Sudah sekian lama menyepi dari pentas dan kaca televisyen, kemunculan semula penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, menerusi persembahan busking di Singapura baru-baru ini mencuri perhatian ramai di TikTok.
Persembahan yang berlangsung di Marina Bay, Olympic Walk pada 28 Jun lalu itu membawa tema ‘galau’, dan menjadi titik permulaan buat Aliff untuk kembali menyelami cintanya terhadap dunia muzik.
Dalam sesi tersebut, Aliff menyampaikan lagu Jealous nyanyian asal Labrinth dan ‘Sedang Apa Dan Di Mana’ oleh Sammy Simorangkir dengan penuh penghayatan, sekali gus mengundang pujian daripada para penonton.
“Saya rasa bebas, seolah-olah kembali ke zaman awal saya menyanyi. Lagu-lagu balada Indonesia memang sangat dekat di hati saya,” ujarnya dalam satu wawancara dengan Berita Minggu (BM).
Walaupun belum menerima tawaran besar untuk kembali sepenuhnya ke pentas arus perdana, semangat beliau terhadap muzik tidak pernah pudar.
Juara Gegar Vaganza musim kelapan itu juga masih mengekalkan hubungan profesional dengan Warner Music Malaysia, sebagai usaha mengekalkan kedudukannya dalam industri muzik.
Beliau kini aktif melakukan persembahan di majlis perkahwinan dan acara kecil sekitar Singapura, di samping terus aktif dalam pengurusan acara bersama Jamiyah.
Fasa kebangkitan semula bukan sahaja dalam bidang seni, malah juga dari segi peribadi dan emosi.
Sejak menyertai Jamiyah Singapura pada September 2024, Aliff diberi peluang kedua untuk membina semula asas kehidupannya dengan sokongan menyeluruh daripada pertubuhan kebajikan itu.
Beliau kini memegang jawatan sebagai eksekutif pemasaran dan komunikasi, sekali gus membolehkan beliau menimba kemahiran baru sambil memberi sumbangan bermakna kepada organisasi tersebut.
Menurut Setiausaha Agung dan Ketua Pegawai Korporat Jamiyah, Encik Muhammad Khair Baharin, 47 tahun, Aliff merupakan antara individu yang dilihat mempunyai potensi besar untuk bangkit semula dengan bimbingan yang betul.
“Sayang kalau dibiarkan begitu saja. Kami percaya setiap orang layak diberi peluang kedua. Ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami yang bukan sahaja kepada penerima bantuan tetapi juga kepada staf yang kami asuh dan bimbing,” jelas Encik Khair ketika dihubungi BM.
Dalam usahanya untuk kembali ke industri hiburan, Aliff telah diberikan pelbagai pendedahan belakang tabir termasuk pengurusan acara, fotografi, penghasilan video, serta kerja-kerja teknikal.
Beliau turut dibimbing secara langsung oleh Encik Husin Saaban, dan menjalani sesi kaunseling berkala untuk menyokong kesihatan emosinya.
“Saya berbesar hati kerana diberi peluang untuk belajar pelbagai kemahiran. Ia membuka mata saya tentang aspek lain dalam dunia hiburan dan kerja sosial,” ujar Aliff.
Penyanyi lagu Sayang Sayang itu juga diberikan ruang untuk membuat persembahan dalam beberapa acara anjuran Jamiyah, termasuk bersama kumpulan ‘Insaf’ – kumpulan nasyid yang terdiri daripada empat anggota dari Jamiyah.
Namun, setiap persembahan dikawal rapi bagi memastikan ia tidak mengganggu proses pemulihannya.
Beliau juga membuat penampilan khas di Kuala Lumpur Men’s Fashion Week 2025 yang telah berlangsung dari 18 hingga 20 Julai.
Selain beraksi sebagai model bagi jenama Lord Of Leisure, Aliff turut menyanyi dalam acara tersebut yang turut menampilkan selebriti ternama seperti Aaron Aziz dan Zul Ariffin.
Aliff terpalit dengan kontroversi sejak beberapa tahun lalu.
Pada 21 Februari, Aliff dan seorang pelakon dari Malaysia, Ruhainies, atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, didenda RM3,000 ($906) oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat.
Media sebelum ini melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah pada Mac 2024.
Aliff yang sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan selebriti Bella Astillah pada 2016, bercerai dengan talak satu pada 13 Jun 2024.
Selepas melalui perpisahan dengan bekas isteri, Aliff berkata beliau berasa gembira melihat Bella terus melangkah ke hadapan dan menjalani kehidupannya.
Beliau juga berkata kini memberi tumpuan terhadap dirinya.
Menurut Encik Khair, perubahan positif dalam diri Aliff semakin terserlah sejak menyertai Jamiyah.
“Beliau kini lebih berdisiplin dan tahu apa yang ingin dicapai. Itu satu perkembangan yang sangat memberangsangkan,” ujarnya.
Aliff juga menyatakan hasratnya untuk kembali ke industri hiburan apabila tiba masa yang sesuai dengan versi dirinya yang lebih matang, tenang dan seimbang.
“Saya tahu masa itu akan tiba. Bila ia datang, saya mahu kembali bukan hanya sebagai artis, tetapi sebagai insan yang dapat menyumbang kembali kepada masyarakat,” kata Aliff penuh harapan.
Bagi Jamiyah, membantu Aliff bukan sekadar memberi peluang baru, tetapi juga mencerminkan komitmen mereka untuk terus menjadi institusi pemulihan dan pembangunan insan.
“Kami mahu lihat beliau bukan sahaja berjaya semula, tetapi menjadi individu yang boleh memberi inspirasi dan membimbing orang lain pula satu hari nanti,” kata Encik Khair.
Encik Khair menambah: “Kami akan sentiasa berada di belakangnya. Jika beliau perlukan bantuan, hanya perlu maklumkan. Peranan saya adalah untuk terus menyokong Aliff.”
Walaupun belum memuktamadkan langkah seterusnya, Aliff memberi bayangan bahawa dunia muzik masih dekat di hati.
“Saya belum tahu bila atau bagaimana. Tapi keinginan untuk cipta sesuatu itu masih ada… masih kuat dalam diri saya,” ujarnya.
Beliau terbuka meneroka projek baru apabila masa dan keadaan mengizinkan.
Jatuh bangun kehidupan Aliff Aziz
Juara Gegar Vaganza Musim Ke-8 (2022)


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg