Kebanyakan masanya, penulis lirik adalah golongan yang dilupakan, sedang pencinta muzik hanya menikmati irama lagu yang indah berkumandang di samping suara emas sang bintang yang menyanyikannya.
Bagaimanapun, hadirin pada konsert Pesta Raya, Dari Sudut Hati, Habsah Hassan, pada 2 Mei, bukan sahaja dibawa dalam satu kembara muzik malar segar penuh nostalgia, malah diajak menyanjung budi penulis lirik tersohor Nusantara, Datuk Habsah Hassan.
Habsah, 75 tahun, yang telah menghasilkan lebih 1,000 lirik puitis bagi penyanyi ‘papan atas’ seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sharifah Aini, Datuk Sudirman Haji Arshad, Salamiah Hassan, Datuk Wan Aishah Wan Ariffin, Datuk Sheila Majid, Datuk Francissca Peter, dan Noor Kumalasari, adalah lambang ikon yang mengamalkan keperibadian ‘semakin berisi, semakin tunduk’.
Selepas menonton konsert sejam setengah di Dewan Konsert Esplanade, Habsah, ibu empat anak perempuan, yang membahasakan dirinya sebagai ‘Kak Chah’, semakin menjadi inspirasi sesiapa yang berkecimpung dalam bidang penulisan dan cintakan keindahan dan kelembutan bahasa Melayu.
Konsert itu menggabungkan penyanyi generasi lama dan baru serta menampilkan Orkestra Tradisional Malaysia, Sounds Of Malaysia, yang membawa penonton terbang ke zon irama penuh kesyahduan dan keceriaan, didorong ‘mood’ yang terlukis daripada tarian pena Kak Chah yang kreatif.
Ia juga menampilkan pengacara, Zuhairi Idris, Farah Lola, dan Iskandar Shah, yang memberi keterangan tentang mahakarya Kak Chah.
Dengan penggunaan ayat yang mudah dihadam, Kak Chah mampu menyelami pelbagai emosi manusia, baik suka duka, jerih payah, dan pahit manis, khususnya dalam mengharungi alam percintaan atau kehidupan di alam nyata.
Tirai konsert dibuka oleh bakat baru, Arish Mikael, yang memiliki suara persis Allahyarham Sudirman.
Aura penyanyi kecil molek itu cukup memukau meskipun beliau agak baru dalam industri.
Gemersik suaranya mendendangkan lagu Jauh Di Sudut Hati, Merisik Khabar dan Sepetang Di Pinggir Bukit.
Dalam wawancara saya bersama Kak Chah sebelum ini, beliau menjelaskan betapa beliau sering dijadikan teman mendengar masalah sahabat seni yang rapat dengannya, seperti Sudirman, Salamiah dan Rahimah.
“Saya pun suka menghasilkan lirik yang bawa anak kota memikirkan tentang desa permai yang mereka mungkin tak pernah nampak atau tiada pengalaman dewasa di kampung.
“Jadi adalah lagu-lagu seperti Sepetang Di Pinggir Bukit atau Balik Kampung yang betul-betul memiliki suasana kekampungan. Kita nakkan orang bayangkan apa erti kedamaian dan keceriaan, seiring dengan lagu dengan nilai kemelayuan yang asli,” ujar Kak Chah.
Saya harus puji dua bakat Singapura, yang menjadi generasi pelapis, Rahila Rashun dan Sufi Rashid.
Sedang Rahila, juara peraduan realiti SG Mania 3, pernah bertanding di Malayia (Akademi Fantasia 2016), dan Indonesia (Dangdut Academy Asia 3), Sufi pula adalah juara Akademi Fantasia 2015, yang kini penganjur konsert berskala besar seperti yang menampilkan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan kumpulan Black Eyed Peas.
Rahila membawakan lagu hit, Zaiton Sameon, Menaruh Harapan, dan Siti Nurhaliza, Dialah Di Hati.
Sufi pula tampil dengan lagu sarat dengan peribahasa seperti ‘berakit-rakitlah ke hulu, berenang-renang ke tepian’, Kelip-Kelip Kusangka Api, nyanyian asal Malik Ridzuan, dan Di Desa Kasihku Tertumpah oleh Datuk D J Dave.
Satu perkara yang Kak Chah titipkan sebagai cenderahati dalam setiap lagunya adalah dorongan untuk kita mencintai bahasa ibunda kita sendiri.
“Kak Chah ni tulis lirik lagu dengan susunan ayat dan perkataan yang mudah. Kita senang ingat sampai bila-bila. Lagu saya, Sendiri, ditulis dengan perkataan mudah, yang boleh saya tak terfikirkan nak buat. Itulah keistimewaan Kak Chah. Beliau dapat menyelami jiwa penyanyi.
“Kebetulan, masa tu, saya memang lalui tempoh kegelapan dalam hidup,” jelas Jamal yang menghiburkan peminatnya dengan lagu Sendiri dan Kau Lupa Janji.
Sempat juga beliau menyingkap kenangan lama, yang mana ada beberapa lirik tulisan Kak Chah adalah tentang isteri pertamanya yang rapat dengan Kak Chah.
“Tak naklah saya nyanyi lagu-lagu tu... sebab ia kisah isteri pertama saya dulu,” guraunya, selamba.
Bagi saya, ‘orang lama’ macam Jamal dan Salamiah memang bersahaja. Kalau mereka menyanyi pun, relaks sahaja dan kekal merdu sebagai santapan halwa telinga.
Salamiah menyanyikan lagu Menghitung Hari dan Semut-Semut Di Titian Usang (didendangkan bersama kumpulan tiga anak muda, GTS, daripada peraduan Kaki Nyanyi).
Bukan sahaja lirik tulisan Kak Chah bagi dua lagu ini membawa impak sehinggakan penonton di belakang saya berbisik kepada temannya: “Ini memang lagu ‘favourite’... selalu tunggu di tepi radio, nak dengar orang minta deejay putarkan!”
Bagaimanapun, segmen duet merupakan yang paling saya nanti-nantikan. Sebabnya, anda tidak akan dapat menemui gandingan suara ini di mana-mana, kecuali dalam konsert Dari Sudut Hati, Habsah Hassan.
Walaupun bukan lagu mereka, kedengaran merdu dan romantis lagu Roy & Fran, Siapa Dia Sebelum Daku, didendangkan Rahila dan Sufi.
Mereka kemudian bawakan lagu yang lama tidak saya dengar, Kesederhanaanmu, yang dipopularkan Azlina Aziz dan Azman Abu Hassan.
Apabila ‘otai’ masih berbisa, Jamal dan Salamiah, kembali ke pentas untuk membawakan lagu ikonik, Jay Jay dan Dayangku Intan, Kita Insan Biasa, itulah detik keemasan yang tidak akan berulang lagi.
Suara mereka memang menusuk ke kalbu bagi menggambarkan situasi manusia yang tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dan ingin kembali berubah ke arah kebaikan.
Sanjungan buat Kak Chah turut diberi legenda Singapura, Rahimah Rahim, yang begitu sebak ketika mendendangkan lagu kerohanian, Doa, dan melanjutkan persembahan dengan Jika Begini dan Selamat Berhari Raya.
Sebagai penghibur, beliau memang mampu menyentuh jiwa penonton ataupun membuat kami tergelak dengan gurauan selamba.
Walau Lebaran sudah berlalu pergi, demi nostalgia, mengapa tidak nyanyikan lagi lagu Raya ikonik Rahimah?
Titisan air mata juga membasahi pipi beberapa penonton apabila mendengar ucapan ringkas Kak Chah yang menganggap Singapura sebagai ‘pelabuhan’ untuknya mengembangkan bakat penulisan, bermula dengan skrip drama radio.
Dari pelabuhan yang menjadi dataran menebarkan sayap dalam dunia penulisan lirik serba indah, tumpuan kami beralih pula kepada video yang dirakam Esplanade sebagai kejutan manis.
Pesanan daripada suami Kak Chah, karyawan kewangan, Encik Mohamed Jusoh, juga menyentuh jiwa.
Tonggak yang jarang meluahkan kasih sayangnya dengan kata-kata pada hari itu melahirkan rasa bangganya terhadap setiap pengorbanan Kak Chah dalam kerjayanya sebagai penulis lirik, yang turut menaikkan nama ramai bintang tersohor di Nusantara.
Hanya satu sahaja kekecewaan menyelubungi hati. Lagu ikonik daripada kumpulan tiga pemuda Baba Peranakan, Kenny, Remy, Martin, Suratan Atau Kebetulan, yang mendapat sentuhan pena Kak Chah, tidak dapat dimuatkan, atas keterbatasan masa.
Perkara ini turut diluahkan Kak Chah yang menganggapnya sebagai lagu yang miliki kesan kerana pasti ramai pernah melalui tempoh bertemu semula dengan cinta yang pernah berbekas di hati.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg