Pelakon Fattah Amin tidak mahu mengulas tentang syarikat milik bekas isterinya, Nur Fazura, didakwa berhutang RM4.65 juta ($1.4 juta) dengan sebuah kilang pengeluar tudung.
Fattah, atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, sebaliknya, bersimpati dan mendoakan yang terbaik buat Fazura.
Beliau turut mengharapkan urusan ibu kepada anaknya, Nur Fatima Aisya itu, juga dipermudahkan.
“Saya tak berani nak komen, tapi sebagai yang mendengar berita ini, saya rasa bersimpati dan mendoakan yang terbaik.
“Saya tak boleh komen banyak sebab itu adalah hal peribadi. Sebab kita pun tak tahu bila kita akan diuji. Bila kita diuji, kita pun tak nak orang kata bukan-bukan tanpa tahu cerita sebenar.
“Kita sebagai orang luar kena mendoakan yang terbaik dan semoga dipermudahkan urusan. Doa pun bukan orang lain, dia adalah ibu kepada anak saya. Jadi saya doakan yang terbaik,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Tambah Fattah, beliau tidak mengetahui berkenaan berita berkenaan sebelum ia keluar dilaporkan oleh media tempatan.
“Bila keluar berita, barulah saya tahu dan memang saya tak tahu soal ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan pelakon dan usahawan popular, Nur Fazura, didakwa berhutang sebanyak RM4.65 juta dengan syarikat pengilang tudung, Obor Holding Sdn Bhd.
Difahamkan, syarikat terbabit sudah memfailkan tuntutan mengikut lunas undang-undang selepas syarikat milik Fazura iaitu Pink Fate Sdn Bhd enggan memberikan kerjasama.
Obor Holding Sdn Bhd selaku pemilik kilang Feline Malaysia mendakwa syarikat Pink Fate Sdn Bhd yang diketahui umum sinonim dengan Fazura selaku pengasas bersama dibekalkan tudung dengan nilai RM7.3 juta sejak Jun 2022.
Namun, Pink Fate hanya membayar RM2,680,167.90 dari jumlah itu, sekali gus masih berhutang sebanyak RM4.65 juta kepada pihak Feline.
Obor Holding turut mendakwa pihaknya mula berdepan kesukaran untuk mengutip bayaran sejak Disember 2023.
Sehingga kini, Fazura belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg