Kata-kata emas yang tercoret di dalam buku riwayat hidup anak seni Singapura, Husin Saaban, Moga Ceria, memberi penulis gambaran nyata tentang semangat gigih lagi tulus ikhlasnya berkarya dan menimba ilmu demi memperkasa diri dan persada hiburan di sini.
Misinya adalah untuk ke Seberang dan mengumpul pengalaman yang kemudian dapat menaiktarafkan mutu arena komedi di Singapura agar kita juga boleh berbangga dengan sekumpulan bakat tempatan yang berkesan dalam mencuit hati ramai.
“Sudah lama saya berenang di kolam, bila kesempatan diberi untuk berenang di lautan, saya tidak lepaskan peluang emas yang diberikan, untuk menuju ke pulau impian, saya harus berdepan dengan ombak dan badai yang melanda.”
Begitulah yang tertulis dalam buku Moga Ceria yang diterbitkan Jamiyah Singapura pada 2023.
Ia, antara lain, menceritakan tentang perjalanan seni Husin dan proses menyerantau, di mana beliau ketepikan rasa berat hatinya untuk tinggalkan keluarga di Singapura bagi menebar sayap dalam membantu membangun arena lawak di Malaysia menerusi saluran Astro.
Husin, 72 tahun, memang berbakat besar bukan sahaja dalam bidang lawak jenaka tetapi dalam bidang seni suara dan mempunyai band sendiri.
Katanya, menyanyi memang cinta pertamanya yang mekar dalam suasana santai dan penuh nostalgia. Beliau aktif berlakon dan menyanyi, malahan menganjurkan pertandingan seni suara dan band di Balai Rakyat Taman Jurong.
Membawakan peranan serius dalam pementasan juga pernah digalasnya di samping menulis lirik puitis tentang pergolakan dunia, naskhah pentas atau sketsa komedi.
Mata penanya memang tajam dan pengamat dunia hiburan akan sentiasa mengenang Husin sebagai tokoh seni Singapura yang mencorak jenama komedi Singapura dan menyatukan ramai pelawak setempat yang berbakat dalam pelbagai projek kreatif lagi menarik.
Pada 24 Mei lalu, bapa seorang anak lelaki yang sudah bergelar datuk seorang cucu ini, menerima pengiktirafan berupa piala Perdana Emas atau Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam pada Pesta Perdana 2025, di Teater Mediacorp.
Sebelum Husin, individu cemerlang lain seperti Kartina Dahari, Jorah Ahmad, M Saffri A Manaf, Suhaimi Jais dan Rahimah Rahim pernah disampaikan dengan penghargaan tertinggi oleh Suria.
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Husin begitu terharu dan tersentuh dek jasa ramai orang yang memberi ruang untuknya menghasilkan karya segar mengikut tuntutan sezaman di samping menguar-uarkan tentang projek yang dijana dari masa ke masa sebagai penawar jiwa gundah atau santapan halwa telinga.
“Kalungan terima kasih harus saya berikan kepada rakan-rakan pelawak yang bersama-sama saya membangun arena komedi, penerbit televisyen, radio dan media cetak yang beri saya ruang untuk berkongsi.
“Saya takkan dapat lupakan jasa mereka, khususnya majikan saya kini iaitu Presiden Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar, yang sentiasa menyokong kerja seni dan inisiatif yang ingin saya usahakan dan juga Editor Bersekutu Berita Harian, Cik Hanim Mohd Saleh, yang banyak menulis dan memaklumkan kepada pembaca mengenai perjalanan seni saya,” katanya.
Membuka lipatan sejarahnya terlibat dalam dunia seni, Husin berkata Pesta Drama Sriwana 1987 adalah pentas pertama yang mencungkil bakatnya dalam bidang lawak jenaka.
“Singapura ketandusan bakat lawak dan kekurangan program lawak di kaca televisyen pada masa itu.
“Pesta Drama Sriwana yang saya sertai dan menang pada musim kedua merupakan satu daya usaha mencungkil bakat lawak dan diusahakan aktivis teater, Nadiputra dan Allahyarham Sabri Buang. Antara jurinya adalah Ketua Unit Drama TV ketika itu, Pak Bani Buang.
“Pada musim pertama Pesta Drama Sriwana, kumpulan Teater Cekup yang dianggotai Alias Kadir, Osman Kong dan Yusof Bhai, menjuarai pertandingan yang diadakan.
“Daripada pertandingan inilah, maka sketsa-sketsa diserap bagi program Teater Komedi di televisyen.
“Usaha ini baik kerana ia memastikan kita tidak terlalu bergantung pada kehadiran bakat import dari negara jiran yang menjayakan program Hari Raya dan Hiburan Minggu Ini.
“Bakat lawak tempatan yang hebat pada masa itu hanyalah Allahyarham Samad Ayob. Selebihnya, kita disajikan dengan persembahan pelawak dari negara jiran seperti AR Badul, Yusni Jaafar dan Yahya Sulong,” ceritanya.
