Iskandar Ismail: Sebahagian wang kemenangan GV12 sebanyak RM100,000 buat golongan memerlukan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iskandar Ismail: Sebahagian wang kemenangan GV12 sebanyak RM100,000 buat golongan memerlukan

Pesanan terakhir R.Ismail jadi pegangan hidup, tempuh cabaran kerjaya seni mendatang penuh harapan
Jan 20, 2026 | 5:30 AM

Iskandar Ismail: Sebahagian wang kemenangan GV12 sebanyak RM100,000 buat golongan memerlukan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
iskandar ismail, eiss, gegar vaganza musim 12, gv12, juara gv12
Juara ‘Gegar Vaganza Musim 12 (GV12)’, Iskandar Ismail, berjaya berkat kerja keras dan kesabaran menempuh cabaran kembara seni berulang-alik dari Singapura ke Malaysia saban minggu selama 12 minggu. - Foto ASTRO

Bak ungkapan ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’, begitulah gambaran permulaan kembara seni penyanyi tanah air, Iskandar Ismail, 47 tahun, ketika melangkah ke pentas program kegemaran ramai terbitan Astro, Gegar Vaganza 12 (GV12).

Bernaung di bawah syarikat pengurusan MindOrder Management kini, beliau hadir dengan satu niat yang jelas iaitu demi menghidupkan kembali namanya dalam industri muzik serantau.

Akhirnya, impian itu menjadi kenyataan apabila bapa tiga anak itu dinobatkan sebagai juara GV12, pada 18 Januari di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia. 

Kini, beliau bersedia menempuh fasa baru, membina kerjaya seni secara serius di Malaysia.

“Saya akui sudah bersedia memulakan kerjaya muzik di sini, dan perkara ini telah pun dibincangkan bersama syarikat pengurusan saya, MindOrder.

“Malah, saya juga telah merakamkan sebuah lagu baru yang dijadikan runut bunyi (OST) bagi sebuah drama terbitan Astro yang memuatkan sebanyak 60 episod dan dijadualkan ditayangkan pada Ramadan nanti.

“Lagu tersebut merupakan duet bersama Idayu Yaakob (juara Akademi Fantasia Megastar). Perancangan membina kerjaya muzik di Malaysia akan saya laksanakan secara berperingkat.

“Saya akan memulakan langkah dengan pelancaran single, termasuk lagu Hari Raya,” kata Iskandar, atau lebih mesra disapa Eiss, kepada Berita Harian (BH) semasa sidang media akhir GV12 di MBSA.

Pada masa sama, beliau turut akan membina kerjaya di Malaysia secara berfasa dan akan kerap berulang-alik dari Singapura ke Malaysia.

“Perancangan untuk berpindah ke Malaysia, belum lagi. Insya-Allah, jika diberi peluang itu, saya akan bawa keluarga saya bersama.

“Sementara itu, saya akan kerap berulang-alik dari Singapura ke Malaysia,” tambahnya lagi, yang turut membawa pulang piala, set ruang tamu dan hadiah wang tunai bernilai RM100,000 ($31,758).

Beliau turut membawa pulang Anugerah Adabi, Ada Beats, sebanyak RM15,000.

Dengan wang tunai yang dimenangi, Eiss berhasrat mendermakan sebahagian daripadanya kepada golongan yang lebih memerlukan.

Mengenang detik Eiss diumumkan sebagai juara, pastinya lebih lengkap kegembiraannya sekiranya kemenangan itu dapat dikongsi bersama ayahnya, Allahyarham R. Ismail.

Beliau meraih markah 78.1 peratus dan merupakan bintang Singapura ketiga yang bergelar juara menyusuli Hady Mirza (GV6) dan Aliff Aziz (GV8).

“Semasa berada di pentas, saya elakkan daripada memandang layar gergasi. Saya hanya fokus kepada tempat di mana peminat saya, Eissentials, berada (di tingkat dua dewan MBSA).

“Kemudian, minda saya terasa kosong. Saat nama saya diumumkan, sorakan peminat bergema, memanggil nama saya tanpa henti.

“Itulah detik yang tidak dapat saya lupakan. Sekiranya abah masih di sisi, pasti beliau juga akan berasa bangga dan memeluk saya saat ini,” kata Eiss tentang bapanya yang meninggal dunia pada 13 September 2020.

Dalam wawancara awal bersama BH, Eiss berkongsi pesanan terakhir R. Ismail kepadanya, agar sentiasa mempercayai setiap rezeki yang ditentukan Tuhan.

“Arwah abah selalu kata rezeki Tuhan datang dalam banyak bentuk, tetapi kalau suara itu digunakan dengan niat yang baik demi menghiburkan dan memberi semangat kepada orang lain, Insya-Allah ia akan kekal.

“Jadi setiap kali Eiss naik pentas, Eiss selalu ingat kata-kata itu, yang membuatkan Eiss terus bertahan dalam kerjaya ini walau ia tidak semudah mana dan walau apa jua cabaran yang datang,” jelasnya.

Dalam pada itu, kemenangan tersebut diraikan dengan kehadiran isteri tercinta, Cik Norazura Mohd Ismail, 39 tahun, serta anak sulungnya, Cik Izz Mai’syah Hazwani, 19 tahun.

Kakak sulung Eiss, Cik Aslina Ismail, 51 tahun, dan adiknya, Cik Mariana Ismail, 46 tahun, turut hadir memberikan sokongan kepada Eiss di MBSA pada 18 Januari.

Kemenangan Eiss dalam GV12 juga membuatkan pengurusnya, Encik Murshid Eunos, sebak tatkala menyaksikan hasil usaha dan bakat Eiss saban minggu membuahkan kejayaan manis.

“Melihat kejayaan Eiss membuatkan saya sebak dan terharu. 

“Sebagai artis Singapura pertama yang saya bimbing di bawah MindOrder, kejayaan sebegini adalah detik yang amat bermakna bagi saya,” katanya.

Sementara itu, Naib Juara GV12, kumpulan Mendua dari Indonesia, yang terdiri daripada Hendra Purnanto (Pungky), Marisha Friska Halauwet (Sasha) dan Diana Puspitasari, cukup bersyukur dengan kesempatan yang diberi untuk kembali menyanyi selepas 18 tahun menyepikan diri.

Ahmad Nubhan Ahamad, 39 tahun, yang konsisten di tiga tangga pertama kecuali pada peringkat separuh akhir di mana beliau jatuh ke tempat kelima, pula muncul sebagai pemenang tempat ketiga.

Mark Adam, 46 tahun, berada di tangga keempat, manakala Mell Sakura, 37 tahun, jatuh di tempat kelima disusuli dengan Ruri Repvblik, 44 tahun, di tempat keenam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg