Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hola! ‘Zoom Sepanyol’ akrabkan 2 anak seni

Pengembara ‘bidan terjun’, Qis Maraj, dipikat kerja seni Picasso, diganggu lautan lebah
Aug 24, 2025 | 5:30 AM
Qis Maraj begitu teruja apabila dapat melihat sendiri kerja seni indah pelukis berpengaruh pada abad ke-20, Pablo Picasso, di Muzium Picasso di Malaga.
Qis Maraj begitu teruja apabila dapat melihat sendiri kerja seni indah pelukis berpengaruh pada abad ke-20, Pablo Picasso, di Muzium Picasso di Malaga. - Foto POETRY IN MOTION

Anak seni serba boleh, Qis Maraj, yang memulakan kerjaya hiburannya sebagai ‘rapper’ sewaktu di Politeknik Singapura (SP) lagi, pantang dipelawa mengembara.

Malahan, sejak tahun lalu (2024), Qis, 25 tahun, atau nama sebenarnya, Nurbalqis Mohamed Muzamil, menetapkan matlamat meneroka sebuah negara Asia Tenggara hampir setiap bulan, demi meninjau budaya dan warisannya.

Kerana kespontanannya untuk siapkan bagasi semalaman dan langsung menaiki pesawat tanpa banyak perancangan, bahkan tak kisah pun kalau perlu kembara solo, ibunya mula bimbang banyak wang akan dibazirkan bagi hobi kembara ‘bidan terjunnya’ itu.

Bagaimanapun, hati ibu tercinta Qis lega apabila anaknya yang sudah bergelar pelakon siri drama Anak Metropolitan 4.0 dan deejay Ria 897, berjaya dalam sesi uji bakat siri kembara realiti, Zoom Sepanyol.

Program sejam yang akan mula disiarkan di saluran Mediacorp Suria pada 28 Ogos ini diterbitkan syarikat penerbitan, Poetry In Motion.

Dalam lapan episod, penonton dibawa meninjau keindahan tujuh kota di Sepanyol, Madrid, Barcelona, Valencia, Granada, Malaga, Cordoba dan Granada.

Sebagaimana jelas Qis, belia ramah yang juga mengendalikan kelas lungsur kasut lereng atau ‘rollerblading’ ini, ketika dihubungi Berita Minggu (BM):

“Mak saya selalu bising, ‘Kau ni merayap aje, habiskan duit. Tiap-tiap bulan tak tahu duduk diam di Singapura’.

“Bagaimanapun, apabila saya lulus uji bakat Zoom Sepanyol, mak paling gembira dan bersyukur. Sebab katanya, ada makna juga saya dapat mengembara dengan semua kos penginapan dan penerbangan ditanggung.

“Dapat gaji pula sebab menjadi pengacara! Pastinya ia peluang yang saya nantikan untuk lebih meneroka warna-warni dunia penyiaran.”

Qis dipasangkan dengan seorang lagi bakat muda yang kecoh dan petah sepertinya, Farah Farook, 27 tahun, yang bakat mengacara dan berlakonnya ditemui menerusi program pencarian bakat Suria, Elit Suria.

Ikuti wawancara BM bersama Qis yang akui dirinya gemarkan pengalaman baru dan berani menjelajah tempat unik.

Soalan: Apa perasaan Qis apabila dipilih untuk Zoom Sepanyol?

Qis: Saya memang ‘kaki kembara’. Saya dambakan pengalaman baru yang membuka mata saya. Pernah terfikir alangkah seronoknya kalau saya boleh usahakan blog kembara sendiri dan dibayar untuk melancong.

Saya sudah pergi ke Bali, Thailand, Filipina, Kemboja dan Vietnam, sama ada dengan teman-teman mahupun secara bersendiri dalam tempoh setahun ini.

Memang saya pastikan setiap bulan, mesti nak keluar dari Singapura untuk mencari diri saya sendiri.

Sebab saya suka pergi melancong seorang diri adalah kerana leceh nak buat perancangan dengan orang lain. Nanti hegeh-hegeh, sampai bila pun tak jadi melancong.

Jadi apabila saya lulus uji bakat Zoom Sepanyol, saya teruja. Asalnya, saya diberitahu akan ke Turkey tetapi pada hari kami nak berangkat, saya dimaklumkan ada pertukaran rancangan.

Walaupun saya terkilan sebab dah sertai kursus berbahasa Turkey secara sendiri dan tak dapat pula ke destinasi impian, saya tetap bersyukur saya dapat menjejakkan kaki ke Sepanyol.

Saya pernah ke kawasan pinggir pantai di Sepanyol pada 2024 tetapi tak pernah meneroka kesibukan kota Madrid dan Barcelona. Lantaran itu, saya tetap teruja ke Sepanyol.

S: Qis dan Farah tidak pernah bekerjasama sebelum ini. Apa tanggapan peribadi dan pandangan pertama Qis tentang Farah?

Qis: Mulanya, saya takut Farah ni jenis yang mudah tak suka orang dan cepat menilai orang. Bimbang kalau sepanjang kembara sebulan ini, kami akan berselisih faham. Dahlah kami berjauhan dari keluarga. Tempoh sebulan cukup lama.

Saya takut Farah juga akan memendam rasa. Tapi Alhamdulillah, Farah akan cakap sejujurnya kalau ada perkara membuatnya tak senang hati. Beliau jujur dan tak mudah ambil hati.

Kami selalu akan saling minta maaf dahulu sebelum penggambaran dibuat. Takut terlepas cakap.

S: Apakah tempat yang Qis anggap mencabar di Sepanyol?

Qis: Sewaktu di Ronda, kami berkunjung ke ladang lebah. Walaupun saya suka pengalaman baru, tapi saya ni tak ‘ngam’ pula dengan Cik ‘Lebah’!

Saya diminta masuk ke ladang lebah dengan set topi jejaring bagi melindungi saya daripada disengat puluhan lebah di situ.

Berdesing telinga saya sebab bunyi lebah itu betul-betul ‘memekak’ bersebelahan telinga saya. Saya nak berbual pun tak dengar suara saya. Kena pekik-pekik.

Kadangkala ketakutan sendiri sebab lautan lebah boleh bikin trauma hidup saya!

S: Apakah pula pengalaman menyeronokkan sepanjang penggambaran Zoom Sepanyol?

Qis: Saya paling seronok apabila dapat menjejakkan kaki ke Muzium Picasso di Malaga. Malaga merupakan kota kelahiran Picasso. Buat kali pertama, saya dapat lihat kerja seni pelukis paling berpengaruh abad ke-20, Pablo Picasso, di depan mata saya.

Saya tak boleh melukis tetapi saya suka mencuba. Kami diberi satu aktiviti cabaran di Instagram. Kami diminta melukis dan perlu dapat antara seribu dengan 2,000 ‘Likes’ atau tanda suka pada lukisan kami yang dimuatnaikkan ke Instagram.

Dari situ, saya tahu siapa teman-teman yang benar-benar menyokong saya dengan berkongsi semula kerja seni saya.

S: Dengarnya, ada kisah menyeramkan apabila bekalan elektrik terputus sewaktu di sana. Ia menjejas seluruh Sepanyol sampai mengganggu bekalan elektrik di Portugal dan Perancis juga.

Qis: Ya, ketika itu, kami sedang menjalani rawatan spa. Tahu-tahu lampu mati. Air yang hangat jadi sejuk. Macam spa ‘Halloween’ sebab semuanya dilakukan dalam gelap! Telefon bimbit tak dapat digunakan. Penggambaran tertunda. Nasib kami tak dalam kereta api. Kalau ‘tersendat’ dalam gerabak, bagaimana?

S: Kalau boleh mengacara rancangan Zoom selanjutnya, ke mana destinasi impian?

Qis: Pilihan saya Italy. Sebab selain ada ramai jejaka kacak, kota di Italy memberikan rasa nostalgia. Klasik dan vintaj. Saya bagaikan boleh kembara masa dan jenguk kehidupan dan seni bina lama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg