Selepas 39 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, pelawak veteran, Husin Saaban, bakal kembali beraksi di atas pentas menerusi sebuah acara makan malam dan persembahan komedi, Temu Lawak.

Ia akan berlangsung di De Villa Ballroom, yang terletak di Centrium Square, pada 31 Oktober, bermula 6.30 petang.

Acara berkenaan menghimpunkan 12 pelawak dan penggiat hiburan lain, dalam usaha Husin untuk mengubati kerinduan peminat terhadap jenaka dan gelagat komedi yang pernah mewarnai zaman kegemilangannya.

Husin berkata Temu Lawak ini juga menjadi satu cabaran buat dirinya yang ingin disahut.

Penerima Anugerah Perdana Emas di Pesta Perdana 2025, Husin Saaban kembali berkarya dengan Temu Lawak untuk mengubati rindu para peminat.
Penerima Anugerah Perdana Emas di Pesta Perdana 2025, Husin Saaban kembali berkarya dengan Temu Lawak untuk mengubati rindu para peminat. - Foto fail

“Saya mahu melihat sama ada penonton masih mempunyai ‘selera’ terhadap karya lawak saya dan sama ada saya masih mampu buat mereka ketawa,” katanya yang berusia 73 tahun, ketika ditemui Berita Harian (BH) pada sidang media Temu Lawak pada 14 Ogos, di De Villa Ballroom.

Berkarya sejak 1967 sebagai penulis dan pelakon, Husin berkata, idea Temu Lawak tercetus daripada keinginannya untuk kembali mendekati peminat, selain membuktikan beliau masih mampu menghasilkan karya komedi yang relevan.

“Apabila saya jalan di luar atau menghadiri acara, ramai yang akan menegur dan bertanya jika saya akan hasilkan karya lagi ataupun tidak.

“Ada juga yang meluahkan kerinduan menyaksikan saya dan rakan industri seangkatan membuat lawak atas pentas dan dalam filem,” katanya lagi.

Antara penggiat seni yang terlibat dalam acara lawak ini termasuk Suhaimi Yusof, Ahmad Stokin, Sahfuddin Mahfudz dan Haryani Othman, selain seorang artis misteri yang bakal membuat penampilan khas.

Enggan membocorkan identiti artis berkenaan, Husin sekadar mengusik peminat dengan persoalan sama ada individu itu seorang pelawak atau penyanyi.

Temu Lawak bakal mengetengahkan tiga sketsa komedi berbentuk skrip pendek, termasuk sebuah sketsa berunsurkan komedi seram.

Bagi Husin, beliau bukan sekadar mahu menghiburkan penonton, malah menjadikan persembahan ini ruang untuk mengetengahkan komedi yang menghiburkan tanpa bergantung kepada unsur lucah atau keterlaluan.

Sebagai penggiat seni yang sudah lama berkecimpung dalam industri, Husin mengakui dirinya kini lebih berhati-hati dalam menghasilkan bahan komedi, terutama apabila mengambil kira usia serta kedudukannya sebagai pelawak veteran.

Beliau juga mahu komedi yang dihasilkan membawa pesanan positif, khususnya kepada generasi muda, agar penonton bukan sahaja ketawa tetapi turut membawa pulang sesuatu daripada persembahan berkenaan.

Perjalanan hampir empat dekad dalam dunia hiburan turut menyaksikan Husin kehilangan ramai rakan seperjuangan yang pernah menjadi ‘sayap’ beliau dalam berkarya.

Pemergian Allahyarham Yusoff Maruwi, yang merupakan rakan seperjuangannya, membuatkan Husin semakin menyedari ramai penggiat seni dalam kalangan generasinya kini sudah tiada.

“Selepas Yusoff Maruwi meninggal (dunia), saya dah semakin banyak patah ‘sayap’.

“Saya tidak akan mungkin buat pementasan ini jika ramai di antara mereka sudah tiada. Jadi, ini merupakan antara sebab saya buat Temu Lawak.

