SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Shukri Yahaya mahu watak lebih bermakna, enggan terperangkap dalam naskhah sama

Shukri Yahaya mahu watak lebih bermakna, enggan terperangkap dalam naskhah sama

Bapa dua anak perjelas watak lakonan, tekankan nilai pengajaran
Apr 5, 2026 | 5:30 AM

Shukri Yahaya mahu watak lebih bermakna, enggan terperangkap dalam naskhah sama

shukri yahaya
Pelakon Shukri Yahaya mahukan naskhah yang mendidik masyarakat, akur tidak ingin terperangkap dalam watak yang biasa dilakonkan. - Foto BM oleh KHALID BABA

Melihat peluang dan rezeki dalam dunia seni yang datang bertali arus, pelakon Malaysia, Shukri Yahaya, merasakan segala penat lelahnya menempatkan diri dalam industri hiburan sejak 2012, ternyata berbaloi.

Apatah lagi, namanya kian dikenali selepas berhasil memaparkan sisi lain lakonan beliau dalam filem, Blood Brothers, arahan Syafiq Yusof, pada 2025.

“Apabila saya mengimbau kembali perjalanan seni saya, segala pengorbanan bekerja tanpa mengira masa terasa cukup bermakna dan berbaloi, selagi ia dilakukan demi keluarga, isteri dan anak-anak.

“Dalam pada itu, antara cabaran saya ketika membawakan watak Fadlan dalam filem, Blood Brothers, adalah mencari keseimbangan dalam lakonan bersama pelakon handal seperti Sharnaaz Ahmad dan Syafiq Kyle.

“Saya tidak mahu terlihat terlalu menonjol. Sebaliknya, saya mahu berdiri setaraf dengan mereka.

“Mereka adalah rakan seperjuangan saya dalam bidang seni, dan kami saling menyokong antara satu sama lain.

“Melalui perbincangan bersama mereka, saya banyak belajar cara untuk menyampaikan watak dengan lebih berkesan,” kata Shukri, atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Yahaya, 37 tahun, kepada Berita Minggu (BM).

Beliau ditemui BM pada 8 Mac di Wisma Geylang Serai sempena acara bersama Singtel TV dan Astro, Bintang Bersama: Singtel x Astro @ WGS, yang turut menjadi sebahagian daripada program Santai Sejenak, anjuran WGS.

Bagaimanapun, sebagai pelakon yang sering menggalas pelbagai jenis watak, Shukri mengakui beliau perlu memberi penjelasan kepada kededua anaknya iaitu, Aaira Ameena, 10 tahun; dan Maleeq Mik, tujuh tahun.

“Anak-anak saya tahu ayah mereka seorang pelakon. Kini, mereka berada di tahap usia di mana mereka suka bertanya soalan kepada saya.

“Saya sedar perlu sentiasa menjelaskan kepada mereka setiap watak yang saya bawakan, sambil menerapkan nilai pengajaran.

“Misalnya, saya menggunakan watak Fadlan dalam filem, Blood Brothers, untuk memberi pengajaran kepada mereka, terutamanya tentang nilai yang tidak seharusnya menjadi contoh pada anak-anak,” ujarnya yang beristerikan usahawan, Tya Adnan, 34 tahun.

Shukri turut berkongsi bahawa isterinya, Tya, jarang-jarang menonton lakonannya di kaca televisyen.

“Isteri saya, Tya, tidak menonton drama lakonan saya, kecuali drama, Andai Itu Takdirnya.

“Baginya, cerita-cerita ini sama seperti apa yang dilihat dalam kehidupan harian,” katanya lagi.

Di samping itu, Shukri menjayakan drama yang kini bersiaran di Astro Ria berjudul, Andai Itu Takdirnya 2, yang juga naskhah asal penulis Malaysia, Siti Rosmizah.

Beliau membawakan watak lelaki kaya dan berpengaruh yang juga panas baran, Syed Aizril.

Syed Aizril merupakan suami kepada watak Aleya, lakonan pelakon Singapura, Hannah Delisha.

“Sebelum ini, saya pernah memegang watak Khuzairi, seorang lelaki yang digambarkan sebagai ‘green flag’ atau idaman setiap wanita, dalam karya Siti Rosmizah bertajuk, 7 Hari Mencintaiku.

“Namun, dalam naskhah kali ini, watak Aizril sangat berlainan daripada apa yang pernah saya persembahkan menerusi watak Khuzairi.

“Sejujurnya, pengalaman itu semakin membakar semangat saya untuk membawa kelainan dalam lakonan.

“Saya banyak bertanya kepada pengarah serta rakan pelakon lain supaya dapat mempertajamkan watak Aizril”, kongsi Shukri.

“Memandangkan ini drama bersiri panjang, saya ingin bermain dengan emosi penonton.

“Contohnya, bagaimana membuat mereka menyukai dan menyayangi watak itu, tetapi pada masa yang sama, menimbulkan rasa benci,” kongsi Shukri.

Bagi dirinya yang berpeluang bekerjasama dengan dua pengarah berbeza bagi naskhah, Andai Itu Takdirnya, sepanjang dua musim ini sedikit sebanyak membantu beliau memperluas pemahaman dan mendalami watak Aizril.

“Bagi musim pertama, naskhah ini diarahkan oleh Jamal Khan. Manakala musim kedua pula, diarahkan oleh Feroz Kader.

“Kededua pengarah ini mempunyai pendekatan tersendiri dan memberikan perspektif berbeza mengenai watak Aizril.

“Perbezaan itu banyak membantu saya dalam mencipta dan menghidupkan watak tersebut dengan lebih mendalam,” ujarnya.

Bagaimanapun, memandangkan ini merupakan kali ketiga Shukri berlakon dalam karya Siti Rosmizah, beliau akur penglibatan kali ini barangkali yang terakhir.

“Saya rasa apa yang ingin disampaikan oleh Siti Rosmizah dalam setiap karyanya mencerminkan realiti kehidupan harian, terutamanya yang melibatkan rumah tangga.

“Namun, ia tetap sebuah cerita, jadi terdapat unsur dramatik untuk menjadikan kisah itu lebih menarik dan menyentuh perasaan penonton.

“Drama ini merupakan karya ketiga saya bersama beliau, dan saya rasa…ini mungkin yang terakhir.

“Ini kerana saya sudah terbiasa bekerjasama dengannya, dan saya tidak nampak lagi ruang untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam karyanya, yang mana saya sudah cukup sebati dan faham.

“Maka itu, saya bercadang untuk berehat seketika daripada berlakon dalam karyanya, dan tidak mahu terus muncul secara berturut-turut.

“Mungkin tiga atau empat tahun akan datang jika diberi peluang lagi. Namun begitu, untuk masa terdekat ini, memang tidak,” jelas Shukri.

Lalu, watak bagaimana pula yang dicari Shukri seterusnya?

Menurutnya, beliau ingin berlakon dalam naskhah yang membawa pengajaran kepada masyarakat, bukannya hanya menguji emosi penonton semata-mata.

“Kalau boleh, saya ingin watak yang saya bawa memberi pengajaran kepada masyarakat, daripada keburukan watak itu, sehingga bagaimana dia menyelesaikan masalah atau konflik dalam kehidupan.

“Saya lebih menantikan skrip sebegitu, bukannya sekadar untuk bertarik tali dengan perasaan penonton sahaja,” kata Shukri.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg