Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jaclyn Victor tiada niat rahsiakan perkahwinan

Jul 15, 2025 | 6:19 PM
Jaclyn Victor, kahwin
Jaclyn Victor (kanan) menjelaskan beliau tiada niat merahsiakan perkahwinannya dengan paderi, Calvin T. Samuel, kerana ia bukan perkahwinan kali pertamanya dan memandangkan faktor usia, lebih senang dikelilingi dan ditemani keluarga rapat. - Foto INSTAGRAM JACLYN VICTOR

Penyanyi dan juara peraduan realiti, All Stars Gegar Vaganza, Jaclyn Victor, tidak berniat merahsiakan perkahwinan kali kedua yang dianjurkan secara tertutup pada 25 Mei lalu.

Jaclyn, atau lebih akrab disapa Jac, berkata keputusan untuk tidak mengumumkan perkahwinan bersama paderi, Calvin T Samuel, disebabkan statusnya sebagai ibu tunggal dan faktor usia.

“Bukan saya hendak berahsia. Cuma, saya pilih untuk tidak mahu menghebahkannya. Umur saya pun sudah begini. Lagipun, ini bukan perkahwinan pertama saya.

“Bukan saya hendak rahsiakan selama-lamanya pun. Saya sedar kawan-kawan pasti berkongsi majlis resepsi saya di media sosial.

“Jadi, saya fikir, tidak perlulah hendak dikecohkan. Biarlah saya simpan sebagai sesuatu yang amat peribadi,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada majlis An Intimate Afternoon with Bunga Citra Lestari, pada 14 Julai.

Jaclyn bersama pemain biola profesional, Dennis Lau, menjadi artis undangan konsert anjuran Pulse Project Asia itu.

Ditanya apa yang membuatkan hatinya terpikat dengan lelaki berstatus duda anak dua itu, penyanyi lagu Bertamu Di Kalbu itu mengakui tarikan fizikal adalah faktor utama.

“Saya suka dirinya kerana dia tinggi, berkulit gelap dan kacak. Dia juga baik dan tenang.

‘Saya suka cara dia layan anak-anak saya. Dia banyak habiskan masa bersama mereka. Hubungan saya dan dia pun tidak kekok. Dia pendengar yang baik dan sifatnya itu membuatkan saya selesa berkongsi masalah dengannya.

“Cara komunikasi kami pun baik,” kata bintang bervokal lantang itu.

Sementara itu, Calvin yang berasal dari kepulauan Barbados menyifatkan isterinya insan mengagumkan.

“Kami bertemu dua tahun lalu ketika saya ambil cuti sabatikal di Malaysia.

“Saya hadir di sebuah acara, di mana Jaclyn membuat persembahan. Itu adalah kali pertama kami bertemu.

‘Saya suka semuanya mengenai Jaclyn dan dia merendah hati serta sangat mengagumkan,” katanya.

Jaclyn, sebelum ini, pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Amerika Syarikat (AS), Shawn Rivera, pada 2014, namun, perkahwinan mereka berakhir pada 2019.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Jonah, 10 tahun, dan Molly, lapan tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg