Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sentuhan Nusantara ‘Operandi Gerhana’, nilai sejarah bawa tuah

Sutradara dan penulis lakon layar, Mike Wiluan, yakin usaha ketengah kelainan pada plot drama semarakkan dunia TV Melayu
Sep 3, 2025 | 5:30 AM
Mike Wiluan, Operandi Gerhana
Mike Wiluan tidak menduga kelainan yang diketengahkan dalam drama ‘thriller’ dan sejarah, ‘Operandi Gerhana’, meraih pengiktirafan berupa kemenangan dalam Arahan Terbaik (Drama), Lakon Layar Terbaik (Drama), Sinematografi Terbaik (Drama) dan Suntingan Terbaik (Drama) bagi ‘Anugerah Screen Mediacorp’ pada 29 Ogos lalu. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sudah sekian lama hasrat hati pembikin filem, Mike Wiluan membara bagi menyatukan pelbagai bakat Nusantara di Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Dengan projek Operandi Gerhana yang diusahakan bagi saluran Mediacorp Suria dan Netflix berjaya mendapat tempat di hati ramai, Mike, 49 tahun, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Infinite Studios, bertambah teruja kerana impiannya selama ini bagi mengetengahkan bakat serumpun dari tiga negara menjadi nyata.

Sebagaimana jelasnya: “Seronok mengarah dan bekerjasama dengan Fir Rahman dari Singapura, Kamal Adli dan Carmen Soo dari Malaysia, serta rakan baik saya, Jamie Aditya dari Indonesia.

“Setiap seorang membawa pengalaman mereka dalam bidang seni untuk disumbangkan dalam Operandi Gerhana.

“Saya lebih yakin dek kejayaan gabungan bakat Nusantara dalam projek ini, kita harus buat lebih banyak projek filem dan drama kerjasama antara Singapura, Malaysia dan Indonesia.”

Mike, seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura, yang memiliki lebih dua dekad pengalaman dalam bidang filem, malahan, menaikkan nama Singapura menerusi syarikatnya, Infinite Studios, yang berpangkalan di Kota Singa, ditemui Berita Harian (BH) selepas menang besar dalam majlis penyampaian Anugerah Screen Mediacorp 2025.

Majlis yang julung-julung kalinya diadakan bagi meraikan bakat kreatif di balik tabir penghasilan drama dan rancangan hiburan di saluran Melayu, Cina dan India, diadakan di Hotel Pan Pacific Orchard pada 29 Ogos lalu.

Lebih menggembirakan, selepas kejayaan besar (tiga anugerah) di Pesta Perdana, Operandi Gerhana membolot kemenangan bagi kesemua empat kategori, di mana ia dicalonkan, iaitu, Arahan Terbaik (Drama), Sinematografi Terbaik (Drama), Lakon Layar Terbaik (Drama) dan Suntingan Terbaik (Drama).

Mike menerima anugerah bagi Arahan Terbaik (Drama) dan Lakon Layar Terbaik (Drama).

Anggota pasukannya, Ammar, memenangi Anugerah Suntingan Terbaik (Drama), manakala John Radel meraih Anugerah Sinematografi Terbaik (Drama).

Ketika ditemui BH, wajah Mike berseri-seri ketika menyingkap keistimewaan Operandi Gerhana sebagai siri drama jenayah yang berlatarbelakangkan keadaan kelam dan berbahaya pada 1955 dan bertemakan sejarah Singapura.

“Tak sangka projek ini memberi kami kejayaan dalam empat kategori.

“Saya bangga dan berbesar hati dapat menyelongkar peristiwa yang bersejarah dalam rentetan peristiwa silam Singapura dalam Operandi Gerhana.

“Sesuatu yang bersejarah ini, diinspirasikan daripada situasi sebenar di Singapura pada 1955, dapat disatukan dengan unsur penceritaan dan sinematografi yang kreatif dan menarik.

“Ia merupakan usaha yang dapat memecahkan benteng kebiasaan drama yang disiarkan di kaca televisyen Singapura.

“Tak sangka sesuatu yang berbeza plot dan konsepnya, berani penceritaannya, penuh tekanan dan saspens dapat dipilih sebagai pemenang dalam banyak kategori.

“Apabila wadah penstriman Netflix memilih bagi menayangkan Operandi Gerhana, saya terharu dapat membanggakan nama Singapura.

“Saya anggap projek ini persis usahasama Singapura, Johor dan Indonesia (Sijori). Kita ada pelakon dan kru Singapura, Malaysia dan Indonesia. Syarikat Singapura menjalani penggambaran di Batam,” tambahnya.

Ditanya mengenai cabaran menghasilkan lakon layar bagi Operandi Gerhana, Mike berkata memandangkan projek ini berdasarkan cebisan sejarah Singapura, mereka harus peka agar ia tidak terlalu dekat dengan watak-watak yang memang wujud pada masa silam.

“Kita harus peka meskipun kita ingin menjulang sejarah dan enggan ‘lari jauh’ daripada kebenaran.

“Perlu bagi saya lebih bersifat hati-hati dan menghormati perbezaan kaum dan agama yang dipaparkan dalam drama ini.

“Bagaimana dapat saya pastikan dalam saya ingin ketengahkan sejarah, saya tidak akan condong memaparkan krisis dan konflik kaum kerana enggan meluap-luapkan situasi tegang pada era 1950-an.

Operandi Gerhana lebih pada meraikan keupayaan Singapura mengatasi segala kesukaran dan tempoh genting yang berlaku dalam masyarakat,” kata Mike.

Beliau berkata kerana ada babak-babak jenayah dan ketegangan dalam drama ini, sesetengah anak muda bagaikan tidak menduga unsur-unsur ini wujud pada era 1950-an di Singapura.

“Macam ada ‘Wild West’ di Asia atau Kota Gothik pula... mereka seakan-akan tidak percaya.

“Sekurang-kurangnya projek ini dapat membuka mata ramai. Saya juga gembira saluran Mediacorp Suria kini melangkah jauh dalam mengetengahkan jalan cerita drama yang berlainan daripada dahulu.

“Sebab penonton masa kini pun dambakan sesuatu yang berbeza,” katanya.

Mike bersaing dengan Adi Yadoni, Safiyuddin Razif, Izzat Yusoff dan Shaiful Reezal Tajri bagi kategori Arahan Terbaik (Drama), manakala dalam kategori Lakon Layar Terbaik (Drama), calon lain merupakan Adi Yadoni, Azian Pasiran dan Umie Isa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg