Anggota kumpulan nasyid, Saujana, Dr Idzu Baharin, menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, pada 26 Ogos.
Dr Idzu atau nama sebenar, Khairul Idzwan Baharin, 43 tahun, berkata anugerah itu diterima atas jasa, pengorbanan dan tanggungjawab selepas hampir tiga dekad berkecimpung dalam bidang keusahawanan perubatan dan penyelidikan perubatan regeneratif.
“Alhamdulillah, saya sangat menghargai dan bersyukur atas pengurniaan gelaran Datuk ini.
“Secara tidak langsung memberi saya satu semangat besar serta suntikan baru untuk menjadi lebih berjaya dan menyumbang kepada negara dalam membangunkan industri perubatan regeneratif negara.
“Saya berasa lebih bertanggungjawab untuk membawa nama Malaysia supaya dikenali dalam bidang perubatan regeneratif yang mampu membantu ramai orang kembali sihat dan muda.
“Saya rasa macam dilahirkan semula dan ini adalah perjuangan fasa baru yang sangat mengujakan,” kata anggota kumpulan Saujana itu yang pernah dicalonkan bagi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-36 bagi kategori Artis Kolaborasi Duo/Berkumpulan Popular bersama Siti Nordiana menerusi lagu, Keluarga Bahagia.
Dr Idzu, yang juga pengasas syarikat perubatan Cell Tissue Technology Sdn Bhd sejak 13 tahun lalu, turut berterima kasih di atas penganugerahan yang diberikan, lapor Berita Harian Malaysia.
“Saya hendak ucapkan terima kasih dan selamat hari lahir ke-75 kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, serta kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, atas kepercayaan dan penganugerahan yang bermakna ini,” katanya.
Cell Tissue Technology ditubuhkan pada 2010 sebagai syarikat berteknologi perubatan maju di Malaysia.
Ia adalah ‘spin-off’ daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga universiti dan institut penyelidikan terkemuka di negara ini.
Syarikat itu juga menjadi peneraju utama dalam bidang kejuruteraan tisu dan perubatan regeneratif di Malaysia sejak penubuhannya.
Sepanjang 30 tahun terbabit dalam dunia perubatan, keusahawanan dan seni, Dr Idzu, sudah mendapat pelbagai pengiktirafan dalam dan luar negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg