KUALA LUMPUR: Nor Hidayah Yusri, 47 tahun, memaklumkan anak-anak mereka terutama yang perempuan, iaitu Fereena Nurulhaq, 20 tahun, mengetahui apa yang terjadi dalam rumah tangga ibu bapanya.
Nor Hidayah berkata anak perempuannya itu akan menghubungi abang sulungnya jika berlaku pergaduhan antara beliau dengan bekas suami, Edika Yusof, 58 tahun, yang tidak dapat dikawal, lapor Harian Metro.
“Malah, pihak polis juga pernah beberapa kali datang ke rumah untuk mengawal keadaan (pergaduhan) yang berlaku,
“Tapi, Edika memang sering menafikannya.
“Apapun, Edika boleh saja menafikan apa yang beliau nak. Beliau boleh cakap apa yang beliau mahu.
“Tapi, semua yang saya kemukakan dalam mahkamah berserta bukti kukuh.
“Saya ada gambar, video dan audio. Malah, anak-anak juga menjadi saksi.
“Walaupun anak perempuan tak duduk dengan saya, tapi itu tidak bermaksud beliau tidak tahu apa yang terjadi.
“Anak perempuan pun berpihak pada saya. Contoh kalau ada kejadian-kejadian tertentu yang tak dapat dikawal, anak perempuan saya orang pertama yang akan cari abang sulungnya atau diam-diam akan hubungi polis,” katanya.
Menurut Nor Hidayah, beliau juga sudah banyak kali pergi ke Balai Polis Kepong untuk buat aduan, selain pihak berkuasa juga banyak kali datang ke rumah mereka.
Terdahulu, Nor Hidayah berkongsi perkara itu selepas selesai urusan perceraiannya dengan Edika, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Tidak hanya itu, Nor Hidayah turut mendakwa beliau menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak awal perkahwinan mereka kira-kira 22 tahun lalu.
“Ya, (keganasan rumah tangga). Dalam mahkamah beliau tetap mahu menafikan perkara itu.
“Saya tak nak (keluarkan bukti). Keganasan itu berlaku dari sebelum saya sakit... lebih 20 tahun,” ujarnya.
Edika dan Nor Hidayah bercerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh pada 10.42 pagi.
Pada 23 April lalu, Hidayah menyenaraikan 10 alasan yang menyebabkan beliau membuat permohonan cerai terhadap Edika di hadapan hakim.
Kesemua sebab dikemukakan itu disifatkan Nor Hidayah sebagai perkara kritikal sehingga membuatkan rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan lagi.
Nor Hidayah dan Edika mendirikan rumah tangga pada 2003 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21 tahun dan Fereena Nurulhaq, 20 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg