Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Huda Ali raih anugerah sebelum ucap selamat tinggal pada ‘Cantik Detektif’

Penerima ‘Pengacara Terbaik – Informasi’ ingin beri laluan kepada bakat lain selepas 10 tahun teroka rawatan kecantikan dunia
Jun 4, 2025 | 5:30 AM
CANTIK DETEKTIF, HUDA ALI, FIZA O, PESTA PERDANA
Huda Ali hargai peluang mengacara bagi ‘Cantik Detektif’ sepanjang sedekad lamanya dan menganggapnya sebagai peluang membuka mata meskipun mengambil keputusan mengundurkan diri daripada program itu. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Setiap yang bermula pasti akan berakhir.

Dalam setiap yang dibangunkan, akan ada detik titik noktahnya.

Walau bagaimanapun, biarlah penutup tirai sesuatu projek atau program itu meninggalkan kenangan manis dengan satu kejayaan yang boleh disimpan dalam diari kehidupan.

Begitulah yang tersemat di hati pengacara dan usahawan, Huda Ali, 39 tahun, apabila diangkat sebagai ‘Pengacara Terbaik – Informasi’, pada Pesta Perdana 2025, yang berlangsung di Teater Mediacorp pada 24 Mei lalu.

Ibu dua anak berusia enam dan 12 tahun itu dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan, hasil penglibatannya sebagai hos program Cantik Detektif (Musim Kelima).

Baginya, tidak manis atau tidak sesuai untuknya meneruskan tugas sebagai pengacara program tentang rawatan kecantikan merata dunia ini, memandangkan beliau sudah berhijrah dengan imej barunya yang berhijab kini.

Calon lain dalam kategori ini adalah Ainon Talib (Kanvas Harapan); Khairudin Saharom (Zakat SG 2023); Natasha Faisal (Manja Musim Kelapan); dan Zhin Sadali (Manja Musim Kesembilan).

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Huda dengan wajah ceria berseri-seri, berkata:

“Saya masih ingat kali pertama saya genggam trofi ‘Pengacara Terbaik – Informasi’ adalah pada 2019 bagi Cantik Detektif Musim 4.

“Pada masa itu, saya hamil dengan anak kedua. Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini kerana dengan hasrat saya mengundurkan diri daripada menjadi pengacara bagi Cantik Detektif, sekurang-kurangnya akan ada ‘penutup’ yang manis.

“Tak adillah bagi saya untuk meminta pihak penerbit menukar jalan cerita dan konsep program ini walaupun ada kata ia cukup sinonim dengan diri saya.

“Program ini mengetengahkan rawatan kecantikan, dari hujung rambut sampai hujung kaki.

“Dengan keadaan saya yang berhijab kini, banyak perkara yang tidak sesuai sebab memerlukan pengacara menunjukkan rambut, kaki, tangan dan bahagian tubuh dalam rakaman bentuk rawatan.

“Saya kira sudah sampai masanya saya memberi laluan kepada pengacara atau bakat lain seandainya ada musim keenam Cantik Detektif.”

Menurut Huda, atau nama sebenarnya, Nurhuda Mohamed Ali, bohonglah jika dikatakan beliau tidak rasa berat hati melepaskan program ikonik seperti ini, yang banyak menaikkan namanya di persada seni.

“Tapi saya yakin rezeki di tangan Allah. Tak kisahlah, sedikit atau banyak, saya tidak fikir langkah mengenakan hijab ini merupakan satu sekatan.

“Rezeki kita sudah tertulis. Saya selalu bersangka baik dan yakin ada ruang dan peluang lain kerana kita kini mempunyai banyak platform untuk diterokai,” ujarnya.

Huda juga akan mengenang Cantik Detektif yang dijayakannya selama 10 tahun sebagai wadah yang membukakan matanya pada kerencaman budaya dunia dan amalan kesihatan atau kecantikannya.

“Tapi, yang lebih seronok adalah saya mendapat ramai kenalan dari Korea, Indonesia, Thailand, yang saya temui sewaktu penggambaran.

“Sekarang kalau nak melancong bersama keluarga, saya boleh hubungi mereka yang akrab dan mesra.

“Itulah hikmah menjalani penggambaran di luar negara. Dari orang yang diwawancara, mereka jadi teman karib,” jelasnya.

Pada 2025, Huda pula memperlahankan kegiatan seninya kerana anak sulungnya, Leia Qaseh, bakal menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

“Saya ingin tumpukan perhatian pada persiapan Leia untuk peperiksaan besar ini.

“Tapi ada juga tawaran mengacara di luar dan juga bagi program kuiz Tuah 13.

“Saya sangat suka bidang mengacara sebab ia memberi saya peluang menjadi diri saya sendiri. Asal pandai bahagikan masa antara keluarga, perniagaan dan bidang seni, saya selesa melakukan semuanya.

“Dengan penampilan baru saya berhijab, lebih senang untuk rancang penampilan saya seadanya bagi acara di luar,” kata juara Anugerah Skrin itu lagi.

Menurut Huda, dalam mencari rujukan dan takrifan seorang pengacara berwibawa dan berkesan, beliau akan lihat pada cara selamba dan melucukan pengacara Indonesia, Sarah Sechan, dan pelakon Cinta Bollywood, Suhaillah Salam, menerajui program hiburan.

“Saya suka dengan cara Sarah dan Suhaillah. Sebab mereka adalah diri mereka yang sendiri.

“Dari dulu, saya tonton Sarah di MTV. Saya kata, ‘Naklah jadi macam dia!”

Bagaimanapun, buat masa ini, banyak perkara yang diperlahankan termasuk perniagaan meski mendapat sambutan menggalakkan bagi acara Ramadan, bazar LalooLalang.

“Tumpuan saya seperti yang saya beritahu pada suami ialah Leia bagi 2025. PSLE peperiksaan besar.

“Saya juga rakam beberapa klip video bersamanya, lebih pada proses penghijrahan saya walaupun pada usia 12 tahun, Leia tak pernah bertanya atau rasa pelik apabila saya berhijab.

“Saya ingin beliau faham bahawa menjadi seorang Muslimah bukan sahaja melibatkan pemakaian hijab untuk menutup aurat. Tapi ia lebih daripada itu, membabitkan penerapan nilai murni dalam setiap langkah kita untuk jadi yang lebih baik setiap hari.

“Saya nakkan dia tahu dan kami sering bersembang. Sebab buat masa sekarang, mungkin masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan.

“Suatu hari, apabila dia dewasa dan matang, kalau sesuatu perkara berlaku, dia akan mengingati apa yang ibunya pernah kongsi dengannya. Itulah harapan saya,” jelas Huda.

Mengenai kerjasamanya mengenai mantan penyiar dan kini pempengaruh media sosial yang mempunyai ramai pengikut, Fiza O, Huda hargai persahabatan yang dibina menerusi pelbagai kerjasama dan perniagaan.

“Saya sebenarnya sedih tak dapat sokong Fiza yang sama-sama mengendalikan acara Malam Seram di The Star Theatre sebab saya perlu ada di Pesta Perdana.

“Tapi beliau beri saya keyakinan saya harus datang ke Pesta Perdana. Sebab itu, Leia temankan saya sebab saya minta suami saya, Den Sabari, sokong Fiza dan suaminya, KC Champion, di Malam Seram.

“Bagi saya, Fiza adalah wanita bersemangat waja yang boleh menjaga anak-anaknya tanpa bantuan pembantu rumah.

“Banyak yang dilakukannya dalam persada seni ini. Alhamdulillah, keluarganya banyak menyokong. Saya malahan banyak belajar daripada kecekalan Fiza.

“Mudah-mudahan, kami dapat bekerjasama lagi. Saya sibuk dengan Leia. Beliau juga ada anak kecil untuk diuruskan sebab baru juga melahirkan.

“Dengan usia saya yang kian meningkat, saya cuba mengumpul seberapa banyak pahala dengan perkara-perkara yang baik untuk keluarga dan masyarakat,” ujar Huda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg