Drama tempatan Korban 2, terbitan Monochromatic Pictures, menyerlah di Anugerah Screen Mediacorp 2026 apabila meraih empat pengiktirafan dalam kategori Drama Melayu, sekali gus mengangkat sumbangan tenaga kreatif di belakang tabir.

Anugerah yang berlangsung buat kali kedua itu diadakan pada 2 Oktober di Hotel Mandarin Oriental.

Antara penerimanya ialah Jeevan Nathan bagi Pengarahan Terbaik; Roszali Samad (Sinematografi Terbaik); Hafiz Yusri dan Andy Tseng (Penyuntingan Terbaik); serta Umie Isa dan Razi Salam (Lakon Layar Terbaik).

Bagi Razi, 49 tahun, antara cabaran menghasilkan naskhah Korban 2 ialah memastikan jalan ceritanya mencerminkan budaya masyarakat Melayu dan Maori di New Zealand.

Perhatian khusus turut diberikan kepada pelakon New Zealand, termasuk Evander Brown, supaya dialog bahasa Melayu yang dituturkan kedengaran semula jadi.

Namun begitu, Razi melihat kerjasama merentas budaya itu sebagai peluang memperkenalkan identiti masyarakat Melayu Singapura kepada penonton antarabangsa.

“Bagi sesetengah pihak, mungkin sukar untuk membezakan budaya Melayu Singapura dengan masyarakat Melayu di Malaysia atau Indonesia.

“Namun, setiap satunya mempunyai identiti dan keistimewaan tersendiri.

“Menerusi kerjasama penerbitan seperti ini, kami berpeluang memperkenalkan keunikan budaya Melayu Singapura kepada masyarakat luar,” kata Razi kepada Berita Harian (BH).

Beliau turut menghargai kerjasama dengan penulis skrip, Umie, 45 tahun, yang memberikan keseimbangan kepada penceritaan menerusi gabungan sudut pandang lelaki dan wanita.

Sementara itu, perjalanan Murni Mohd Yussof dalam bidang media yang bermula hampir tiga dekad lalu membuahkan kejayaan apabila beliau meraih dua anugerah menerusi dokumentari, Suria25: Sinar Kota Singa.

Penerbit Kanan, Ehwal Semasa Berita Mediacorp itu memenangi kategori Arahan Terbaik (Informasi) dan Penulisan Terbaik (Informasi).

Murni, 49 tahun, mula berjinak-jinak dalam bidang kewartawanan pada 1997 menerusi latihan amali di BH di bawah program penempatan Yayasan Mendaki.

Pengalaman tersebut terus menjadi bekalan dalam kerjaya penyiarannya, meskipun kededua wadah menuntut pendekatan penulisan berbeza.

“Bagi saya, sebagai wartawan, asasnya tetap sama. Sama ada kita menghasilkan cerita hiburan, politik atau masyarakat, asas kewartawanan itu tetap diperlukan.

“Yang berbeza ialah wadahnya. Kalau menulis untuk surat khabar, kita boleh menulis dengan lebih panjang, tetapi untuk televisyen, penyampaian perlu lebih ringkas dan padat,” jelasnya.

Kemahiran itu diuji ketika beliau perlu merangkum sejarah 25 tahun saluran Mediacorp Suria dalam dokumentari sepanjang 48 minit, tanpa narasi suara latar.

“Bayangkan, sejarah 25 tahun perlu dimuatkan dalam empat segmen.

“Tanpa narasi suara latar, saya perlu memastikan kisah lebih 20 individu yang diwawancara dapat dihubungkan supaya penceritaannya mengalir dengan baik,” kata Murni.

Penulis skrip, Netty Fiona Othman, 48 tahun, pula memenangi kategori Penulisan Terbaik (Hiburan) – Melayu menerusi program Pelancaran Bulan Bahasa 2025, selain menerima pencalonan dalam kategori sama bagi Sinar Lebaran 2025.

Kededua program itu diterbitkan Mediacorp Eaglevision.

Calon lain dalam kategori tersebut ialah Amirah Kahar (bagi program Tauke Pasar Malam); Fahmi Hazmi (JMJ Beraya bersama Nat & Ella); dan Seri Wahyuni Jaes (Zoom Sepanyol).

Bagi Netty, menghasilkan skrip menuntut pengorbanan masa dan waktu tidur apabila beliau sering bersengkang mata hingga dinihari.

“Biasanya, selepas bekerja, saya akan singgah di kafe berhampiran rumah untuk menulis sehingga 2 pagi.

“Pernah juga saya menulis sampai 4 pagi, sedangkan keesokan harinya saya masih perlu ke pejabat.

“Kadangkala, idea sudah ada, tetapi sukar mencari susunan kata dan dialog yang sesuai. Bukan setiap kali duduk menulis, skrip terus dapat disiapkan,” kongsinya.

Kemenangan itu turut menyuntik semangat Netty untuk terus membimbing penulis muda agar bakat mereka mendapat tempat dalam industri penyiaran yang semakin berkembang.

“Saya mahu melihat lebih ramai penulis muda berjaya.

“Masyarakat perlu tahu bidang penulisan skrip ini wujud dan mempunyai masa depan.

“Sebagai penulis, kita juga perlu sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan,” ujar Netty.