Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat Fazura hutang RM4.65 juta

Pengarah Urusan Obor Holding Sdn Bhd anggap pengalaman bersama pelakon ‘Gol & Gincu’ itu terburuk, paling serius pernah dihadapi
May 6, 2025 | 12:29 AM
Pengasas, yang juga Pengarah Urusan Obor Holding Sdn Bhd, Encik Lim Boon Hai, sangat kecewa dengan apa yang sudah dilakukan pelakon dan usahawan, Nur Fazura Sharifuddin, dan menyifatkannya sebagai pengalaman terburuk dan paling serius pernah dilalui.
Pengasas, yang juga Pengarah Urusan Obor Holding Sdn Bhd, Encik Lim Boon Hai, sangat kecewa dengan apa yang sudah dilakukan pelakon dan usahawan, Nur Fazura Sharifuddin, dan menyifatkannya sebagai pengalaman terburuk dan paling serius pernah dilalui. - Foto fail

Pengasas, yang juga Pengarah Urusan Obor Holding Sdn Bhd, Encik Lim Boon Hai, sangat kecewa dengan apa yang sudah dilakukan pelakon dan usahawan, Nur Fazura Sharifuddin, dan menyifatkannya sebagai pengalaman terburuk dan paling serius pernah dilalui.

Encik Lim mengulas kegagalan syarikat milik Fazura dalam membayar hutang berjumlah RM4.65 juta ($1.4 juta) kepada pihaknya, lapor akhbar Harian Metro.

Encik Lim, atau dikenali sebagai Sam, berkata syarikatnya nekad memfailkan tuntutan di mahkamah selepas syarikat didakwa milik Fazura, iaitu Pink Fate Sdn Bhd, gagal membuat bayaran seperti yang dipersetujui.

“Kes ini sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada bulan lalu (April). Notis juga sudah dihantar kepada syarikat milik selebriti berkenaan tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Saya tidak sangka akan dilayan seburuk ini. Sejak hujung 2023, memang sukar untuk mendapatkan bayaran hutang daripada pihak mereka.

“Akibat daripada kes hutang ini, kewangan syarikat (Obor dan Feline) terjejas teruk,” katanya.

Menurut Sam, lebih mengecewakan cek berjumlah RM1 juta yang ditandatangani bersama Fazura bertarikh 3 September 2024 adalah cek tendang.

“Betul. Pihak saya menerima cek tendang berjumlah RM1 juta daripada pihak sana. Memang tak sangka benda ini berlaku,

“Kami ada maklumkan perkara ini supaya menggunakan alternatif lain untuk membuat pembayaran segera kerana ia adalah cek tendang tapi tidak dilayan,” katanya.

Sam berkata, semua transaksi itu berlaku ketika Fazura masih menjadi pengarah sebelum beliau meletakkan jawatan di Pink Fate pada Januari lalu (2025).

Bagaimanapun, abangnya, Ahmad Faiz Sharifuddin masih kekal sebagai pengarah.

Terdahulu sebuah portal media melaporkan Obor Holding Sdn Bhd, pemilik Feline Malaysia, mendakwa Pink Fate Sdn Bhd yang diketahui umum diasaskan bersama oleh Fazura dibekalkan dengan tudung bernilai RM7,330,197.04 sejak Jun 2022.

Namun, Pink Fate hanya membuat bayaran sebanyak RM2,680,167.90, menyebabkan baki tertunggak berjumlah RM4.65 juta yang masih belum dijelaskan kepada Feline.

Obor Holding turut mendakwa mereka menghadapi kesukaran untuk mengutip bayaran tersebut sejak Disember 2023.

Selain Pink Fate sebagai defendan pertama, dokumen saman itu turut menamakan Fazfit Sdn Bhd sebagai defendan kedua, abang Fazura iaitu Ahmad Faiz Sharifuddin sebagai defendan ketiga, dan Fazura sendiri sebagai defendan keempat.

Melalui penyataan tuntutan yang diperoleh, hutang RM4.65 juta itu termasuk lima pesanan tambahan yang dibuat pada Jun dan September 2024 berjumlah RM3.6 juta, meskipun hutang terdahulu masih belum dilunaskan pada ketika itu.

Selain itu, dokumen itu menyatakan Faiz memberi jaminan kepada Feline bahawa pesanan tambahan itu dibuat untuk Kementerian Pendidikan menerusi inisiatif Merdeka Collection.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Fazura bagi mendapatkan penjelasannya tidak berjaya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg