Pelakon Datin Intan Najuwa tampil menjawab pertanyaan warganet yang mengatakan beliau berkahwin dengan Datuk Ahmad Asraf Azman pada 18 Ogos lalu kerana mereka berdua berasal daripada taraf keluarga yang kaya atau ‘sekufu’.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok Mingguan Wanita, Intan berkata beliau percaya soal jodoh, ajal dan maut adalah ketetapan Allah swt.
Jelasnya, beliau bersyukur apabila dikurniakan seorang suami yang terbaik.
Menerusi video TikTok Mingguan Wanita itu, Intan Najuwa berkata:
“Siapa saya nak pertikaikan soal jodoh, kita boleh cari, plan macam mana pun, ajal, maut dan jodoh di tangan Tuhan.
“Alhamdulillah, apa yang saya bersyukur sekarang ini adalah Allah bagikan saya jodoh terbaik.
“Sekufu ke apa ke, kita letak tepi. Bukannya kita boleh buat keputusan jodoh kita siapa atau apa, paksa macam mana pun, jodoh Allah tentukan.”
Pada perkongsian yang sama, Intan turut mendedahkan suaminya berasa gembira apabila menerima pujian mengatakan wajah suaminya itu seperti ‘baby face’ iaitu sentiasa kelihatan muda.
“Saya tengok sama saja, sebab kita tengok muka dia hari-hari. Jadi agak terkejut apabila ada orang sekejap kata muka dia baby face, sekejap cakap dah tua. Saya pula tengok muka dia macam tak ada perbezaan pun, sama saja.
“Dia sukalah, daripada orang cakap dia tua, lebih baik orang cakap muka dia baby face. Dia sangat gembira, sebab pujian ’kan?” kata Intan Najuwa.
Menurut laporan Yahoo! News, Intan Najuwa telah memuat naik gambarnya bersama suaminya menerusi laman Instagram dan menulis “And we created you in pairs” (“Dan Kami (Allah) jadikan kamu berpasang-pasangan”) [Quran 78:8].
Pasangan mempelai itu telah saling mengenali satu sama lain selama dua tahun sebelum mereka mendirikan rumah tangga di sebuah majlis yang diadakan di sebuah resort di Desaru Coast yang dihadiri seramai 150 tetamu termasuk anggota keluarga dan kawan-kawan baik.
Berita tentang pertunangan Intan Najuwa dilaporkan awal tahun ini walaupun beliau tidak mahu mengesahkan atau menafikannya.
Sebelum ini, beliau telah bertunang dengan seorang peniaga, Razrul Anwar Rusli, tetapi mereka kemudian putus tunang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg