Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Jom Raya’ papar sambutan Aidilfitri di era digital

Apr 7, 2025 | 5:30 AM
Penyanyi dan komposer, Daiyan Trisha, memberi nafas baru kepada lagu Lebaran di era digital dengan menampilkan seni kata yang mengandungi kata-kata ‘mengurat’.
Penyanyi dan komposer, Daiyan Trisha, memberi nafas baru kepada lagu Lebaran di era digital dengan menampilkan seni kata yang mengandungi kata-kata ‘mengurat’. - Foto INSTAGRAM DAIYAN TRISHA

Di tengah-tengah kesibukan penyanyi Malaysia mengeluarkan lagu Raya dengan irama yang rancak disertakan dengan gerakan menarik, sesuai untuk dimuat naik ke aplikasi TikTok, penyanyi dan komposer muda, Daiyan Trisha, sebaliknya menghasilkan lagu Lebaran bertemakan ayat-ayat mengurat.

Berjudul Jom Raya, lagu yang dinyanyikan bersama Alfie Zumi itu, berdasarkan pengamatan peribadi Daiyan melihat pengguna media sosial yang cenderung mengutarakan ayat tentang jodoh setiap kali Lebaran menjelma.

Meski mengandungi kekata gurauan senda yang memikat, lagu Raya moden ini justeru kedengaran lebih santai dan manis berbanding lagu Lebaran lain yang lebih rancak.

Menurut perkongsian Daiyan dalam laporan Media Hiburan, beliau berkata:

“Saya perhatikan ramai antara mereka suka beri ‘pick-up line’ berkaitan dengan jodoh di media sosial setiap kali tibanya Lebaran. 

“Saya selalu sahaja nampak ayat-ayat tersebut digunakan dan ia sangat menarik perhatian.

“Disebabkan itulah saya mahu realisasikan, Jom Raya, ini dengan menggunakan patah perkataan yang menarik.”

Masuk minggu pertama Syawal, lagu ini kerap menjadi pengisi latar bagi cebisan video ‘bersemut’ (menunjukkan kemesraan) yang dimuat naik pasangan bahagia di Aidilfitri, sebagaimana dipaparkan di ruang media sosial.

Setelah dibuai oleh lagu ini, saya mendapati setiap perkataan yang dilantunkan berbunyi seperti perbualan harian.

Sebelum ini, lagu Raya klasik rata-rata memiliki sebutan baku, mencerminkan kesyahduan sambutan Aidilfitri yang penuh makna dan keinsafan.

Lantas, adakah perubahan ini dianggap wajar demi menyesuaikan diri dengan peredaran selera muzik masa kini?

Kalau hendak dibandingkan dengan lagu Raya klasik, pembakuan pada sebutan kata mungkin sesuai kerana bahasa yang digunakan dalam seni kata lebih puitis dan berkias.

Sementara itu, lagu Raya moden kini, lebih bebas dari segi bahasa, sebutan dan penyampaian lagu agar mudah dinikmati semua lapisan masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda seperti ‘Gen Z’ dan ‘Gen Alpha’.

Dalam lagu ini, adalah wajar jika Daiyan tidak menggunakan sebutan baku untuk memaparkan keaslian kata-kata mengurat ketika dilafazkan oleh pasangan, menambah lagi kesan romantik dalam suasana Aidilfitri.

Mungkin sahaja, ramai penyanyi dan pencipta lagu masa kini berhasrat untuk memberi nafas baru dalam lagu-lagu Lebaran, bagi mencerminkan suasana Aidilfitri yang lebih relevan dengan era digital serta menyuntik kepelbagaian dalam penghasilan lagu sempena perayaan yang penuh makna ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg