juga sudah menghampiri bulan mulia, Ramadan.
Pastinya, umat Islam diingatkan inilah masa yang paling sesuai untuk bermuhasabah dan membersihkan hati.
Tambahan lagi, dunia hiburan ini sangat kecil.
Hari ini mungkin bertelingkah, esok lusa mungkin ditakdirkan berkongsi set penggambaran yang sama.
Adalah tidak manis jika perselisihan ini dibiarkan berlarutan tanpa ada jalan penyelesaian.
Walaupun ‘diam’ tidak selalunya bermaksud kalah, namun menyelesaikan masalah secara tertutup jauh lebih mulia daripada membiarkan netizen menjadi hakim di ‘mahkamah siber’.
Apapun, saya tidak menafikan hak seseorang untuk mempertahankan diri, namun ada beberapa perkara yang boleh dijadikan pengajaran dalam isu ini.
Antaranya, memiliki ‘circle’ atau lingkungan yang sentiasa membawa kepada kebaikan merupakan kunci kepada kehidupan yang damai.
Sebagaimana rakan-rakan artis wanita yang sering terlibat dalam kegiatan usrah, termasuk Betty Rahmad, Amira Othman, Hawa Rizwana, Amyra Rosli, Wany Hasrita, Nabila Razali, Nora Danish dan Bella Astillah.
Pada masa sama, artis berpengalaman memainkan peranan penting dalam membimbing pelakon muda ini, membantu mereka mengurus tekanan dan cabaran dunia hiburan supaya tidak terperangkap dalam emosi sesaat yang boleh menjejaskan kerjaya atau nama baik sendiri.
Di sebalik setiap tindakan, tersimpan hikmah dan juga keberanian untuk mengambil pengajaran daripada kesilapan lampau, menandakan langkah menuju kematangan yang sebenar.
Sebelum melangkah ke Ramadan yang suci ini, alangkah indahnya jika ruang muhasabah diri dibuka seluas-luasnya.
Seperti pepatah, ‘buang yang keruh dan ambil yang jernih’, kerana pada akhirnya saya percaya bakat hebat merekalah yang ingin terus disaksikan bersinar, bukan sengketa yang berpanjangan.
“
Kini, kita juga sudah menghampiri bulan mulia, Ramadan. Pastinya, umat Islam diingatkan inilah masa yang paling sesuai untuk bermuhasabah dan membersihkan hati. Tambahan lagi, dunia hiburan ini sangat kecil. Hari ini mungkin bertelingkah, esok lusa mungkin ditakdirkan berkongsi set penggambaran yang sama. Adalah tidak manis jika perselisihan ini dibiarkan berlarutan tanpa ada jalan penyelesaian.
