Pelakon popular, Hisyam Hamid, mendedahkan beliau bukan sahaja tidak putus-putus menerima tawaran berlakon, malah banyak kali ditipu penerbit selepas namanya meletup menerusi drama bersiri, Ariana Rose, pada 2013.

Dalam drama bersiri popular itu, Hisyam melakonkan watak pembantu di samping teraju utamanya iaitu pelakon sensasi, Fathia Latiff dan Keith Foo, yang bersiaran di slot Akasia TV3.

Sebagai pelakon baru mencari tapak di Malaysia, Hisyam mengakui beliau juga tidak tahu percaturan dalam industri hiburan tempatan ketika itu.

Pada masa sama, kata Hisyam, beliau juga banyak berurusan sendiri dengan penerbit sebelum bekas isteri, Rosmawati Hanafi atau Mel, bertindak sebagai pengurusnya, lapor Harian Metro.

“Saya masih ingat, ada seorang penerbit terkenal dari Malaysia yang berjanji mahu ambil saya berlakon watak hero untuk slot Akasia TV3. Rumah produksi itu juga minta saya jangan ambil projek lain.

“Pada masa sama, saya juga dapat tawaran berlakon projek usaha sama dengan produksi di Singapura di mana Keith Foo turut berlakon.

“Tetapi, disebabkan saya berpegang pada janji dengan penerbit dari Malaysia itu, saya tolak tawaran terbabit dan beritahu nak bina nama di Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, kata Hisyam, beliau kemudian mendapat tahu menerusi sebuah laman blog, nama pelakon lain pula yang disebut bakal menjadi hero drama terbabit.

“Saya terus hubungi penerbit itu untuk penjelasan dan dia beritahu itu hanya gimik dan tidak lama kemudian, nama saya pun disebut akan berlakon dalam drama itu.

“Tapi, Mel tidak sedap hati sebab gara-gara janji penerbit terbabit, saya sudah menolak lebih 20 tawaran berlakon ketika itu.

“Nak dijadikan cerita saya terus buka Twitter dan dapat tahu penerbit itu tengah ‘shooting’ drama terbabit dan nama pelakon lain pula yang menjadi hero,” katanya.

Justeru, kata Hisyam, beliau terus menghantar mesej panjang lebar kepada penerbit itu untuk meminta penjelasan sekali lagi.

“Saya cakap padanya kalau tak nak ambil saya berlakon beritahu lebih awal dengan harapan dia akan minta maaf, tapi dia langsung tak cakap ‘sorry’ pun. Saya masih ingat dia cakap ‘orang macam awak ‘comes and go’ (datang dan pergi).

“Saya sangat ‘down’ (kecewa) dengan apa yang berlaku kerana sudah tolak semua tawaran berlakon lain sebab berpegang pada janjinya.

“Malah, saya dapat tahu pelakon yang ganti tempat saya untuk projek drama di Singapura juga menang pelakon terbaik.

“Saya beritahu Mel, penerbit itu kalau ‘shooting’ tidak ada kontrak dan sebagai pelakon baru saya pun takut nak tanya.

“Sejak kejadian itu, saya belajar untuk pastikan ada kontrak dalam lakonan dan saya juga sudah senarai hitam nama penerbit itu sampai sekarang,” katanya.

Selain insiden ditipu penerbit berkenaan, Hisyam berkata beliau pernah berdepan kesulitan kewangan di mana dalam dompetnya hanya tinggal RM10 ($3) ketika mula berhijrah ke Malaysia.

Menurutnya, bayaran lakonannya sebagai pelakon baru di Malaysia juga tidak besar ketika itu.

“Saya juga sudah menggunakan gaji sebagai anggota bomba di Singapura untuk bayar orang yang ‘cover’ kerja saya kerana belum berhenti ketika itu.

“Saya masih ingat ketika sesi bertemu peminat drama Ariana Rose di pusat beli-belah yang dihadiri 10,000 orang, akaun bank saya kosong dan dalam dompet cuma ada RM10,” katanya.

Berikutan itu, katanya, Mel terpaksa meminta bantuan kewangan daripada kakaknya untuk mereka menghadiri sesi bertemu peminat terbabit.

“Mel terpaksa hubungi kakaknya di Singapura untuk pinjam $100 dan saya gunakan duit itu beli baju untuk hadiri sesi bertemu peminat dan kami juga singgah makan di set penggambaran dulu sebab nak jimat duit.

“Apa yang berlaku itu, sampai sekarang saya tidak pernah lupa kerana ia menjadi pengajaran dalam hidup,” katanya.