Jaclyn Victor kongsi rahsia bahagia sebagai isteri kali kedua
Jaclyn Victor kongsi rahsia bahagia sebagai isteri kali kedua
Juara GV9 serta All Stars GV akui perlu jadi sahabat kepada pasangan dalam rumah tangga
Setelah menempuh asam garam rumah tangga buat kali kedua, penyanyi dan Juara Gegar Vaganza 9 (GV9) serta All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Jaclyn Victor, 47 tahun, akur alam perkahwinan banyak mengajarnya tentang erti bertolak ansur dan keperluan kefahaman yang tinggi antara sesama pasangan.
Menurut Jaclyn, atau nama sebenarnya, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, hubungan suami isteri bukan sekadar soal ikatan, sebaliknya menuntut persahabatan yang kukuh sebagai asas penting.
“Saya rasa penting untuk kita bukan sahaja menjadi pasangan sehidup semati, tetapi juga sahabat kepada pasangan sendiri.
“Dalam mana-mana hubungan pun, sebagai pasangan, kita perlu banyak bertolak ansur, saling memberi dan menerima, serta memiliki kefahaman yang mendalam antara satu sama lain,” katanya, yang lebih mesra disapa Jac, kepada Berita Harian (BH), baru-baru ini.
Ibu dua anak itu, turut berkongsi perkahwinan adalah sebuah proses yang berterusan, bukan destinasi idaman atau lambang puncak percintaan semata-mata, sebaik sahaja lafaz akad dilafazkan.
“Kadangkala kita merasakan seolah-olah sudah banyak melalui pelbagai fasa kehidupan, sedangkan hakikatnya masih banyak yang perlu dipelajari dan diusahakan.
“Perkahwinan bukan bermakna segalanya sudah terjamin sebaik sahaja akad dilafazkan,” ujarnya lagi.
Ketika ditemui BH, Jac sedang mempersiapkan diri sambil menanti giliran bagi persembahan duet bersama Juara Gegar Vaganza 12 (GV12), Iskandar Ismail, atau lebih dikenali sebagai Eiss, 47 tahun, pada pusingan akhir GV12 yang bersiaran langsung di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia.
Program GV12 telah melabuhkan tirainya pada 18 Januari lalu dengan turut menobatkan kumpulan vokal dari Indonesia, Mendua, sebagai Naib Juara.
Sementara itu, bekas peserta Akademi Fantasia 6 (AF6), Nubhan, meraih tempat ketiga.
Sebelum ini, Jac tidak berhasrat untuk menghebahkan perkahwinan keduanya bersama seorang pensyarah, Calvin T Samuel, yang berlangsung dalam satu majlis tertutup pada 25 Mei 2025.
Namun, keputusan untuk tidak mengumumkan perkahwinan tersebut dibuat berikutan statusnya sebagai ibu tunggal serta faktor usia.
Mengulas perasaannya bergelar isteri buat kali kedua, Jac mengakui tidak berasa janggal dengan status barunya itu.
“Segalanya berlaku secara semula jadi. Saya juga menikmati kehidupan berumah tangga.
“Pada masa sama, suami saya seorang lelaki yang baik, serta ayah yang bertanggungjawab kepada kededua anak saya, Jonah dan Molly.
“Setiap pagi, beliau akan membawa mereka ke kolam renang atau melakukan pelbagai aktiviti santai bersama, menjadikan suasana rumah sentiasa meriah.
“Beliau memang ‘fun dad’ (ayah yang seronok). Anak-anak sangat menyukainya. Saya benar-benar bersyukur.
“Meskipun pernah berkahwin sebelum ini, saya langsung tidak berasa janggal atau kekok untuk menyesuaikan diri dengan status baru,” tambah Jac, yang mengenali suaminya buat kali pertama pada 2018.
Hasil perkahwinan Jac dengan anggota kumpulan Az Yet asal Amerika Syarikat, Shawn Rivera, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Jonah Joshiah Rivera, 11 tahun dan Molly Marguerite Rivera, sembilan tahun.
Bagaimanapun, Jac dan Rivera telah bercerai pada Januari 2020.
Sebelum mempersembahkan lagu duet Senja Nan Merah, yang dipopularkan Datuk Awie dan Ziana Zain, bersama Eiss, Jac mengakui pentas GV12 menjadi titik pertemuan istimewa buat mereka berdua, meskipun sudah bersahabat selama lebih 20 tahun.
“Kali pertama saya mengenali Eiss adalah ketika kami bertemu dalam salah satu program di Singapura iaitu, Muzika Extravaganza, sekitar 2006.
“Saya sentiasa seronok apabila digandingkan dengan penyanyi yang mempunyai keupayaan vokal yang sangat bagus.
“Apa yang menarik tentang Eiss ialah nyanyiannya bukan sekadar mempamerkan kekuatan suara, tetapi turut menitikberatkan penghayatan.
“Apabila kami bertemu semula di pentas GV12, barulah kami sedar sebenarnya sebelum ini, tidak berpeluang untuk bernyanyi bersama-sama.
“Jadi, ini merupakan kali pertama dan saya berasa bangga melihat pencapaiannya hingga ke tahap ini dalam GV,” kata Jac.
Melihat sang sahabat berhasil mencapai tahap yang membanggakan dalam pentas GV yang penuh dengan cabaran, Jac turut mengenang pengalamannya sewaktu bertanding dalam GV9 pada 2022.
“Setiap penyanyi pasti melalui fasa ‘naik turun’ dalam kerjaya seni.
“Namun, program GV memang mempunyai nama dan sambutan yang sangat besar.
“Malah, bagi diri saya sendiri yang pernah terlibat dalam GV9, saya amat bersyukur atas peluang yang diberikan untuk mencabar diri.
“Pada awalnya, saya tidak menyangka akan menyertai GV9. Puas saya menolak tawaran tersebut, tetapi setelah dipujuk, barulah saya bersetuju.
“Selain itu, ramai rakan-rakan saya turut terlibat ketika itu, termasuk Shila Amzah dan Tomok.
“Saya sukakan cabaran itu dan saya juga agak kompetitif, tetapi secara sihat,” ujarnya, yang turut melihat semangat yang sama dalam diri Eiss.
Dalam pada itu, menepis tanggapan netizen yang mengatakan dirinya gemar ‘overpower’ atau menandingi rakan duet, Jac akur demi menghasilkan duet yang mantap, kededua pihak mesti memberi usaha yang sama rata.
“Jangan risau, Jaclyn Victor bukanlah bangsa yang ‘nak telan orang’ (dalam persembahan).
“Kalau rakan duet saya berikan tenaga yang baik, saya akan sambut dan berikan usaha yang sama.
“Itulah perkara yang saya sangat titikberatkan dalam persembahan duet.
“Tambahan lagi, lagu Senja Nan Merah memang mencabar kerana menuntut penyampaian vokal tinggi dan penghayatan lagu yang mendalam.
“Kita perlu memberikan persembahan terbaik kerana jika tidak, seolah-olah kita mengecewakan pasangan duet nanti,” kata Jac.
Persembahan duet Senja Nan Merah oleh Jac dan Eiss semasa pusingan akhir GV12, boleh ditonton semula di laman web YouTube Astro Gempak.
“
Apa yang menarik tentang Eiss ialah nyanyiannya bukan sekadar mempamerkan kekuatan suara, tetapi turut menitikberatkan penghayatan.
