Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gigih teruskan legasi program kembara realiti ‘Zoom’ hingga ke Sepanyol

Anak didik penerbit veteran, Fauziah Abdul Hamid, harungi jerih payah demi bawa penonton S’pura tinjau destinasi impian
Aug 14, 2025 | 5:30 AM
Zoom, Sepanyol, Poetry In Motion, Safiyuddin Razif, Nusaibah Abdul Rahim
Pengarah ‘Zoom Sepanyol’, Safiyuddin Razif (duduk, kiri), dan penerbit, Nusaibah Abdul Rahim (duduk, kanan), teruja meneruskan legasi Allahyarhamha Fauziah Abdul Hamid yang memulakan idea siri kembara, ‘Zoom Thailand’. Bersama mereka dalam foto ialah (duduk, bermula dua dari kiri) pengarah fotografi, Helmindra J.A Halim; pereka imej, Mimi Jasmine; pengacara Qis Maraj dan Farah Farook; serta (berdiri dari kiri) penolong produksi, KhaiFad; penata audio, Nizlan Sani; dan jurukamera, Muhd Zakir Baharin. - Foto POETRY IN MOTION

Dalam kesibukan pengarah, Safiyuddin Razif, dan penerbit, Nusaibah Abdul Rahim, mengendalikan penggambaran program kembara realiti, Zoom Sepanyol, sekitar lewat April lalu, mereka tidak menyedari seisi kota Valencia, terjejas dengan masalah bekalan elektrik terputus.

Bukan sahaja semua kota Sepanyol mengalaminya, malah gangguan teruk ekoran isu teknikal dan perancangan grid kuasa itu turut mengganggu kehidupan seharian sebahagian penduduk negara jiran Sepanyol di Portugal dan Perancis.

Namun, kejadian itu tidak mematahkan semangat kru penerbitan Zoom Sepanyol yang diusahakan syarikat penerbitan setempat, Poetry In Motion.

Program yang kembali di kaca televisyen Mediacorp Suria pada 28 Ogos ini – selepas genap 10 tahun tidak muncul kerana beberapa hambatan termasuk wabak Covid-19 – malahan meninggalkan kenangan manis buat Safiyuddin, 41 tahun, dan Nusaibah, 42 tahun.

Jauh di lubuk hati mereka, siri kembara Zoom, yang dimulakan Allahyarhamha Fauziah Hamid, penerbit yang dianggap sinonim dengan gelaran ‘Ratu Program Realiti’ sekitar 21 tahun lalu, di bawah syarikat penerbitan Mediamorphosis, harus diteruskan sebagai satu legasi.

Fauziah, yang dikenali dengan panggilan mesra Kak Pau, meninggal dunia pada Mei 2023, malahan tak sempat untuk meneruskan perjuangannya dalam siri Zoom, sebab awalnya ingin bekerjasama dengan Nusaibah dan Safiyuddin bagi mengusulkan projek Zoom Turkey, yang terpaksa diubah pada saat-saat akhir menjadi Zoom Sepanyol atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Nusaibah dan Safiyuddin yang pernah menjadi anak didik Kak Pau di Mediamorphosis sepakat menyatakan keinginan mereka untuk meneruskan perjuangan mentor mereka dalam siri Zoom ini sebagai satu legasi.

“Sebenarnya, sebelum Covid-19 melanda, kami memang bekerjasama dengan Kak Pau untuk usahakan Zoom Turkey.

“Banyak yang kami pelajari daripada usaha Kak Pau menerbitkan program realiti. Yang pertama dalam siri ini ialah Zoom Thailand.

“Apabila beliau usahakan Zoom Hong Kong, kami sudah pun bekerja di Mediamorphosis dan mula mengenali satu sama lain dan membangun sinergi yang utuh hingga hari ini di Poetry In Motion,” jelas Nusaibah, yang sempat mempelajari bahasa Sepanyol dalam talian bagi memudahkan komunikasi di negara itu.

“Memanglah dapat bayangkan pertuturan saya yang tak fasih, mungkin dari segi tatabahasanya, ibarat kucing dan anjing, berlaku.

“Tapi sekurang-kurangnya, dengan pengetahuan bahasa asas itu, kami bolehlah saling memahami,” kongsinya.

Mereka berdua turut terlibat dalam pembikinan Zoom Korea, Zoom Jepun dan Zoom New Zealand, dan seronok melihat drama berlaku antara gandingan dua pengacaranya, yang biasanya berbeza personaliti bak langit dan bumi.

Safiyuddin pula berkata apabila dapat mengembara ke Sepanyol, hatinya senang dan sudah bersedia menyahut cabaran mengunjungi tujuh kota negara itu, iaitu Madrid, Barcelona, Valencia, Granada, Malaga, Cordoba dan Granada.

“Memandangkan pengalaman di New Zealand berlaku 10 tahun lalu, kami dapat bereksperimen dengan peralatan kamera lebih canggih dan penggunaan dron.

“Mutu filemnya juga lebih baik dan bukan setakat untuk siaran televisyen. Pengacara pun dari generasi berbeza. Yang muda kini berani meluahkan apa sahaja secara jujur. Kita boleh tinjau evolusi generasi dan penggunaan bahasa mereka.

“Pastinya, saya tak akan lupakan peristiwa bekalan elektrik terputus selama dua hari di Sepanyol. Kami tak perasan hinggalah orang tempatan di negara itu semua bergegas keluar dari kedai.

“Lampu trafik mati. Tiada talian telefon. Kecoh seketika. Ingatkan bekalan elektrik terputus seperti kegelapan seketika. Rupanya ia masalah besar sampai menjejas negara jiran seperti Portugal,” ujarnya.

Nusaibah pula berkata kembara di tujuh kota Sepanyol itu mengambil masa sebulan untuk kemudian disiarkan dalam lapan episod.

“Bezanya, kalau siri Zoom dahulu cuma setengah jam, Zoom Sepanyol lebih panjang, iaitu sejam bagi setiap episod.

“Kami kaji apa yang boleh dilakukan pengacara kami, Qis Maraj dan Farah Farook, di Sepanyol.

“Lagi pun, ada banyak khazanah sejarah Islam di negara ini. Pelancongan di Sepanyol juga kian menarik perhatian masyarakat Muslim di Singapura,” jelas Nusaibah.

Mengenai pemilihan Qis dan Farah, kededuanya 20-an tahun, Safiyuddin mendapati ia gandingan yang unik sebab mereka mempunyai personaliti yang berlainan.

“Seperti biasa, kami nak tengok bagaimana dua wanita muda yang mempunyai personaliti berbeza dapat harungi cabaran bersama apabila mereka menetap di bilik yang sama dan perlu banyak berurusan dalam kembara ini.

“Memang Qis dan Farah kaki melancong dan biasa mengembara seorang diri tetapi Qis lasak dan boleh saja buat lawatan mendadak... jenis ‘go jer’ dan tak kisah tinggal di tempat yang ala kadar sahaja.

“Ini berbeza dengan Farah yang suka merancang lawatannya terlebih dahulu dan lebih selesa berada di tempat-tempat yang bersih dan teratur

“Kerana gandingan pengacara wanita lebih banyak drama, sepanjang siri Zoom kecuali di New Zealand, kami lebih suka tampilkan pengacara wanita berbanding lelaki yang selalunya ‘cool’ dan tak banyak drama,” kata Safiyuddin

Beliau melihat kesungguhan Qis untuk belajar bahasa Turkey kerana menyangka negara itu bakal dikunjungi.

Namun, apabila destinasi ditukar dan hanya diberitahu kepada pengacara pada hari keberangkatan mereka ke Sepanyol, kededua Qis dan Farah memang teruja walaupun risaukan perihal tak cukup kajian.

Ditanya mengenai kota yang digemari, Safiyuddin berkata Madrid dan Granada yang dilawati pada penghujung lawatan sebulan itu.

“Memang saya rasa penat dan rindu rumah dan keluarga tapi selepas pergi ke dua kota ini, saya sukakan suasananya sampaikan dalam kerinduan, dalam hati kecil berbisik, ‘Macam tak nak balik!’” kongsinya.

Nusaibah pula gemarkan khazanah warisan di Cordoba dan juga suasana tepi pantai di Malaga.

“Saya rasa ketenangan bercampur kesayuan menyelubungi jiwa. Tenang sebab cuaca indah di Malaga dengan pemandangan kawasan pantai yang saujana mata memandang.

“Rasa hiba pula apabila menjejakkan kaki bekas masjid yang berubah menjadi gereja kecil. Masih ada lagi hasil peninggalan tulisan dan ukiran ayat suci di situ.

“Kalau dikaji sejarahnya, memang menyentuh kalbu,” ujar Nusaibah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg