SHAH ALAM: Penyanyi Cliff Umar, juara program nyanyian Gegar Vaganza musim ketujuh, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada 30 Mei atas pertuduhan memiliki heroin.
Cliff Umar, yang nama sebenarnya Abdullah Umar Joseph, 42 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Bapa empat anak itu didakwa memiliki heroin seberat 0.39 gram di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya dekat sini pada 3.30 petang pada 26 Mei, lapor BH Online (Malaysia).
Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau denda hingga RM100,000 ($28,700) atau kedua-dua hukuman.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Annur Athirah Amran memohon tarikh baru bagi sebutan laporan kimia dan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM6,000.
Peguam Sallehuddin Salam yang mewakili Cliff Umar dalam rayuannya memohon ikat jamin rendah memandangkan anak guamnya menanggung isteri dan empat anak yang masih bersekolah.
“Anak guam saya bekerja sebagai pemain muzik dengan pendapatan tidak menentu,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,300 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan laporan kimia ditetapkan 31 Julai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg