Semasa lagu cinta balada, Lost In Your Eyes, diterbitkan sensasi remaja 1980-an, Debbie Gibson, beliau masih lagi seorang belia belasan tahun.

Dengan bermain piano, Gibson, yang kini berusia 55 tahun, memukau perhatian ramai remaja sebayanya, yang begitu terpaku dengan karya seni matang tentang keindahan rasa apabila seseorang dilamun cinta.

“Lagu ini adalah tentang seseorang yang menemui cinta dan sentiasa diasak dengan persoalan tentang jejaka misteri itu...apa lagi yang ingin digali tentang peribadinya.

“Setiap hari itu merupakan satu penemuan baharu tentang jejaka itu.

“Pada masa itu, saya sudah pun mengenali seorang jejaka tetapi ia bukan mengenainya. Ia kisah cinta secara umum tatkala anda bertentang mata dengan orang tersayang,” jelas wanita kelahiran Brooklyn, New York City itu, dalam satu wawancara bersama laman Entertainment Online.

Lost In Your Eyes merupakan lagu utama dalam album kedua Gibson, Electric Youth.

Album pertamanya, Out of the Blue, dihasilkan ketika beliau masih pelajar sekolah tinggi (sekolah menengah jika di Singapura) dan belum tamat pengajian lagi.

Lagu ‘berhantu’, Foolish Beat, menjadikan Gibson karyawan muzik pertama yang menghasilkan lirik, menerbitkan lagu dan sekali gus mempersembahkan irama ‘Nombor 1’ dalam ‘Carta 100 Lagu Terbaik’ di Amerika ketika itu.

“Meskipun saya gembira dengan pencapaian saya dan mula menjelajah Amerika ketika dilamar syarikat rakaman Atlantic Records, saya rasa penat dan tenaga saya terasa seakan diperah,” katanya lagi.

Laman Songfacts pula menyatakan meskipun tidak mengambil dadah atau ketagih arak, sesuatu yang dijauhi, Gibson kerap dilanda serangan panik dan terpaksa pil Xanax bagi mengatasi keresahan.

Selepas album ketiganya, Anything Is Possible, diterbitkan pada 1991, Gibson kemudian beralih tumpuan pada kerjaya sebagai pelakon muzikal.

Beliau membintangi pementasan Broadway, Les Miserables, sebagai watak Eponine, anak manja yang menjadi korban cinta tidak dibalas.

Meskipun lagu hit tidak lagi dihasilkan, ramai sukakan keramahan Gibson apabila di pentas dan ketika mengadakan konsert jelajah termasuk di Singapura.

“Saya telah menjelajah jauh dalam dunia hiburan.

“Saya tak sangka selepas memenangi peraduan menulis lagu anjuran sebuah stesen radio dengan menyertakan lagu, I Come from America, saya gunakan wang tunai kemenangan saya sebanyak AS$1,000 ($1,296) untuk membangun studio rakaman di garaj rumah saya.

“Ibu saya pula berjaya memujuk seorang saudara kami agar meminjamkan baki AS$10,000 untuk membeli peralatan studio saya itu,” ceritanya.

Peminat Gibson di Singapura boleh menontonnya lagi di Teater Gateway di Jalan Bukit Merah, pada 21 Ogos ini.

Sebelum ini, beliau pernah menghiburkan peminatnya di lokasi sama pada 28 April 2024.

Tiket berharga antara $122 dengan $300 bagi konsert akan datang, yang bermula pada 8 malam ini, boleh ditempah menerusi laman Ticketmaster SG (www.ticketmaster.sg).