Pelakon dan pelawak, Jack Black, mendapati dunia filem, A Minecraft Movie, mudah difahami kerana beliau pernah bermain permainan video Minecraft, yang menjadi asas kepada filem komedi pengembaraan fantasi itu.
Permainan video Minecraft yang dicipta oleh pembangun permainan asal Sweden, adalah permainan popular antarabangsa dan dikenali dengan grafik bloknya.
Melalui permainan itu, pemain boleh mencipta apa sahaja menggunakan sumber yang diperoleh.
“Saya ada anak-anak yang taasub dengan permainan Minecraft selama bertahun-tahun, sebelum saya mendengar tentang filem ini.
“Saya belajar cara bermain permainan itu kerana saya memang suka permainan video,” lapor Black, 55 tahun, lapor agensi berita, Reuters.
Filem yang dikembangkan oleh pencipta permainan tersebut, Mojang Studios, mengisahkan Steve (dimainkan oleh Jack Black), seorang lelaki yang telah lama terperangkap dalam dimensi alternatif yang dikenali sebagai Overworld, dengan tampilan bentuk geometri atau blok.
Namun, watak lain seperti, Garrett (Jason Momoa) dan Dawn (Danielle Brooks) secara tidak sengaja menemui barangan milik Steve di dunia nyata.
Sebuah kiub ajaib membawa mereka ke dalam dunia Overworld.
Maka, mereka perlu mempelajari rahsia dan selok-belok dimensi itu untuk bertahan hidup.
Sementara itu, pelakon Amerika Syarikat, Momoa, 45 tahun, dan Black menghadapi cabaran unik untuk menjalani satu adegan yang mereka gelar sebagai man sandwich, kerana terpaksa berada dalam keadaan rapat dengan satu sama lain untuk melalui lubang sambil berkongsi alat penerbangan.
“Ini adalah pengalaman yang menyatukan kami berdua dan ia benar-benar menghasilkan komedi yang luar biasa,” kata Black, bapa dua anak lelaki berusia antara 17 tahun dengan 19 tahun.
Sebelum itu, beliau berasa tidak yakin untuk melakonkan adegan tersebut bersama Momoa.
“Ketika saya membacanya dalam skrip, saya terfikir, ‘Betulkah kami akan lakukannya? Kami akan melangkah sejauh ini?’
“Dan saya tertanya-tanya, ‘Bagaimanakah kami akan melakukannya? Dengan menggunakan sistem kompleks tali dan takal?’
“Bagaimanapun, ternyata kami berjaya melakukannya,” ujarnya.
Sementara itu, pengarah, Jared Hess, berusaha memastikan gambaran filem itu kelihatan asli bagi peminat permainan Minecraft.
Namun, tidak semua ciri mampu meniru permainan tersebut sepenuhnya.
“Ini adalah kisah Minecraft. Ia mungkin tidak menangkap setiap sudut dan aspek permainan ini, namun ia memuatkan banyak unsur hebat yang pasti akan menggembirakan peminat tegar Minecraft,” tambah Black.
Filem Minecraft boleh ditonton di pawagam di Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg