Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu lirik lucah: Habsah Hassan minta adab diambil kira, bukan setakat ikut trend dan ‘syok sendiri’

Jan 3, 2026 | 12:05 AM
Habsah Hassan, lirik lucah, adab, nilai Melayu
Datuk Habsah Hassan berharap generasi penggiat seni muda akan fikir masak-masak apabila menghasilkan lirik agar ia bersesuaian dengan adab dan etika masyarakat Melayu. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Penulis lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan, tidak menghalang penghasilan lagu mengikut arus dan trend semasa, namun menegaskan ia perlu berada di landasan yang betul, munasabah serta bersesuaian dengan budaya dan agama.

Sehubungan itu, Habsah menyokong tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, yang memandang serius penularan lirik lagu berunsur lucah, tidak senonoh serta bercanggah dengan nilai akhlak dan adab masyarakat, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Sebagai penggiat seni berpengalaman, Habsah berpendapat usaha mengekang lirik lagu sedemikian sepatutnya dilaksanakan lebih awal, memandangkan keadaan kini dilihat semakin tidak terkawal, khususnya dengan kepesatan media sosial.

“Saya menyambut baik inisiatif atau saranan kerajaan. Sepatutnya tindakan ini sudah lama dibuat kerana unsur-unsur yang kurang disenangi sudah lama wujud dalam lagu anak-anak muda kita.

“Bukan saja dari segi mesej, tetapi juga penggunaan bahasa dan kata-kata. Sebagai orang lama, saya memang kurang senang. Kalau nak ikut trend sekalipun, biarlah munasabah dan bersesuaian dengan budaya serta agama kita,” katanya lagi.

Habsah yang berpengalaman menghasilkan ratusan lirik lagu malar segar seperti Salam Terakhir, Menaruh Harapan, Aku Hanya Pendatang, Cinta Abadi, Yang Terindah Hanyalah Sementara dan Usah Diragui, mengakui perkara berkenaan sudah lama terbuku di hatinya, namun sukar disuarakan secara bersendirian.

Katanya, beliau ralat apabila bakat kurniaan Allah tidak dimanfaatkan generasi muda ke arah kebaikan, sebaliknya lebih mengejar populariti berbanding menghasilkan karya yang bermakna.

“Perkara ini sebenarnya sudah lama terbuku di hati saya, tetapi siapalah saya? Jika saya bersuara, mungkin saya akan dilabel sebagai orang lama yang tidak memahami trend.

“Kalau kerajaan, media dan semua pihak berkuasa serta berpengaruh tidak bertindak, siapa saya untuk memperjuangkan perkara ini seorang diri?” katanya.

Habsah, bagaimanapun, mengakui tidak semua penggiat seni muda bersikap sedemikian, namun merasakan sebahagian besar tidak mengambil serius tanggungjawab menghasilkan karya bermutu.

“Saya tidak kata semua orang muda teruk. Ada yang bermutu dan bagus, tetapi kebanyakannya seolah-olah hanya mengejar populariti atau menghasilkan karya yang bersifat ‘syok sendiri’.

“Mereka seperti mensia-siakan bakat yang dikurniakan Tuhan. Bakat adalah anugerah, bukan semua orang boleh menghasilkan lagu atau skrip. Jadi, kenapa tidak digunakan sebaiknya?” tegasnya.

Menyentuh soal populariti, Habsah mempersoalkan tempoh ketahanan karya yang dihasilkan sekadar mengikut trend, yang menurutnya biasanya hanya bertahan antara tiga hingga empat bulan sebelum dilupakan.

Beliau berkata, situasi itu berbeza dengan karya malar segar sentuhan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Seniman Negara Ketujuh, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab dan Datuk M Nasir, yang masih menerima royalti sehingga hari ini.

“Mungkin mereka tidak kisah kerana hanya mahu popular dan mengejar royalti. Tetapi royalti daripada karya kurang bermutu mungkin hanya bertahan setahun dua.

“Sebaliknya, karya yang bermutu dan malar segar akan terus menjana royalti sampai bila-bila. P Ramlee, Ahmad Nawab dan M Nasir menikmati hasil karya mereka kerana mutunya,” katanya.

Habsah turut mengingatkan generasi muda supaya memikirkan kesan jangka panjang terhadap diri mereka lima hingga 10 tahun akan datang akibat penghasilan karya tidak senonoh.

“Sekarang mungkin mereka seronok dengan lagu sebegitu, tetapi adakah mereka memikirkan kesannya pada masa depan? Apabila mereka semakin matang, mungkin akan timbul rasa malu terhadap karya sendiri.

“Apatah lagi apabila sudah berkeluarga, mempunyai anak dan ipar-duai. Ketika itu, pandangan hidup sudah berubah dan rasa segan itu mungkin datang terlambat,” katanya.

Tambahnya, situasi itu sebenarnya boleh dikekang sekiranya semua pihak termasuk kerajaan, media massa, radio, televisyen dan media sosial memainkan peranan secara kolektif.

Namun, Habsah melahirkan rasa kesal apabila masih ada stesen televisyen yang membenarkan lagu-lagu sedemikian dipersembahkan dalam program hiburan termasuk pertandingan nyanyian.

“Radio dan televisyen sebenarnya boleh menyekat lagu yang tidak bermanfaat kerana kuasa itu ada di tangan mereka. Jangan beri alasan memenuhi kehendak penonton, sebaliknya perlu ada rasa tanggungjawab.

“Kekerapan siaran dan pendedahan menyebabkan masyarakat terikut-ikut. Semua pihak perlu memainkan peranan, tetapi kerajaan khususnya kerana memegang kuasa penyiaran dan pelesenan.

“Kalau kita tidak membantu membentuk pemikiran serta rasa cinta terhadap bahasa, budaya, agama dan negara, siapa lagi yang akan melakukannya?,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg