Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jason Derulo adakan konsert di S’pura buat kali pertama

Konsert ‘Nu King World Tour’ berlangsung 25 Jun, bermula 8 malam di The Star Theatre
Apr 10, 2025 | 5:30 AM
Penyanyi pop dan R&B antarabangsa, Jason Derulo, teruja berada di Singapura buat kali pertama untuk menjayakan konsert jelajah, ‘Nu King World Tour’, pada 25 Jun di The Star Theatre.
Penyanyi pop dan R&B antarabangsa, Jason Derulo, teruja berada di Singapura buat kali pertama untuk menjayakan konsert jelajah, ‘Nu King World Tour’, pada 25 Jun di The Star Theatre. - Foto AFP

Buat julung-julung kalinya, penyanyi pop dan R&B antarabangsa, Jason Derulo, bakal menemui peminatnya di Singapura menerusi konsert jelajahnya, Nu King World Tour, pada 25 Jun di The Star Theatre.

Konsert itu pada asalnya dijadual berlangsung di Arena @ Expo pada 20 Mac. 

Namun begitu, pada 14 Mac, penganjur konsert, LAMC Productions, mengumumkan perubahan lokasi dan tarikh acara tersebut atas alasan keadaan yang tidak diduga.

Ditanya Berita Harian (BH) melalui wawancara Zoom pada 27 Mac mengenai hal yang dinanti-nanti ketika mendarat di Singapura, Derulo, 35 tahun, berkata:

“Ini merupakan kali pertama saya ke Singapura. Saya belum pernah mencuba makanan yang ada di sini.

“Atas saranan ramai teman, hal yang ingin saya lakukan apabila sampai ke Singapura adalah untuk mencuba makanannya yang pelbagai.”

Derulo, atau nama sebenarnya, Jason Joel Desrouleaux, meraih kejayaan awal melalui single pertamanya berjudul, Whatcha Say.

Lagu itu adalah gabungan pop dan R&B yang menggunakan sampel lagu, Hide And Seek, dendangan penyanyi dan penulis lagu dari Britain, Imogen Heap, yang dikeluarkan pada 2005. 

Lebih menarik lagi, lagu Whatcha Say, telah mencapai kedudukan pertama di carta muzik US Billboard dan kemudian dimasukkan dalam album debut bergelar sendiri yang dilancarkan pada 2010.  

Menyusuli kejayaan itu, Derulo melancarkan empat lagi album, termasuk album kelimanya yang terbaru berjudul, Nu King, dan mencipta lebih banyak lagu hit seperti, Talk Dirty pada 2013, yang menampilkan rapper Amerika, 2 Chainz.  

Pada 2020, ketika pandemik Covid-19 melanda, Derulo mula memuat naik video di laman TikTok dan menghasilkan kandungan menggabungkan tarian, jenaka dan video ‘challenge’ (cabaran) untuk tular. 

Video yang dimuat naiknya menjadi sangat popular hingga dikenali sebagai bintang muzik keenam terbesar di wadah tersebut dengan 66.1 juta pengikut.

Semasa konsert pada Jun, Derulo akan membawakan lagu hitnya, dari 2009 hingga kini, antara lain, Whatcha Say (2009); Ridin’ Solo (2010); In My Head (2010); Trumpets (2013); The Other Side (2013); Talk Dirty (2013); Want To Want Me (2015); Savage Love (2020) dan Swalla (2024).

“Saya mempunyai beberapa penari dan pemuzik terbaik di dunia yang akan bersama saya pada konsert nanti, dan ia sentiasa menjadi sebuah persembahan yang luar biasa. 

“Saya rasa persembahan kami tiada tandingannya di seluruh dunia,” tambahnya, yang mempunyai seorang cahaya mata bernama, Jason King Derulo, tiga tahun.

Selain itu, melihat kecenderungan penyanyi atau pemuzik menggunakan wadah media sosial untuk mempromosikan lagu, Derulo sebaliknya menumpukan lebih perhatian terhadap pembikinan video muzik bagi lagu yang dilancarkannya.

“Kemajuan media sosial dalam industri muzik telah mendorong banyak label rakaman untuk menghasilkan kandungan, mempromosikan lagu dalam ruang tersebut.

“Sebaliknya, saya melakukan sesuatu ibarat menentang arus. Saya lebih memberi tumpuan kepada mutu video muzik saya berbanding kandungan dalam media sosial.

“Dengan itu, melalui album terbaru, Nu King, saya menyuntik kesegaran pada nilai visual atau penampilan dalam video muzik yang dihasilkan, sekali gus mengangkat mutu karya tersebut,” kata Derulo.

Bagaimanapun, Derulo mengakui bahawa media sosial, khususnya TikTok, telah menjadi wadah penting bagi ramai penyanyi mempromosikan lagu dan karya mereka. 

Beliau turut menekankan bahawa perkembangan media sosial dan populariti trend semasa yang mudah tular, tidak seharusnya mengubah jati diri atau selera muzik yang dibawakan oleh seorang artis.

Tiket bagi konsert Nu King World Tour berharga antara $148 dengan $228, boleh didapatkan melalui laman web Sistic https://www.sistic.com.sg/events/jason0325

“Ini merupakan kali pertama saya ke Singapura. Saya belum pernah mencuba makanan yang ada di sini. Atas saranan ramai teman, hal yang ingin saya lakukan apabila sampai ke Singapura adalah untuk mencuba makanannya yang pelbagai.”
Penyanyi Amerika Syarikat, Jason Derulo.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg