Demi menjayakan watak antagonis, Aqsad, dalam drama bersiri, Operandi Gerhana, penyanyi dan pelakon kacukan Indonesia dan Australia, Jamie Aditya, mengimbau kembali perasaan marah yang dirasainya sewaktu kecil.
“Memang saya dikenali sebagai individu yang ceria dan selalu bergurau.
“Namun, saya rasa semua orang pasti pernah melalui rasa marah atau tidak puas hati.
“Saya memikirkan semula pengalaman pelik yang pernah saya lalui ketika masih kanak-kanak.
“Perasaan ‘ingin memukul seseorang’ apabila di sekolah dan marah dengan individu tersebut.
“Mungkin dia telah melakukan sesuatu yang tidak elok pada saya atau keluarga. Saya menggunakan semangat itu untuk menghidupkan watak Aqsad.
“Mujur ia hanya watak dan bukan dalam dunia nyata,” kata Jamie semasa diwawancara Berita Harian (BH) di Teater Mediacorp.
Watak Aqsad merupakan seorang bekas tentera yang ingin menuntut bela dengan mengetuai kumpulan samseng Naga dalam drama era 50-an itu.
Lakonan Jamie, atau nama sebenarnya, James Adityawarman Graham, 55 tahun, yang berkesan berjaya memikat hati juri.
Beliau memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Drama Bersiri di Pesta Perdana 2025 pada 24 Mei.
Dengan kemenangan itu, beliau berjaya menewaskan pesaingnya pelakon, Fir Rahman (S.P.Y Musim Kedua); Haizad Imran (Mencari Marina); Iskandar Shah Zulkifli (Makan INC); dan Shahrin Azhar (Krisalis).
Ditanya mengenai perasaannya sewaktu diumumkan sebagai pemenang, Jamie berkata dirinya tidak meletakkan harapan untuk menang kerana dicalonkan bersama barisan pelakon hebat.
“Saya tidak menyangka bakal menang. Fir Rahman yang berlakon bersama saya dalam Operandi Gerhana turut tercalon dalam kategori ini.
“Saya amat meminati lakonan dan cara beliau bekerja kerana bagi saya, dia sungguh berbakat,” akui Jamie.
Lakonan Jamie dalam drama itu menyerlah sehingga beliau tercalon dalam kategori yang sama di ContentAsia Awards 2024.
Mengulas mengenai pengalaman bersama kru penerbitan yang melibatkan beberapa negara, Jamie menyifatkannya sebagai pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Pengarah (Mike Wiluan) dan kru memastikan semua yang terlibat berasa selesa.
“Semuanya berjalan dengan lancar dan pengalamannya sangat seronok hingga tidak rasa seperti bekerja. Kami seperti satu keluarga besar dari berbilang negara,” ujar Jamie.
Walaupun lebih dikenali sebagai pengacara atau VJ (video jockey) bagi MTV Asia pada lewat 1990-an bersama pengacara Indonesia, Nadya Hutagalung, Sarah Sechan dan pengacara Thailand, Utt Panichkul, Jamie turut berbakat dalam bidang lakonan.
Beliau pernah membintangi beberapa penerbitan termasuk filem romantik, Asmara Dua Diana (2009), bersama pelakon popular Indonesia, Luna Maya dan Aura Kasih; serta filem komedi, Kabayan Jadi Milyuner (2010), bersama pelakon, Riana Catwright.
Jamie juga pernah memenangi anugerah bagi kategori Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2019, bagi lakonannya sebagai Kurt dalam drama aksi, Grisse (2019), yang ditayangkan di saluran HBO.
Ditanya mengenai perkembangan terkini, Jamie berkongsi dirinya sibuk berulang-alik antara Indonesia dengan Australia bagi memenuhi undangan nyanyian di pesta muzik dan acara khas.
“Isteri dan anak-anak masih di Melbourne. Namun saya sering ke Jakarta demi tuntutan tugas.
“Saya sering menyanyikan lagu irama ‘blues’ dan jaz di kelab malam, pesta muzik dan turut menerima undangan bagi persembahan di acara korporat dan sebagainya,” kongsi Jamie yang turut membuat persembahan solo di The Lobby Lounge, Hotel Intercontinental Singapore pada 4 dan 5 April lalu.
Antara lagu jaz ikonik yang sering beliau menyanyikan sewaktu membuat persembahan termasuk Going to Chicago (nyanyian asal Joe Williams) dan Minnie The Moocher (nyanyian asal Cab Calloway).
Jamie berkahwin dengan peragawati, Nathalie Widyanti, pada awal 2000-an dan mempunyai dua anak lelaki dewasa, Awan Graham dan Ali Graham.
Ditanya BH jika diberi peluang bekerjasama dengan penerbitan Singapura sekali lagi, Jamie dengan pantas menjawab “pasti” dengan nada gembira.
“Saya sangat selesa di Singapura dan warga Singapura semuanya peramah dan baik. Ia seperti rumah ketiga saya (selain Melbourne dan Jakarta).
“Tentu sekali saya terbuka jikalau diberi peluang untuk berlakon, mengacara atau menyanyi di sini,” cerita Jamie yang menetap di kota Singa dari 1996 hingga 2001 dan pernah menjadi penyampai sementara di stesen radio tempatan oleh SPH Media, HOTFM 91.3 (kini ONE FM) pada 2012.
“
“Memang saya dikenali sebagai individu yang ceria dan selalu bergurau. Namun, saya rasa semua orang pasti pernah melalui rasa marah atau tidak puas hati. Saya memikirkan semula pengalaman pelik yang pernah saya lalui ketika masih kanak-kanak... Saya menggunakan semangat itu untuk menghidupkan watak Aqsad (dalam ‘Operandi Gerhana’).”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg