Bak lagu Tan Sri P. Ramlee, Tiada Kata Secantik Bahasa, begitulah hakikatnya apabila penulis meneliti lirik hasil ilham penulis lirik tidak asing lagi yang pernah bersekolah dan menetap di Singapura, Datuk Habsah Hassan.
Lirik bagi lebih 1,000 lagu termasuk beberapa lagu Hari Raya telah pun dihasilkan Habsah, 75 tahun, dengan ketajaman mata penanya yang membuka minda dan menyentuh emosi sesiapa yang mendengar.
Terpahat dalam ingatan keindahan lagu seperti Terasing dan Sepetang Di Pinggir Bukit (dendangan Datuk Sudirman); Hati Yang Rapuh dan Doa (Rahimah Rahim); Menaruh Harapan (Zaiton Sameon); Hati Seorang Kekasih dan Setia Menanti (Noorkumalasari); serta Aku Hanya Pendatang (Datuk Francissca Peter) dan Siapa Dia Sebelum Daku (Francissca dan Roy); yang mendapat sentuhan emas Habsah, yang mesra dengan panggilan Kak Chah.
Bakat luar biasa yang dimilikinya itu bahkan diiktiraf dan dijulang menerusi satu konsert khas sempena Pesta Raya, anjuran pusat seni Esplanade, Dari Sudut Hati, Habsah Hassan, pada 2 Mei ini, mulai 8 malam, di Dewan Konsert Esplanade.
Dengan diiringi Orkestra Tradisional Malaysia, Sounds Of Malaysia, anda dijangka akan terkesima dengan persembahan Datuk Salamiah Hassan, Datuk Jamal Abdillah, Rahimah Rahim, Sufi Rashid, Rahila Rashun, Arish dan kumpulan GTS.
Lagu yang disajikan akan membawa anda menyusur jalan kenangan selama lima dekad Habsah berkecimpung dalam dunia penulisan lirik.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) menerusi Zoom, dengan penuh kerendahan hati dan rasa terharu, beliau menjelaskan kegembiraannya disanjung di Singapura, yang dianggap ‘tempat jatuh, lagi dikenang’.
“Saya bukan artis, hanya insan seni belakang tabir.
“Saya tersentuh apabila karya saya dihargai di Singapura, tempat di mana saya pernah belajar di Sekolah Rendah Fairfield Methodist dan pernah tinggal di kawasan Kaki Bukit, sewaktu saya mengambil langkah berani kembali ke sini apabila ada tawaran menulis skrip drama radio.
“Saya bermula daripada penulisan skrip drama.
“Menulis lirik kerja terakhir saya. Inspirasi bagi menulis drama dan lirik sama, perlu ada jalan cerita dan kita perlu bijak menghasilkan cerita.
“Bagi saya, penulisan lirik lagu ini bermakna dan berperanan besar sebab ia menembusi setiap golongan manusia, baik penduduk bandar atau desa.
“Semua mesti dengar lagu.
“Kita juga harus akur dalam menghasilkan lirik untuk mereka yang memiliki tahap pemikiran berbeza. Ada orang pandai kerana pendidikan yang mereka lalui.
“Saya tulis tentang pengalaman manusia, yang pernah merasakan kebahagiaan, alam cinta, kekecewaan dan ujian hidup.
“Sebab itu lirik lagu mampu dekat di hati ramai, sebab orang boleh menerimanya dan memahami keadaan yang disampaikan atau dicoretkan saya sebagai penulis lirik,” katanya yang dilahirkan di Johor dan kemudian berpindah ke Singapura dan selanjutnya Melaka.
Bapa Habsah ialah seorang pegawai polis yang bertugas dengan Pasukan Polis Singapura, manakala ibunya pula warga Singapura.
Menurut ibu empat anak perempuan ini, beliau banyak membaca untuk mendapatkan idea bernas bagi drama dan lirik lagu, selain memerhatikan pengalaman teman dan saudara-mara untuk dijadikan rencah lirik-liriknya.
Pengajiannya di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) terhenti kerana pada ketika itu, beliau mendapat lamaran untuk terus menulis drama radio bagi siaran di Radio Singapura oleh ikon bangsawan, cerita seram dan penulisan skrip di Singapura, Jah Lelawati.
“Dari sekolah rendah, saya dah mula menulis skrip.
“Ibu bapa menyokong dengan membelikan saya mesin taip dan radio transistor untuk mendengar drama radio dan rancangan pengayaan bahasa serta lagu yang disiarkan juruhebah.
“Alhamdulillah, pada usia 15 tahun, skrip saya yang berjudul Hati Si Cacat diterima Radio Singapura.
“Saya dapat surat daripada Kak Jah Lelawati yang terkenal ketika itu.
“Katanya, tawaran itu dibuka bukan kepada calang-calang orang sebab beliau yakin dengan bakat dan potensi saya.
“Maka, saya pun kembali menetap di Singapura, di kawasan Kaki Bukit, bersebelahan dengan rumah biduan, A. Ramlie,” jelasnya.
Hati Si Cacat mengisahkan tentang seorang tentera yang terlibat dalam operasi Konfrontasi Indonesia-Malaysia yang bermula pada 20 Januari 1963.
Singapura masih sebahagian daripada Malaysia ketika itu.
Tentera itu cedera dan kehilangan kakinya dalam satu serang hendap.
Beliau kemudian tidak diterima keluarga tunangnya.
Ia kisah sedih yang merentap tangkai hati, jelas Habsah.
Bagi Habsah, seorang penulis (apa jua bentuk penulisan) perlu banyak membaca dan terdedah pada pengetahuan tentang peristiwa bersejarah untuk dijadikan latar jalan ceritanya.
Beliau merujuk pada majalah Inggeris seperti True Compassion dan Reader’s Digest untuk mendapat idea kisah-kisah kemanusiaan.
Ruangan dalam surat khabar yang digemarinya pula adalah soalan pembaca tentang masalah kehidupan, yang dijawab pakar atau kolumnis, persis ruangan Aunt Agony.
Setelah menghasilkan siri ‘isadra’ (gabungan irama, sajak dan drama) bagi Radio Singapura dalam program yang dikelolakan pengasas penyiaran Melayu di Singapura, Zahrah Za’ba, Habsah dilamar Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menjadi juruhebah dan penerbit drama.
Daripada tugasannya dalam bidang penyiaran radio itu, barulah beliau mendapat peluang menulis lirik.
“Cuma anehnya, saya tak ingat lirik pertama yang saya tulis.
“Saya sangkakan lirik lagu ‘meletup’, Terkenang, oleh juara Bintang RTM 1976, Zuliflee Ahmad pada 1970-an, yang pertama saya hasilkan.
“Tapi sahabat saya mati-mati kata bukan.
“Sebaliknya, beliau yakin lirik lagu Salamiah Hassan adalah yang pertama saya coretkan. Tapi entah lagu apa, saya dan Salamiah pun dah tak ingat!
“Saya cuma ingat saya beri judul lagu terkenal Salamiah, Bayu Temanku, sebuah lagu saduran.
“Tapi liriknya saya tak buat sebab saya berjiwa kemelayuan.
“ Saya anti betul lagu saduran dan berkeras tak nak bikin lirik bagi lagu saduran untuk My Friend The Wind (lagu asal Demis Roussos) walaupun iramanya lunak didengar,” tambah Habsah, yang bersyukur mempunyai suami yang menunjukkan kasih sayang dan sokongan tanpa kata-kata.
“Saya dan suami memang jauh beza. Saya orang seni. Beliau dalam sektor kewangan.
“Tapi sejak kami kahwin, beliau tak pernah tanya dan nak selidik dalam-dalam apa yang saya buat.
“Tak cemburu dan beri kepercayaan penuh pada saya, lantas beri ruang saya berjaya dalam kerjaya,” jelasnya.
Mengenai bagaimana dirinya mampu menyelami perasaan sang penyanyi yang bakal mendendangkan lagu hasil tulisan lirik olehnya, Habsah tersenyum seraya berkata: “Saya sebenarnya tak ramai kawan. Saya cuma rapat dengan beberapa orang seperti Salamiah, arwah Sudirman yang dah jadi macam adik kandung saya dan Rahimah.
“Saya sering dijadikan teman pendengar segala rintihan rasa teman-teman ini.
“Entah mengapa mereka gemar berkongsi dengan saya kisah perjalanan hidup dan gejolak emosi mereka.
“Sebahagiannya saya jadikan sumber ilham untuk lirik yang saya tulis.
“Secara tidak langsung, apabila mereka menyampaikan lagu itu, mereka mampu menghayatinya dengan baik.
“Maka ‘menjadilah’ lagu itu,” katanya.
Menurutnya lagi, kadangkala segalanya datang secara kebetulan, sepertimana lirik lagu Zaiton, Menaruh Harapan.
“Saya tak kenal Zaiton.
“Pencipta lagu, Allahyarham A. Ali, minta saya lirik lagu yang sesuai untuk Zaiton.
“Saya cuba amati warna vokalnya. Saya hanya bertemu dengannya semasa beliau menang Anugerah Juara Lagu.
“Beliau memberitahu saya, lirik itu kena pula dengan kehidupan peribadinya,” ujar Habsah.
Ada banyak juga lirik lagu Hari Raya malar segar yang beliau coretkan seperti Sepasang Kurung Biru (nyanyian Khairil Johari Johar) dan Suasana Hari Raya (Anuar Zain dan Ellina).
“Saya cuba gambarkan ‘mood’ beraya, sama ada gembira atau sedih. Kita fikirkan orang yang balik kampung, orang yang merindui orang jauh tetapi kadang tak kesampaian bertemu mereka yang sudah pergi. Semua ini nostalgia apabila kita sambut Lebaran. Kita nak bangkitkan semangat terkenang-kenang atau gembira sakan beraya.
“Saya kira zaman dah berubah. Entah macam mana, saya tak berapa dapat nak kaitkan diri saya dengan lagu zaman sekarang. Macam lagu Alamak Raya Lagi!, lagu De Fam, yang digemari ramai. Memang rancak dan budak-budak suka tapi payah nak benar-benar sentuh jiwa dari segi kehalusan bahasa,” ujarnya yang sedang mengusahakan lirik bagi dua penyanyi mapan ‘papan atas’ di Malaysia, yang enggan didedahkannya.
Nota: Tiket Konsert Dari Sudut Hati, Habsah Hassan, berharga antara $24 dengan $100 boleh ditempah di laman web Sistic (www.sistic.com.sg).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg