Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Intan Najuwa beri kenyataan berhubung isu hutang Rizman Ruzaini

Jan 6, 2026 | 4:52 PM
rizman ruzaini, intan najuwa, hutang
Pelakon Intan Najuwa dan suami, Datuk Ahmad Azraf Azman. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Pelakon, Intan Najuwa akhirnya tampil memberi kenyataan berhubung isu hutang membabitkan duo pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini, selepas hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri.

Menerusi hantaran di Instagram, Intan menjelaskan kenyataan itu dibuat berdasarkan keputusan mahkamah yang memerintahkan Rizman Ruzaini selaku defendan membayar wang berjumlah RM1.3 juta ($410,940) kepada suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman, selaku plaintif.

Intan mendakwa keputusan berkenaan dibuat selaras dengan proses perundangan selepas mahkamah memihak kepada pihaknya dalam tuntutan yang difailkan.

“Setelah hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri, suami dan saya kini tampil secara terbuka berdasarkan keputusan mahkamah yang telah diputuskan.

“Tanpa melibatkan mana-mana pihak atau pereka fesyen lain, kenyataan ini dibuat khusus bagi menyeru pereka fesyen Rizman Ruzaini melaksanakan pembayaran semula pinjaman seperti yang telah diarahkan oleh Mahkamah melalui penghakiman yang memihak kepada kami.

“Kenyataan ini dibuat secara berfakta dan berhemah, selaras dengan keputusan undang-undang yang sah, selepas kami memilih untuk menunggu dan menghormati sepenuhnya proses perundangan,” tulisnya.

Dalam dokumen mahkamah bertarikh 16 Disember 2025 yang dikongsikan Intan, saman sivil berkenaan menamakan suaminya sebagai plaintif, manakala Rizman Nordin, Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil serta syarikat mereka, Rizman Ruzaini Creations (M) Sdn Bhd, sebagai defendan.

Sementara itu, ketika dihubungi BH Online, Rizman atau nama sebenarnya Rizman Nordin, enggan memberi sebarang komen lanjut memandangkan kes berkenaan sudah dibawa ke mahkamah.

Terdahulu, Rizman Ruzaini pernah dikaitkan sebagai pihak yang berhutang dengan seorang pelakon terkenal.

Bagaimanapun, Rizman dilaporkan berkata dakwaan seumpama itu dianggap lumrah dalam perjalanan karier pereka fesyen berpengalaman seperti dirinya dan Ruzaini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg