Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kiriman ‘surat cinta’ Ariana Grande dalam wangian ‘Love Notes’

Jan 12, 2025 | 5:30 AM
Bertemakan cinta dan perasaan romantis, penyanyi dan penggubah lagu tersohor di Amerika Syarikat, Ariana Grande, melancarkan koleksi minyak wangi, ‘Love Notes’, melalui kerjasama dengan jenama Luxe Brands.
Bertemakan cinta dan perasaan romantis, penyanyi dan penggubah lagu tersohor di Amerika Syarikat, Ariana Grande, melancarkan koleksi minyak wangi, ‘Love Notes’, melalui kerjasama dengan jenama Luxe Brands. - Foto LAMAN BILLBOARD PHILIPPINES

Minyak wangi di bawah satu rangkaian jenama Love Notes dibezakan bagi empat pasaran pengguna di Amerika Syarikat, Britain, Eropah dan Australia.

Ia diberi nama khusus, Pink Woods (Amerika), Pressed Petals (Australia), Vanilla Suede (Britain) dan Angels Kiss (Eropah).

Begitulah kreativiti yang disalurkan pasukan penyanyi dan penggubah lagu tersohor Amerika, Ariana Grande, 31 tahun, ketika melancarkan koleksi minyak wangi, Love Notes, yang bertemakan cinta dan perasaan romantis, melalui kerjasama dengan jenama Luxe Brands.

Pelancaran koleksi terbaru itu pada Ogos 2024 turut melanjutkan kejayaan produk haruman sebelumnya seperti Ari dan Cloud serta Thank U, Next yang diilhamkan daripada lagu terkenal Grande.  

Sebelum ini, rangkaian minyak wangi Cloud by Ariana Grande, Sweet Like Candy, Ari dan Thank U, Next, mencatat jualan terlaris dalam senarai produk haruman selebriti, lapor laman Cosmetics Business.

Kata Grande ketika diwawancara laman Cosmetics Business: “Koleksi ini lebih luas dan berani daripada apa yang pernah kami lakukan sebelum ini. 

“Saya sangat teruja dengan peluang ini, ibarat mengirim ‘surat cinta’ kepada peminat saya di seluruh dunia melalui aroma semerbak ini.

“Setiap minyak wangi yang direka dengan indah ini bertujuan membangkitkan pelbagai perasaan dan melambangkan fasa cinta yang berbeza.”  

Koleksi ini turut dicipta oleh pengeluar minyak wangi terkenal, Robertet dan International Flavors and Fragrances (IFF).  

Pink Woods merupakan hasil gabungan haruman bunga seperti bergamot Italy (bahan berminyak daripada ekstrak kulit limau untuk bahan kosmetik), vetiver (minyak pati daripada akar rumput) dan teratai.

Ia dilengkapi dengan bahan kekacang tonka dari Amerika Selatan serta kayu kasmir.

Sementara di Australia, pengguna minyak wangi akan menikmati haruman dengan campuran bergamot, lemon, daun violet serta kelopak jasmin dalam haruman Pressed Petals.

Di Britain, Vanilla Suede dilancarkan secara eksklusif di Boots (peruncit kesihatan dan kecantikan) dengan haruman kayu cendana, susu beras, kacang vanila dan cecair kasturi.  

Koleksi ini tidak lengkap tanpa Angels Kiss yang tersedia di kedai runcit Douglas (rantaian minyak wangi dan kosmetik berbilang negara) di beberapa negara Eropah sejak 19 Ogos 2024. 

Wangian berkenaan memberi kesan aroma beri, air mawar, kayu ambar dan kayu pirang.  

Grande turut memperluas empayar minyak wanginya dengan pelancaran wangian R.E.M., yang menampilkan haruman atas buah ara, pear dan karamel masin, ditambah dengan haruman pati lavender.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg