Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jiwa kental buat Imran Ajmain terus bertahan dalam dunia seni

Jun 17, 2025 | 9:01 PM
imran ajmain, perjalanan seni
Penyanyi Imran Ajmain akui perjalanannya dalam dunia seni tidak semudah disangka dan pelbagai pengalaman pahit yang memungkinkannya untuk mengucapkan selamat tinggal pada dunia seni jika jiwa tidak kental. - Foto BH ONLINE

KUALA LUMPUR: Melewati angka 19 tahun berada dalam arena muzik, penyanyi Imran Ajmain mengakui perjalanannya tidak semudah disangka.

Jika penyanyi lain boleh mendaki carta populariti dengan mudah, namun bukan buatnya.

Sebaliknya, kata Imran, beliau perlu melalui pelbagai pengalaman pahit yang memungkinkannya untuk mengucapkan selamat tinggal pada dunia seni jika jiwa tidak kental, lapor BH Online

Nyata sikap tidak mudah menyerah kalah itu membuahkan hasil apabila lagu terbaru berjudul Seribu Tahun Lagi hasil ciptaan Amylea Azizan meledak sekali gus menjadikan nama Imran kembali menjadi sebutan.

“Saya mula dikenali menerusi lagu Seribu Tahun kira-kira 19 tahun lalu.

“Tahun depan (2026), genap 20 tahun usia saya dalam bidang seni.

“Ramai lihat perjalanan kerjaya saya daripada satu single ke satu single. Ada lagu menjadi, ada juga tidak.

“Selepas lagu Seribu Tahun Lagi tular, barulah sekarang saya dapat rasakan mendapat perhatian semula.

“Tak sangka lagu ini berjaya meraih jutaan jumlah tontonan dalam media sosial.

“Sebelum ini, saya tak pernah rasa langsung pengalaman seperti ini,” katanya ditemui pada majlis pradengar album baru berjudul Sila Ambil Perhatian di ibu negara, baru-baru ini.

Sudah boleh didengar di semua platform digital sejak 6 Jun lalu, album Sila Ambil Perhatian ini mengandungi 37 lagu dan turut menyaksikan Imran berkolaborasi dengan ramai penyanyi.

Penyanyi kelahiran Singapura itu berkata segala-galanya tidak dapat dikecapi dengan mudah sekiranya ‘bendera putih’ diangkat lebih awal, jika mengikutkan kata hati.

“Kalau cepat mengalah dengan apa yang berlaku, saya takkan dapat rasa kemanisan hasilnya.

“Muzik kecintaan saya dan saya berhijrah ke Malaysia pun kerana muzik.

“Biarpun setiap kali projek dihasilkan tidak menjadi, tetapi saya tak pernah terfikir kembali ke Singapura.

“Saya tak pernah putus asa, biarpun berada dalam keadaan titik paling rendah dalam hidup.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan akal dan kemahiran untuk meneruskan survival (hidup) dalam bidang yang mencabar ini,” ungkap pemilik nama sebenar Ahmad Imranullah Ahmad Husaini Ajmain itu.

Dalam pada itu, Imran memberitahu beliau lebih selesa bersikap realistik dan percaya kepada fakta apabila berbicara soal sokongan peminat.

“Jumlah pengikut dalam media sosial bukan jaminan penyokong tegar. Saya lebih percaya kepada data dan analisis kerana dari situ, saya boleh tahu siapa peminat sebenar.

“Saya tahu demografik saya dan peminat bukanlah dari golongan urban (bandar) seperti yang disangkakan.

“Kalau mengikut data diperoleh, ramai peminat saya dari Perak, Terengganu dan Johor.

“Mereka suka dengar lagu saya kerana mampu menyembuhkan jiwa. Saya tak nafikan kerana kebanyakan lagu popular saya memang diminati golongan ‘mass market’ (umum),” jelas Imran lagi.

Sementara itu, mengulas bentuk tubuh semakin menyusut, Imran berkata beliau menggunakan kaedah semula jadi dengan menjaga pemakanan dan senaman, bukan secara pembedahan seperti disangka ramai.

“Saya potong gula dan bukan perut (pembedahan).

“Saya bukanlah seorang yang suka pergi ke pusat kecergasan dan tiada jurulatih peribadi.

“Jadi, saya tidak mengambil gula dan jaga pemakanan, selain beriadah kerana itu lebih mudah.

Saya tiada masalah mahu melakukannya kerana saya menjaga disiplin diri,” kongsinya.

Sebelum ini, menerusi perkongsian di platform X, Imran berjaya menurunkan berat sebanyak 33 kilogram dalam tempoh dua tahun dengan mengamalkan diet tanpa gula dalam minuman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg