Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isteri Sheqal ingin pertemukan suami dengan dua anak, bimbang ini pertemuan kali terakhir

Keadaan penyanyi ‘Cinta Nusantara’ itu tiada perubahan, paru-paru kembali penuh air
Jun 9, 2025 | 11:48 PM
SHEQAL, Raja Ema, sakit
Isteri penyanyi Sheqal iaitu Cik Normah Mohd Yusoff (kiri), 58 tahun, mengharapkan kedua-dua anak suaminya bersama bekas isteri iaitu penyanyi dan pelakon, Raja Ema, dapat menziarah bapa mereka ketika hayatnya masih ada. - Foto ihsan NORMAH MOHD YUSOFF

Isteri penyanyi Sheqal iaitu Cik Normah Mohd Yusoff, 58 tahun, mengharapkan kedua-dua anak suaminya bersama bekas isteri iaitu penyanyi dan pelakon, Raja Ema, dapat menziarah bapa mereka ketika hayatnya masih ada.

Cik Normah ketika dihubungi Harian Metro berkata beliau tidak pernah melihat mereka bertemu antara satu sama lain di mana-mana lokasi sejak berkahwin dengan penyanyi itu 25 tahun lalu.

“Saya harap sangat. Manalah tahu ini kali terakhir Abang Sheqal jumpa mereka. Saya tengok tiada perubahan pada abang setakat ini.

“Kita tak tahu apa yang akan berlaku. Paru-parunya sudah penuh air sekarang, sedangkan sebelum ini doktor sudah keluarkan.

“Ada kemungkinan doktor nak tebuk lagi untuk buang air. Bila doktor cakap begitu saya jadi ‘down’. Saya harap sangat dapat jumpakan mereka,” katanya sambil menangis.

Menurutnya, beliau bercakap dengan Sheqal akan menemukannya dengan anak-anaknya dalam situasi sedang ditidurkan.

“Tapi rasanya berat nak realisasikan perkara ini. Keadaan terkini Abang Sheqal nampaknya macam tiada perubahan.

“Dia tiada demam kerana sudah okey. Tekanan darah pun baik. Bacaan oksigen pun kadang-kadang 98, 99 dan 100. Itu tandanya normal.

“Cuma, sekarang buah pinggang sudah mula buat dialisis kerana bacaan meningkat kepada 400 lebih daripada 200 lebih,” katanya lagi.

Cik Normah berkata doktor tidak mahu membuang masa apabila segera melakukan dialisis.

Katanya, Sheqal masih dalam pemantauan doktor sejak dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, pada 5 Jun.

“Saya tanya doktor berapa hari Abang Sheqal akan ditidurkan dan doktor kata mungkin lima atau enam hari bergantung kepada kesihatannya.

“Dia tiada demam. Ujian CT Scan pun sudah buat dan tiada apa-apa dikesan seperti darah atau nanah. Doktor tak jumpa apa-apa,” katanya.

Cik Normah berkata beliau tetap tenang menjalani kehidupan walaupun sedih dengan apa yang berlaku kepada suaminya.

“Saya kena menyerap tekanan di sebalik apa yang berlaku. Apa yang datang itu kita anggap ujian kasih sayang daripada Allah.

“Mudah-mudahan Abang Sheqal kembali pulih. Sekarang ini fokus saya hanya kepada dia. Tak boleh buat apa lagi,” katanya.

Menerusi perkahwinan dengan Raja Ema, Sheqal, atau nama sebenarnya, Shaharim Salehuddin, dikurniakan dua anak lelaki, Putera Ammar dan Putera Al‑Kasyah.

Manakala, perkahwinan dengan Cik Normah dikurniakan sepasang anak, Muhammad Fatullah Shaharim, 21 tahun, dan Ummu Hani, 20 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg