Pelakon Malaysia berbangsa India, Irfan Zaini, mencuri perhatian apabila menyuarakan hasrat untuk keluar daripada zon selesa dengan membawakan watak lebih berani dan rumit termasuk watak lelaki lembut, individu autisme serta psikopat.

Irfan, atau nama sebenarnya, Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 31 tahun, turut berkata keinginannya didorong hasrat ingin mengembangkan potensi sebagai pelakon, di samping mencabar keupayaan diri dalam membentuk watak yang sukar dan memerlukan penelitian mendalam.

Menurutnya, meskipun ada pihak mungkin meragui kemampuannya untuk menjayakan watak sedemikian, perkara itu tidak menjadi halangan untuk dirinya terus mencuba.

“Mungkin kedengaran pelik, tetapi saya benar-benar mahu mencuba watak lelaki lembut.

“Saya rasa ramai tidak akan percaya kerana personaliti saya sangat berbeza.

“Sebagai pelakon, saya sudah membawakan watak antagonis, ‘hero’ dan aksi.

“Jadi, saya mahu mencuba sesuatu yang lebih mencabar seperti watak psikopat atau individu autisme yang memerlukan penghayatan mendalam,” katanya, dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau ditemui BHM pada sesi mengambil gambar bagi drama, Luka Di Hujung Setia, di Lobi Galeri Prima Balai Berita, Bangsar, Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas kemungkinan berdepan kritikan, Irfan akur enggan terlalu memikirkan pandangan negatif, sebaliknya memilih untuk memberi perhatian sepenuhnya terhadap mutu lakonan.

“Dalam dunia seni, kita tidak boleh lari daripada kecaman dan pujian.

“Jika terlalu memikirkan semua itu, ia akan menyukarkan proses kerja.

“Fokus saya adalah untuk memberikan yang terbaik dalam setiap watak,” katanya.

Mengulas tentang watak lelaki lembut yang ingin dibawakan, Irfan mengakui ia bukan sekadar lakonan biasa, malah, menuntut penghayatan dan pembentukan watak yang lebih menyeluruh.

“Ia melibatkan pergerakan tubuh, cara percakapan, intonasi suara dan pembawaan diri.

“Semua aspek ini perlu diteliti supaya watak itu benar-benar ‘hidup’ dan meyakinkan,” ujar Irfan, yang muncul dalam filem, Blood Brothers (2025), arahan Syafiq Yusof.

Pada masa sama, meskipun secara fizikal dan nada suaranya mungkin tidak menggambarkan imej lelaki lembut, Irfan menjadikan pencapaian pelakon antarabangsa sebagai sumber inspirasi.

Malah, Irfan menegaskan tidak mempunyai masalah melakukan perubahan drastik terhadap penampilan sekiranya diperlukan dalam lakonan.

“Penampilan sudah tentu akan berbeza dan banyak perkara perlu saya lakukan. Saya tidak kisah untuk ubah imej.

“Saya tidak bergantung kepada penampilan luaran seperti jambang, sebaliknya percaya kepada kemampuan diri sebagai pelakon,” kata Irfan.

“Mungkin kedengaran pelik, tetapi saya benar-benar mahu mencuba watak lelaki lembut. Saya rasa ramai tidak akan percaya kerana personaliti saya sangat berbeza. Sebagai pelakon, saya sudah membawakan watak antagonis, ‘hero’ dan aksi. Jadi, saya mahu mencuba sesuatu yang lebih mencabar seperti watak psikopat atau individu autisme yang memerlukan penghayatan mendalam.”
Irfan Zaini.