“Harapan saya, kepada yang merindui persembahan kami, dapatlah ia mengubat rindu itu,” ujarnya.

Husin sebelum ini turut menerima Anugerah Perdana Emas di Pesta Perdana 2025, namun pengiktirafan itu tidak bermakna beliau mahu berhenti berkarya.

Sebaliknya, beliau mengakui masih menyimpan keinginan untuk kembali menghasilkan program, menulis skrip dan berlakon.

Sebelum ini, Husin yang pernah berkarya dalam beberapa projek di seberang Tambak, berpandangan karya komedi dan penggiat seni tempatan Singapura kadangkala kurang mendapat perhatian daripada pihak media serta industri hiburan.

Antara pengalaman beliau di Malaysia termasuk menerusi Karoot Komedia, program komedi berlandaskan dikir barat yang diterbitkan Astro dan menampilkan pelawak tempatan Malaysia seperti Jep Sepahtu, Ebby Yus dan Johan Raja Lawak.

Bagi Husin, kejayaan Temu Lawak kelak diharapkan dapat menjadi bukti masih wujud penonton yang menghargai karya komedi tempatan dan bersedia menyokong penggiat seni Singapura.

Beliau mahu persembahan itu menjadi satu wadah yang bukan sahaja menghidupkan semula nostalgia komedi generasinya, malah turut membuka ruang kepada pelawak dan pelakon tempatan untuk berkarya.

Dalam pada itu, Husin berkongsi cabaran membentuk sebuah kumpulan pelakon dan pelawak muda Singapura yang benar-benar kukuh serta mempunyai keserasian seperti kumpulan yang pernah wujud pada zamannya.

Menurutnya, perubahan sikap terhadap wang, ketepatan masa, disiplin, rasa hormat dan komitmen menjadikan usaha membina sebuah kumpulan yang rapat dan saling memahami lebih mencabar.

Beliau akur bakat semata-mata tidak mencukupi untuk seseorang bertahan dalam industri hiburan.

“Bakat itu penting, tetapi karakter, disiplin dan kesediaan untuk belajar juga penting.

“Kalau mahu bertahan lama dalam industri ini, seseorang itu perlu tahu menghormati orang lain, menepati masa dan mempunyai komitmen terhadap kerja,” katanya.

Sebagai otai, Husin melihat dirinya mempunyai tanggungjawab untuk berkongsi pengalaman dengan generasi pelapis.

Beliau pernah cuba membimbing beberapa pelakon dan penggiat seni muda, dengan harapan mereka bukan sahaja dapat mengembangkan bakat, bahkan turut memahami nilai serta disiplin yang diperlukan untuk membina kerjaya yang panjang.

Baginya, pengalamannya dalam industri adalah sesuatu yang boleh diwariskan kepada generasi seterusnya.

Lebih daripada sekadar kembali ke pentas, Husin berharap Temu Lawak dapat berkembang menjadi sebuah wadah komedi yang berterusan dan bukan sekadar persembahan sekali sahaja.

Beliau mahu acara itu menjadi permulaan kepada lebih banyak peluang untuk menghasilkan skrip, membangunkan program serta mengetengahkan bakat tempatan.

Baginya, usia bukan alasan untuk berhenti berkarya.

Selagi masih mempunyai idea, tenaga dan penonton yang sudi ketawa, beliau percaya masih ada ruang untuk komedi tempatan terus hidup dan berkembang.

Temu Lawak akan berlangsung di De Villa Ballroom, yang terletak di Centrium Square, pada 31 Oktober, bermula 6.30 petang.
Temu Lawak akan berlangsung di De Villa Ballroom, yang terletak di Centrium Square, pada 31 Oktober, bermula 6.30 petang. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM HUSIN SAABAN

Tiket untuk Temu Lawak akan dijual pada harga $80, menerusi Hamidah Travel & Tours, salah satu penaja bagi acara tersebut dan juga boleh ditempah di laman ini.