Husin bersyukur diberi kepercayaan selama ini untuk bertindak sebagai ‘pemikir’ bagi banyak naskhah komedi yang direalisasikan untuk program televisyen.
Beliau dapat lihat bagaimana skrip pertama yang dihasilkannya untuk pertandingan, Ada-Ada Saja, diolah oleh penulis skrip, Hamed Ismail, bagi siaran televisyen.
“Kita yang terkial-kial tulis pada helaian kertas skrip komedi dapat belajar bagaimana segalanya diolah balik bagi kegunaan televisyen,” jelasnya.
Sesuatu yang membuatkan Husin terharu adalah banyak peluang yang terbentang untuknya menjadikan komedi sebagai bahan untuk berbilang projek seni, dari persembahan muzikal ke lagu dan drama dalam bentuk VCD dan DVD.
“Saya takkan lupa Malam Pecah Perut 1 pada 1997 di Auditorium Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Malam Pecah Perut 2 pada 2000 di Harbour Pavilion, WTC.
“Tiket laris dengan sekelip mata. Lebih 5,000 orang datang menonton dan membawa pulang kenangan manis dengan apa yang pelawak Singapura termasuk ikon lawak veteran, Pak Wahid Satay, sajikan,” jelas Husin.
Memandangkan cintanya terhadap bidang nyanyian masih menebal, tentunya secara semula jadi Husin bersungguh-sungguh ingin membawa impak menerusi penubuhan kumpulan Rappers Tua dan SAH (Sahfuddin Mahfuz, Ariff Shamsuddin dan Husin Saaban).
“Rappers Tua memang berjaya bertempat di hati ramai manakala SAH pula muncul dengan lagu hit, Dangdut MRT.
“Saya terfikir kalau Datuk M. Nasir ada lagu Bas Nombor 13, mengapa kita tak boleh bikin Dangdut MRT?...Lagipun, MRT merupakan pengangkutan yang kian popular pada masa itu.
“Saya juga takkan lupa detik saya dan Ariff mengejutkan ramai menerusi lagu Anak Bosnia, yang kami persembahkan dalam peraduan anjuran pihak radio, Sayembara Puisi.
“Orang tengok muka kami kelakar. Juri, Datuk Ramli Sarip dan Yusnor Ef, pun menanti. Apabila kami persembahkan lagu serius yang menyayat hati, sentuhannya lain macam. Tak sangka pada akhirnya, kami dinobatkan sebagai juara!” kata Husin.
Semangatnya untuk terus berkarya tidak terhenti di platform televisyen. Pada detik ramai menghabiskan masa di rumah menonton VCD dan DVD, itulah masanya Husin juga ligat mencari ruang menerbitkan VCD dan DVD komedi untuk ditonton penggemar lawak jenaka di sini, dalam keselesaan rumah masing-masing.
“Walau zaman DVD dah lama berlalu, saya dapat tahu ramai yang masih lagi seronok menonton drama seperti Ganyut yang mereka pasang setiap Raya untuk sanak saudara tonton. Di tv, sibuk orang cakap tentang drama. Kita pula ada Ganyut,” kata Husin.
Dalam kami bersembang, penulis tertanya-tanya tentang projek yang terbuku di hatinya untuk jayakan.
“Ada dua perkara yang saya nak buat tetapi tak terbuat-buat. Pertama, saya idamkan nak bikin filem. Pernah berbincang dengan seseorang. Jalan cerita semua dah ada...ala-ala filem ‘gangster’ sebagaimana yang disenangi pasaran Malaysia.
“Tapi selepas itu, tak tahulah...diam dan tergantung tak bertali. Mungkin belum rezeki.
“Kedua, saya tengok bikin podcast macam seronok walau saya bukannya mesra teknologi sangat. Anak saya tanya, ‘Tak takut ke kalau dikecam netizen yang ‘buas’ dan bebas bersuara?
“Saya kata belum cuba, belum tahu. Kena fikir konsep yang kreatif. Bangsawan dah buat, animasi pun pernah terlibat...tak sabar juga nak mulakan podcast,” katanya.
Dalam kami berbincang tentang dunia lawak setempat, sempat juga penulis bertanya tentang pandangannya mengenai penglibatan pempengaruh dalam sketsa komedi ‘live’.
Menurutnya, beliau akur ada kesulitan apabila golongan pempengaruh tiba-tiba ‘dilontarkan’ dalam set komedi ‘live’ program Raya, Sinar Lebaran.
Hasilnya, ramai pula yang mengecam segmen lawak yang dikatakan hambar dan kecoh tak bertempat.
“Bukan kerana budak-budak muda ni tak bagus. Mereka ada ‘crowd’ (golongan yang menonton kandungan media sosial pempengaruh berkenaan) sendiri.
“Tapi kerana ini pentas ‘live’ dengan penonton di depan mata, banyak penyesuaian yang perlu dibuat. Rencah dan bahannya mesti sebati dan secukup rasa.
“Nak ‘masak’ lawak ni, kena tahu bahan yang sesuai,” ujar Husin lagi


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg