Topik diikuti
Pergi ke BHkuHisyam Hamid tidur tiga jam demi jayakan dua naskhah
Hisyam Hamid tidur tiga jam demi jayakan dua naskhah
Berhasil bikin penonton ‘naik angin’ melalui watak Lukman dalam ‘Ikatan Terlarang’
Hisyam Hamid tidur tiga jam demi jayakan dua naskhah
Hanya seminggu selepas menemui penonton di pawagam Malaysia, filem aksi, Konspirasi, terbitan Elepfilm Entertainment, terpaksa menamatkan tayangannya.
Di sebalik kekecewaan itu, pelakon Singapura, Hisyam Hamid, memilih untuk melihat sisi positif apabila pengalaman membintangi filem aksi pertamanya itu, membuka lebih banyak peluang dalam kerjaya seni.
Walaupun ia bukan filem aksi sepenuhnya, Hisyam, 40 tahun, tidak mengambil mudah tuntutan watak yang dibawakan sebagai Dhani, salah satu anggota pasukan elit Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Filem itu mengisahkan sekumpulan anggota elit SPRM yang diketuai Adli (Datuk Adi Putra), bersama Dhani, Ily (Shiqin Kamal) dan Maya (Alicia Amin), menjalankan operasi bagi menghalang maklumat sulit daripada disalahgunakan pihak tertentu.
Demi memastikan persembahannya tampil meyakinkan, Hisyam menjalani latihan peribadi selama hampir dua bulan sebelum penggambaran bermula.
Sayang seribu kali sayang, tayangan filem itu terpaksa ditamatkan di 120 pawagam serata Malaysia pada 28 Mei, selepas mula ditayangkan pada 21 Mei.
“Sebagai pelakon, kami sudah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.
“Apa yang berlaku selepas tayangan filem itu berada di luar kawalan kami.
“Sejujurnya, saya agak kecewa kerana pada awalnya tidak dimaklumkan mengenai keputusan itu.
“Namun, pihak penerbit kemudian bertemu saya untuk menjelaskan bahawa perkara itu berpunca daripada salah faham, selain memohon maaf.
“Saya berharap akan ada perkembangan positif selepas ini, sama ada filem itu ditayangkan semula atau ditawarkan di platform penstriman.
“Pada masa sama, saya bersyukur melihat sambutan positif penonton di Singapura, yang mana tayangan berterusan selama tiga hingga empat minggu,” kata Hisyam, ketika dihubungi Berita Minggu (BM), baru-baru ini.
Imbau detik cemas kemalangan pelagak ngeri semasa penggambaran
Sepanjang pengalamannya berlakon di Malaysia, ini juga merupakan kali pertama Hisyam berdepan peristiwa kemalangan serius membabitkan rakan pelakon, Datuk Adi Putra, 45 tahun, dan seorang pelakon lagak ngeri.
Kemalangan itu berlaku ketika penggambaran babak aksi jet ski di Sungai Melaka apabila Adi, secara tidak sengaja melanggar individu terbabit sehingga menyebabkan mangsa mengalami patah rahang.
“Saya sebenarnya tidak terbabit dalam penggambaran babak itu kerana waktu panggilan saya pada lewat tengah hari.
“Penggambaran babak berkenaan dilakukan pada waktu pagi kerana bimbang hujan.
“Ketika sedang bersarapan di hotel sekitar Melaka, Adi menghubungi saya dan meminta saya menemaninya keluar.
“Pada mulanya, saya sangka ada masalah lain, tetapi rupa-rupanya berlaku kemalangan ketika penggambaran.
“Apabila mengetahui seorang pelagak ngeri cedera sehingga terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU), saya benar-benar terkejut.
“Saya pasti Adi juga terkesan dengan kejadian tersebut, pada ketika itu. Alhamdulillah, keadaan pelagak ngeri itu kini jauh lebih baik.
“Pada awalnya, kecederaan di bahagian kepala menjejaskan pertuturan dan reaksinya.
“Namun, ketika saya bertemu dengannya pada Mei lalu, keadaannya sudah menunjukkan banyak perkembangan positif.
“Buat masa ini, doktor menasihatkannya supaya berehat daripada sebarang aksi lagak ngeri sehingga pulih sepenuhnya,” kongsi bapa dua anak remaja berusia 16 dan 18 tahun itu.
‘Konspirasi’ jadi titik tolak teroka lebih banyak watak aksi
Walaupun Konspirasi hanya menikmati tempoh tayangan yang singkat, Hisyam tetap bersyukur kerana pengalaman membintangi filem itu membuka lembaran baharu dalam kerjayanya apabila diberi peluang berlakon dalam filem aksi, Black Ops: Operasi Serigala, yang dijadualkan menemui penonton pada awal 2027.
Tidak cukup itu, sebelum penggambaran Black Ops: Operasi Serigala selesai pun, beliau telah ‘dilamar’ untuk menjayakan watak suami curang, Lukman, dalam drama bersiri terbaharu, Ikatan Terlarang.
Drama bersiri arahan Riza Baharudin itu mengisahkan Azura (lakonan Erysha Emyra) yang berdepan pengkhianatan suaminya, Lukman, serta sahabat baiknya, Anabella (Mawar Rashid), sekali gus memaksanya berhadapan dengan pelbagai rahsia gelap keluarga yang mengubah dan menghancurkan kehidupannya.
“Pada awal penggambaran Ikatan Terlarang, jadual saya bertindih dengan Black Ops.
“Selama hampir dua minggu, saya berulang-alik antara dua tempat penggambaran dengan drama (Ikatan Terlarang) pada waktu siang, dan filem (Black Ops) pada waktu malam.
“Ada satu ketika selama tiga hari berturut-turut, saya hanya sempat tidur kira-kira tiga jam dalam tempoh 76 jam.
“Selepas selesai penggambaran filem pada waktu pagi, saya terus ke lokasi drama.
“Setiap kali ada waktu rehat, saya akan mencuri masa untuk tidur kerana jadual itu benar-benar menguji ketahanan fizikal saya,” ceritanya.
Malah, ada masanya Hisyam tetap meneruskan penggambaran drama itu, meskipun mengalami beberapa kecederaan ketika menjalani penggambaran Black Ops: Operasi Serigala.
“Sepanjang penggambaran Black Ops, saya beberapa kali mengalami kecederaan. Antaranya, otot di bahagian tumit terkoyak sehingga saya terpaksa berjalan tempang.
“Saya menjalani rawatan intensif selama beberapa hari bagi mempercepatkan proses pemulihan.
“Namun begitu, kecederaan itu tetap memberi sedikit kesan terhadap pergerakan saya, lebih-lebih lagi kerana Black Ops membabitkan banyak babak berlari dan aksi pertarungan.
“Pada masa sama, kecederaan lama pada bahu kanan saya, yang mana ia pernah terkehel, kembali berulang ketika menjalani penggambaran.
“Mujurlah pihak penerbitan menyediakan ahli fisioterapi di tempat penggambaran, jadi saya dapat menerima rawatan sebelum meneruskan lagi penggambaran seterusnya,” kongsi Hisyam.
Watak suami curang bangkit rasa geram penonton
Mengulas tentang watak Lukman dalam Ikatan Terlarang pula, Hisyam berkata beliau tidak menyangka lakonannya berjaya membuatkan ramai pengguna Threads ‘naik angin’ dengan watak suami curang itu.
“Beberapa hari lalu saya terbaca satu komen di Threads yang mengatakan saya sekarang asyik membawakan watak jahat.
“Sejujurnya, saya anggap itu satu perkembangan yang baik kerana memang sudah lama mengimpikan peluang melakonkan watak antagonis.
“Selepas menjayakan watak Pa’at dalam filem La Luna sebelum ini, saya rasa penerbit semakin yakin untuk memberikan saya watak rumit seperti Lukman.
“Namun begitu, cabarannya ialah memastikan setiap watak jahat yang saya bawa tidak kelihatan sama.
“Lukman lebih bersifat manipulatif, jadi saya banyak bermain dengan ekspresi wajah dan emosi yang lebih halus.
“Bila saya lihat ramai netizen di Threads meluahkan rasa geram dan marah kepada Lukman, saya anggap itu satu pujian kerana maknanya watak tersebut ‘sampai’ kepada penonton,” ungkap Hisyam.
Nota: Drama, Ikatan Terlarang, kini boleh ditonton di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV), setiap Isnin hingga Khamis, bermula 10 malam.

