Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rizman Ruzaini enggan ikuti trend rakam lagu raya

Mar 10, 2025 | 8:20 PM
Rizman Nordin, selaku Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Rizman Ruzaini, menegaskan bahawa syarikat beliau lebih memberi tumpuan terhadap usaha mengukuhkan dan mengembangkan jenama fesyen tanpa perlu mengikuti trend semasa.
Rizman Nordin, selaku Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Rizman Ruzaini, menegaskan bahawa syarikat beliau lebih memberi tumpuan terhadap usaha mengukuhkan dan mengembangkan jenama fesyen tanpa perlu mengikuti trend semasa. - Foto INSTAGRAM RIZMAN NORDIN

Enggan menjadi seperti lembu dicucuk hidung, yang hanya mengikut kehendak arus trend semasa, dua sahabat yang membangunkan empayar fesyen, Rizman Ruzaini, menolak idea merakamkan lagu raya demi melariskan produk pakaian busana Melayu pada musim perayaan Aidilfitri.

Sebaliknya, mereka menumpukan perhatian kepada pengukuhan dan pengembangan jenama melalui acara-acara bermakna.

Pada 8 Mac, jenama Rizman Ruzaini yang diasaskan bersama oleh dua sahabat terdiri daripada Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil, telah mengadakan acara ramah mesra di IOI City Mall di Putrajaya, Kuala Lumpur.

Acara tersebut turut dimeriahkan oleh pelakon Mira Filzah serta penyanyi Jaclyn Victor dan Bunga.

Melihat fenomena merakamkan lagu raya sebagai strategi pemasaran beberapa jenama, Rizman Nordin selaku Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Rizman Ruzaini, menegaskan bahawa syarikat mereka lebih fokus terhadap usaha bagi mengukuhkan dan mengembangkan jenama, serta memberi inspirasi kepada lebih ramai individu. 

Sebagaimana lapornya kepada laman Berita Harian Malaysia (BHM) ketika ditemui pada acara ramah mesra tersebut, beliau berkata:

“Rasanya biarlah saya bantu sarungkan busana kepada selebriti yang mempunyai lagu raya. 

“Kami memang sangat fokus memajukan fesyen. Saya fikir tanggungjawab jenama kami sangat besar. 

“Ramai adik-adik pereka fesyen menjadikan kami sebagai inspirasi. 

“Jadi, tanggungjawab kami kena ikut jalan yang betul. Untuk lakukan kerja yang boleh dijadikan contoh terbaik kepada mereka, perlu usaha keras. 

“Namun tidak untuk menyanyi atau merakam lagu promosi dan sebagainya.”

Rizman turut berkongsi bahawa beliau dan sahabatnya, Ruzaini, masing-masing tidak mahu memilih jalan yang berkemungkinan memberi kesan terhadap jenama sebaik menginjak 20 tahun penubuhan.

“Dua puluh tahun adalah tempoh yang sangat mematangkan kami. 

“Setiap pergerakan dan tindak balas menjadi pemula kepada jenama kami. Tersilap langkah, akan menyesal pada kemudian hari.

“Kalau dilihat, ekonomi sekarang kurang meyakinkan. Jadi kita tidak boleh hendak melakukan eksperimen sangat. 

“Memang kita perlu berhati-hati dalam menjaga perniagaan,” tambahnya.

Mengulas tentang perancangan pada masa akan datang, Rizman bakal menganjurkan acara khas sempena dua dekad penubuhan jenama Rizman Ruzaini dalam industri fesyen.

“Kami akan anjurkan pameran khas perjalanan dua dekad Rizman Ruzaini pada akhir tahun ini (2025). 

“Kami sangat menantikan pameran itu supaya semua boleh datang untuk menyaksikan kembara jenama ini.

“Kami juga akan bawa masuk baju Lady Gaga, Naomi Campbell dan semua baju ikonik kami. 

“Ini termasuk juga busana pertama yang kami buat untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg