Musim perayaan Hari Raya semakin hampir dan udara sekali lagi dipenuhi dengan melodi-melodi lagu Raya yang menjadi sebahagian sambutan Aidilfitri.
Namun, apa sebenarnya yang menjadikan sebuah lagu Raya kekal malar segar, sukar dilupakan dan pendengar tidak jemu mendengarnya?
Penulis lirik berpengalaman, Datuk Habsah Hassan, percaya bahawa keistimewaan lagu Raya terletak pada kemampuannya untuk menyentuh perasaan pendengar.
“Lagu Raya yang malar segar mempunyai melodi yang menarik, lirik yang menyentuh hati – sama ada menggembirakan atau menyedihkan – dan penyanyi yang dapat menyampaikan lagu dengan penuh jiwa,” katanya.
Bagi beliau, lirik memainkan peranan penting dalam mewujudkan hubungan dengan pendengar.
“Lirik yang baik ditulis dalam bahasa mudah, dapat membangkitkan nostalgia, menyambung kembali silaturahim yang terputus dan mengukuhkan ikatan persaudaraan serta persahabatan,” kata Habsah.
Mayuni Omar, komposer yang mengagumi karya legenda seperti P. Ramlee, Kassim Masdor dan S. Atan, turut berkongsi pandangan yang sama.
“Lagu Raya menjadi abadi apabila ia membawa mesej yang relevan dan dapat menyampaikan semangat perayaan. Lagu itu harus dapat membangkitkan perasaan gembira, kebersamaan dan nostalgia.
“Melodi dan lirik perlu bersatu padu untuk meninggalkan kesan yang mendalam, tidak kira berapa tahun pun berlalu,” katanya kepada Berita Minggu (BM).
Kedua-dua Habsah dan Mayuni menekankan kepentingan lirik dalam membentuk identiti sebuah lagu Raya.
Menurut Habsah, lirik adalah jambatan yang menghubungkan lagu dengan hati pendengar.
“Melalui penceritaan yang dekat dengan pengalaman pendengar, lirik dapat membangkitkan kenangan dan emosi yang berkaitan dengan musim perayaan,” ujarnya, yang akan diberi penghormatan dalam Pesta Raya Esplanade 2025.
Mayuni menambah bahawa lirik adalah tulang belakang bagi mana-mana lagu, terutamanya lagu Raya.
“Lirik harus dapat meluahkan kegembiraan pulang ke kampung, rasa syukur dan inti pati perayaan.
“Ia memberikan makna kepada muzik, menjadikannya lebih daripada sekadar melodi – ia menjadi pengalaman yang dapat dirasai oleh pendengar tahun demi tahun,” kata Mayuni.
Walaupun lagu-lagu Raya baru terus muncul setiap tahun, kedua-dua artis ini bersetuju bahawa lagu-lagu klasik tidak akan pernah dilupakan.
Habsah menyatakan bahawa kehadiran lagu baru tidak menggugat populariti lagu lama.
“Malah, lagu-lagu Raya lama yang baik telah bertahan sehingga kini,” katanya.
Mayuni pula menyatakan bahawa walaupun lagu baru mungkin menjadi popular, lagu-lagu klasik tetap mempunyai tempat istimewa di hati pendengar.
“Kedalaman dan nostalgia lagu Raya lama sukar ditandingi. Lagu-lagu ini sudah sebati dalam sambutan dan kenangan kita, dan itu adalah sesuatu yang tidak akan pudar,” ujar beliau.
Industri muzik Raya telah berkembang seiring dengan peredaran zaman, dengan genre kontemporari seperti elektronik, tarian dan rap mula meresap ke dalam senarai lagu perayaan.
Mayuni melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif.
“Lagu-lagu Raya yang lebih rancak dan moden mempunyai tempatnya dalam sambutan perayaan moden, terutamanya dengan platform seperti TikTok, yang membantu lagu-lagu ini mencapai pendengar yang lebih luas,” katanya, sambil menambah ada ruang untuk lagu lama dan baru wujud bersama.
Apabila ditanya tentang lagu Raya kegemaran mereka, kedua-dua Habsah dan Mayuni memberikan penghormatan kepada legenda muzik.
Mayuni memilih Dendang Perantau oleh P. Ramlee sebagai lagu kegemarannya, menggambarkannya sebagai lagu yang penuh nostalgia dan menyayat hati, melambangkan kerinduan dan kebersamaan yang sering dirasai semasa musim perayaan.
Beliau juga mengetengahkan karya Kassim Masdor, seperti Suasana Riang di Hari Raya, yang kekal menjadi lagu klasik kegemaran ramai.
“Lagu lama mempunyai kedalaman dan nostalgia yang sukar dicapai,” kata Mayuni.
Habsah pula memilih untuk tidak menyatakan komposer kegemarannya, dengan berkata bahawa beliau menghargai sentuhan unik yang dibawa oleh setiap komposer dalam karya mereka.
“
“Lirik yang baik ditulis dalam bahasa mudah, dapat membangkitkan nostalgia, menyambung kembali silaturahim yang terputus dan mengukuhkan ikatan persaudaraan serta persahabatan.”“
“Lirik harus dapat meluahkan kegembiraan pulang ke kampung, rasa syukur dan inti pati perayaan. Ia memberikan makna kepada muzik, menjadikannya lebih daripada sekadar melodi – ia menjadi pengalaman yang dapat dirasai oleh pendengar tahun demi tahun.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg