Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nadi kreatif ‘Cantik Detektif’ diiktiraf hasil 10 tahun warnai layar kaca TV

Rein Zahrein, julang piala ‘Anugerah Screen Mediacorp’ 2025 bagi kategori Skrip Kajian Terbaik (Hiburan)
Sep 3, 2025 | 5:30 AM
Rein Zahrein, cantik detektif, anugerah screen
Penyunting, penerbit yang juga penulis skrip, Rein Zahrein, berkongsi detik-detik menarik ketika menjayakan program info hiburan, ‘Cantik Detektif’, ketika ditemui Berita Harian (BH) di Hotel Pan Pacific sempena majlis ‘Anugerah Screen Mediacorp’ 2025 pada 29 Ogos. - Foto BH oleh KHALID BABA

Hanya dengan satu ketikan di laman media sosial atau menonton rancangan televisyen, dunia kecantikan kini tersaji di hujung jari – daripada rawatan moden hinggalah yang paling luar biasa.

Bayangkan di Filipina, terdapat rawatan urut menggunakan binatang ular.

Manakala di Thailand pula, wujud kaedah rawatan urut dengan tamparan tangan untuk meniruskan wajah!

Itulah antara kisah menarik yang dikongsikan oleh penyunting, penerbit yang juga penulis skrip, Rein Zahrein, yang menjadi nadi serta minda kreatif di sebalik Cantik Detektif, rancangan info hiburan kecantikan yang sudah 10 tahun mewarnai layar kaca televisyen tempatan.

Pada 29 Ogos, Rein, 35 tahun, berhasil meraih piala Anugerah Screen Mediacorp 2025 bagi kategori Skrip Kajian Terbaik (Hiburan), yang buat julung-julung kalinya dianjurkan syarikat media penyiaran tersebut dalam satu majlis tertutup.

Beliau dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan, hasil karya tulisan sebagai penulis skrip Cantik Detektif Siri Kelima

Majlis penuh gilang-gemilang telah diadakan di Dewan Claymore yang terletak di Hotel Pan Pacific.

Acara tersebut bertujuan meraikan kecemerlangan karyawan penerbitan belakang tabir dan teknikal – daripada pengarah, penulis naskhah drama, telefilem dan program hiburan atau info hiburan hinggalah penyunting video bagi rancangan Melayu, Cina dan India.

Ia merupakan satu usaha meraikan kreativiti, kesenian dan ketukangan serta kecemerlangan teknikal golongan yang berperanan penting dalam menghidupkan kisah-kisah yang menjadi tatapan mata pencinta program televisyen di Singapura.

Terdahulu, karyawan kreatif di belakang tabir bagi program Melayu diraikan dalam rancangan penyampaian anugerah seperti Pesta Perdana.

“Tak pernah terlintas di fikiran saya untuk memenangi anugerah ini, kerana ia adalah kali pertama kategori penulisan bagi rancangan ‘info-ed’ digabungkan dengan hiburan.

“Saya juga tahu pencalonan penulis bagi rancangan hiburan dalam industri ini terdiri daripada nama-nama besar.

“Jadi, saya tidak sangka akan menang, apatah lagi jika ingin dibandingkan dengan mereka yang berpengalaman dan berbakat,” kata Rein.

Beliau ditemui Berita Harian (BH) sejurus diumumkan sebagai pemenang Skrip Kajian Terbaik (Hiburan) bagi program Cantik Detektif Siri Kelima di Anugerah Screen Mediacorp 2025.

Dalam acara itu, Rein berhasil mendahului pencalonan lain dalam kategori tersebut termasuk Wahyu Rahman dan Adi Yadoni (bagi siri Hilang 2.0); Netty Fiona Othman (Pelancaran Bulan Bahasa 2023); Hyrul Anuar (Warna Ramadan 2024) serta Rafeyah Abdul Rahman (Zakat SG 2023).

Di samping itu, Rein meluahkan penghargaan kepada tenaga kreatif syarikat penerbitan, The Moving Visuals Co., khususnya pengarah rancangan bersiri Cantik Detektif, Mahfuz Mazlan, yang tidak putus-putus memberi tunjuk ajar dan dorongan dalam bidang penulisan skrip.

Beliau turut menambah hasil kejayaan yang diraih kini juga tidak mungkin tercapai tanpa jasa dan bimbingan mentor yang dihormati, Kartini Deffahry.

Kartini ialah salah satu panel kajian dan penulis skrip bagi siri pertama dan kedua Cantik Detektif.

“Melalui skrip yang dihasilkan oleh Kartini, saya dapat mempelajari gaya penulisan yang bukan sahaja dapat menyajikan maklumat yang berguna kepada masyarakat, malah menghiburkan bagi penonton.

“Ibarat pepatah, sambil menyelam minum air – penonton tidak hanya menimba ilmu baru, bahkan menikmati cebisan hiburan melalui jelajah dan penerokaan rawatan kecantikan dari berbilang negara,” katanya lagi.

Memandangkan rancangan Cantik Detektif menampilkan pendekatan yang lebih mesra dan peribadi, penulisan skrip turut menuntut cabaran bagi memberi warna serta menonjolkan personaliti hiburan, Huda Ali, selaku pengacaranya.

Dengan itu, apabila Huda membuat keputusan untuk meninggalkan program tersebut dek imej barunya yang berhijab kini, ia merupakan satu kehilangan besar yang dirasakan Rein bagi Cantik Detektif.

“Ketika Huda memberitahu kami tentang niatnya untuk berhijrah, kami seakan mendapat bayangan bahawa musim ini (Cantik Detektif Siri Kelima) akan menjadi yang terakhir buatnya.

“Kalau sebut sahaja tentang Cantik Detektif, orang ramai akan terbayang muka Huda kerana program ini sudah sebati dengan dirinya.

“Agak sukar untuk dibayangkan rancangan ini tanpa Huda.

“Jadi, kalau ingin diteruskan, kami perlu menyuntik kelainan sedikit. 

“Jikalau tidak, mungkin disinilah kami akhiri Cantik Detektif,” ujar Rein.

Dalam pada itu, detik yang menjadi pahit manis sepanjang 2025 adalah ketika Huda, atau nama sebenarnya, Nurhuda Mohamed Ali, turut dinobatkan sebagai ‘Pengacara Terbaik – Informasi’, pada Pesta Perdana 2025, yang berlangsung di Teater Mediacorp pada 24 Mei.

Huda dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan, hasil penglibatannya sebagai hos program Cantik Detektif Siri Kelima

Menyentuh pula tentang kelainan yang boleh memberi kesegaran pada rancangan yang kebanyakan masanya ditonton kaum Hawa itu, Rein melihat adanya gelombang baru dalam kalangan lelaki terhadap aspek kesejahteraan yang semakin mendapat perhatian.

“Kami ada membuat perbincangan dan menyedari bahawa golongan kaum Adam juga semakin menerima serta menitikberatkan kesejahteraan diri.

“Kecantikan pada masa ini bukan lagi terhad kepada wanita, malah kaum lelaki juga mempunyai pusat rawatan spa mereka sendiri.

“Dalam tempoh 10 tahun bersiaran, Cantik Detektif telah berkembang dengan bukan sahaja menampilkan rawatan kecantikan, malah memperluas tumpuan kepada kesihatan dan kesejahteraan secara menyeluruh,” kata Rein. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg