Topik diikuti
Pergi ke BHkuHisyam Hamid pernah urus mayat reput, kenang detik cemas jadi bomba
Hisyam Hamid pernah urus mayat reput, kenang detik cemas jadi bomba
Hisyam Hamid pernah urus mayat reput, kenang detik cemas jadi bomba
Pelbagai pengalaman mencabar dan berisiko pernah dilalui pelakon tempatan, Hisyam Hamid, sepanjang berkhidmat lapan tahun sebagai anggota bomba.
Bagi Hisyam, 40 tahun, antara pengalaman sukar dilupakan ialah ketika terbabit dalam operasi mencari dan menyelamatkan mangsa yang sudah meninggal dunia dan jasadnya berulat serta berbau busuk.
“Sebagai anggota bomba, saya memang sudah biasa melihat jasad mangsa yang meninggal dunia kerana menggantung diri, kemalangan dan sebagainya.
“Dalam satu operasi yang dijalankan, terdapat mangsa yang dipercayai telah meninggal dunia antara tiga hingga tujuh hari di kediamannya tanpa disedari sesiapa.
“Keadaan mayat yang sudah lama mereput menyebabkan bau yang sangat kuat sehingga sukar dilupakan dan terasa seolah-olah melekat di tekak.
“Bayangkan bila saya makan mi goreng pada keesokan paginya, saya masih lagi boleh ‘rasa’ bau busuk itu di tekak,” katanya, dalam laman Harian Metro.
Bapa dua anak remaja berusia 16 dan 18 tahun itu berkata, tugas dalam operasi mencari dan menyelamat bukanlah mudah, lebih-lebih lagi apabila membabitkan pencarian mangsa yang mati lemas.
“Sebagai anggota bomba, kita perlu berhati-hati ketika mengangkat jasad mangsa lemas sebab kalau kita tekan kuat sikit, tubuhnya akan ‘burst’ (meletup atau organ pecah) dan air akan terpercik keluar dari mayat,” kongsinya lagi.
Ditanya risiko kecederaan pula, pelakon filem, Konspirasi, itu bersyukur tidak mengalami kecederaan teruk sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota bomba.
“Saya pernah alami sedikit kecederaan kerana kecuaian sebelum ini.
“Saya masih ingat ketika itu, saya potong besi pagar yang panas dan saya tidak tarik sarung tangan betul-betul hingga besi panas itu terjatuh dan kena pada tangan hingga kesan parutnya masih ada sampai hari ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, tugasan terakhirnya sebagai anggota bomba sebelum berhijrah ke Malaysia sekitar 13 tahun lalu (2013), turut meninggalkan kesan buat dirinya.
“Saya dapat panggilan untuk operasi mencari dan menyelamat membabitkan kemalangan jalan raya, antara jam 3 dengan 4 pagi, ketika itu.
“Kemungkinan mangsa memandu laju sebelum terbabas. Kereta yang dipandunya kemudian terbakar dan dia terkorban dalam kejadian itu.
“Kejadian itu meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya kerana ia berlaku pada hari terakhir saya berkhidmat sebagai anggota bomba di Singapura,” singkapnya.
Walaupun tidak lagi berkhidmat sebagai anggota bomba, Hisyam menyifatkan pekerjaan itu sebagai satu tugas yang amat bermakna kerana memberi peluang untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan segera.
“Saya menyertai pasukan bomba kerana minat terhadap bidang ini.
“Setiap kali dapat membantu menyelamatkan mangsa kemalangan, kebakaran atau situasi kecemasan lain, saya berasa sangat puas dan bersyukur kerana dapat memberi manfaat kepada orang lain.
“Atas sebab itu juga, saya pernah memasang cita-cita untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah sarjana muda dengan harapan dapat menyandang jawatan pegawai kanan bomba.
“Sebelum meninggalkan perkhidmatan, jawatan terakhir saya ialah sarjan,” kata Hisyam.
