Mengimbau kembali kenangan menulis karangan semasa di bangku sekolah, saya gemar menggunakan bait-bait kata daripada lirik lagu yang mendayu-dayu, untuk menambah lagi kesan pada cerita yang disampaikan.
Antara lagu yang pernah saya gunakan untuk menyerikan lagi tulisan saya adalah, Seribu Tahun, hasil ciptaan dan dendangan penyanyi asal Singapura, Imran Ajmain.
Sejak lagu, Seribu Tahun, tular di media sosial, khususnya TikTok, nama Imran kembali menjadi bualan netizen.
Lagu ‘berhantu’ (kerana sering diputarkan di TikTok) itu dijadikan sebagai lagu latar bagi kandungan yang dimuat naik dalam laman media sosial.
Melihat fenomena itu, rasa bangga singgah di hati apabila karya daripada seniman tanah air dikenang dan dihargai di seberang Tambak.
Bahkan, ada juga yang menggesa penyanyi ‘leman’ (lagu balada cinta ‘tangkap leleh’ yang mendayu-dayu) itu untuk mengeluarkan lagu baru, mengimbau kembali nostalgia lagu balada pada 2000-an.
Ada yang mungkin tahu lagu, Seribu Tahun, pernah popular menerusi drama, Kerana Cintaku Saerah (2007), yang dilakonkan barisan pelakon hebat seperti, Umie Aida, Allahyarham Benjy, atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim, Noorkhiriah dan Wan Maimunah.
Maka tidak hairanlah, apabila lagu itu terus tersemat di hati peminat di rantau ini kerana ia mengingatkan mereka tentang adegan pilu ‘potong bawang’ (membuat penonton berlinangan air mata), diperkuat lagi dengan lakonan hebat Allahyarham Benjy sebagai Jibek dan Umie Aida sebagai Saerah.
Meskipun dilancarkan pada 2006, lagu itu masih segar diperdengarkan oleh pencinta muzik – baik yang muda ataupun tua, hingga mencapai 18 juta penstriman di laman Spotify.
Baru-baru ini, Imran mengeluarkan lagu terbaru berjudul, Seribu Tahun Lagi, yang merupakan susulan bagi lagu, Seribu Tahun, setelah 19 tahun bertempat di hati penggemarnya.
Lagu yang dijadikan runut bunyi drama, Seribu Tahun (lakonan Noorkhiriah, Azhan Rani dan Emma Maembong) itu, turut menampilkan penyanyi dan pencipta lagu berbakat Malaysia, Amylea Azizan, sebagai penerbit sekali gus penulis lirik bagi lagu tersebut.
Sejauh ini, lagu yang dilancarkan pada 7 Februari 2025 itu, telah meraih 1.8 juta tontonan di YouTube dan penstriman di Spotify.
Kalau Seribu Tahun menceritakan tentang kisah seorang jejaka yang sanggup menunggu cinta sejati untuk 1,000 tahun, Seribu Tahun Lagi, sebaliknya mencerminkan perasaan seseorang yang lelah menunggu cinta yang bertepuk sebelah tangan.
Sejujurnya, saya senang dengan lagu ini kerana ia memiliki bahasa puitis yang menyentuh kalbu, sekali gus membawa saya dalam kembara masa era lagu balada 2000-an yang menjadi peneman saya di kala siang dan malam.
Pada hemat saya, ciri seperti ini jarang ditemui pada lagu ‘jiwang’ masa kini, ditambah pula dengan suara Imran yang gemersik, sesuai dijadikan santapan halwa telinga.
Bakat Amylea dalam menulis dan mencipta lagu yang puitis dan menyentuh hati melalui setiap bait lirik yang dilantunkan, juga tidak perlu diragukan lagi.
Yang bikin bulu roma saya merinding adalah ketika melodi, Seribu Tahun, diberi nafas baru pada penghujung lagu Seribu Tahun Lagi, menambah lagi kesan nostalgia yang semakin meruap di dada.
Berbaloi jua penantian peminat setia lagu, Seribu Tahun, selama ini.
Syabas kepada Imran dan juga Amylea kerana berjaya menghidupkan semula lagu balada era 2000-an dengan sentuhan segar, yang sesuai dinikmati oleh peminat muzik di era media sosial ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg