Kata orang, rezeki jangan ditolak. 

Apabila pelakon berbangsa Cina, Juin Teh, diberikan peluang menyertai uji bakat bagi drama berbahasa Melayu, Durrani: Perjuangan Lion Mum, beliau tidak berfikir dua kali untuk membuat keputusan.  

Dengan segera, beliau berkata ‘ya’ dan terus merakamkan video uji bakat untuk dihantar kepada pihak penerbitan. 

“Sebenarnya, saya ingin cuba berlakon dalam naskhah yang memerlukan saya berbual dalam bahasa Melayu. Saya ingin mencabar kebolehan saya dan melakukan sesuatu yang baharu. 

“Saya beritahu pengurus saya, jika ada watak yang sesuai, tentu sekali saya mahu mencuba. 

“Apabila peluang ini tiba, saya terus merakam video uji bakat di rumah bagi pihak penerbitan menilainya,” kongsi Teh yang berasal dari Ipoh, Malaysia, kepada Berita Harian (BH) dalam jawapan bertulis melalui e-mel.  

Teh, 35 tahun, mula berkecimpung dalam industri hiburan tempatan sejak memasuki pertandingan realiti popular, Star Search, di saluran Medicorp Channel 8 pada 2019. 

Selepas itu, beliau menjayakan pelbagai drama berbahasa Mandarin termasuk The Heartland Hero (2021), Healing Heroes (2022) dan siri drama popular Emerald Hill – The Little Nyonya Story (2025). 

Beliau juga antara pengacara tetap siri web hiburan #Justswipelah di aplikasi mewatch.  

Walaupun pernah menjadi pengacara bagi program berbahasa Melayu di Malaysia, Teh tidak pernah berlakon dalam bahasa Melayu.  

Beliau mengakui dirinya gementar apabila diberi peluang menjayakan watak Tina Foo Abdullah. 

“Saya cuba sedaya upaya menggunakan bahasa Melayu dalam kegiatan harian saya sebelum memasuki set penggambaran.  

“Saya berbual dengan pemandu kereta Grab atau peniaga kedai apabila keluar membeli barang supaya saya lebih selesa bertutur dalam bahasa Melayu,” cerita Teh, yang mempelajari bahasa Melayu semasa bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Engku Tun Aminah di Johor Bahru. 

Mengimbau kenangan semasa di bangku sekolah, Teh berkata dirinya tidak dapat melupakan tahun pertama di sekolah menengah kerana harus mempelajari bahasa Melayu, subjek yang baharu buatnya ketika itu. 

“Pada tahun pertama, saya tidak faham apa yang diajar di kelas dan sering menyalin nota daripada rakan sekelas.

“Ketika itu, saya bertanya kepada diri sendiri mengapa saya dimasukkan dalam sekolah tersebut dan harus mempelajari bahasa lain yang saya tidak faham. 

“Namun, pengalaman itu telah membina perwatakan peribadi saya dan ia sesuatu yang cukup bermakna hingga hari ini kerana dapat mengenali lebih mendalam tentang bahasa Melayu,” ujar Teh.  

Menceritakan pengalamannya di set penggambaran drama, Durrani: Perjuangan Lion Mum, Teh berkata beliau bersyukur diberi peluang bergandingan dengan pelakon berbakat seperti Nurul Aini dan Wan Ahmad. 

“Mereka berdua boleh berbual dalam bahasa Mandarin, jadi ia merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan. 

“Selain mempunyai pengalaman, Nurul dan Wan merupakan pelakon yang berdedikasi lantas, ia membantu saya menjiwai watak Tina dengan lebih mudah,” kongsinya. 

Teh turut membuat kajian mendalam mengenai watak Tina yang melalui penderaan emosi dan fizikal sebagai seorang isteri, namun, berjuang mendapatkan hak penjagaan anak daripada suaminya yang licik.  

“Saya harus memahami mengapa Tina mahu meneruskan perkahwinan itu sedangkan, dia sering dianiaya suaminya. 

“Saya membuat kajian dengan membaca kes penderaan sebenar dan mula memahami ada kalanya si isteri mengambil masa lama untuk sedar dirinya dianiaya.

“Tina bukan seorang yang lemah tetapi telah melalui situasi sangat mencabar. Ia turut membuat saya kasihan dengan nasib sebenar Tina,” jelasnya.  

Selain Teh, drama tersebut turut dibintangi barisan pelakon seperti Fir Rahman, Khairudin Samsudin, Suhaillah Salam, Johan Jaafar, Dayang Nurbalqis, Iskandar Mazlan dan Fauzah M Noor.  

Drama 15 episod itu dipadankan daripada siri drama tempatan, Lion Mums, yang disiarkan di saluran Mediacorp Channel 5, selama empat musim pada 2015, 2017, 2019 dan 2021.

Durrani: Perjuangan Lion Mum memberi tumpuan pada perjalanan Durrani Mazlan (lakonan Nurul) yang memulakan kerjaya baharu dalam bidang undang-undang keluarga.

Walaupun Teh hanya muncul sebagai watak sampingan, lakonannya dalam bahasa Melayu mendapat sambutan memberangsangkan daripada netizen di media sosial.

Baru-baru ini, Teh turut muncul dalam video 8days di TikTok, memberi ucapan dalam bahasa Melayu selepas memenangi Rising Star Award (Bintang Meningkat Naik) pada acara penganugerahan program bahasa Mandarin, Star Awards.

Teh, yang ketika ini berada di Malaysia bagi penggambaran drama Singapura, Chilli Crab Flower Club, berkata dirinya terbuka membintangi lebih banyak drama bahasa Melayu. 

“Tentu sekali jika masa mengizinkan. Walaupun saya akui ia memerlukan persiapan mendalam apabila berlakon dalam bahasa lain, saya menganggap pengalaman itu sebagai sesuatu yang berharga.  

“Ia menguji minda saya dan membuat saya memahami cara kerja dalam penerbitan berbeza, lantas turut membantu mengasah bakat saya sebagai seorang pelakon,” kata Teh, yang kini menetap di Johor Bahru dan sering berulang-alik antara kededua negara, disebabkan tuntutan tugas. 

Drama ‘Durrani: Perjuangan Lion Mum’ boleh ditonton di mewatch dan saluran YouTube Mediacorp Entertainment.

“Saya cuba sedaya upaya menggunakan bahasa Melayu dalam kegiatan harian saya sebelum memasuki set penggambaran. Saya berbual dengan pemandu kereta Grab atau peniaga kedai apabila keluar membeli barang supaya saya lebih selesa bertutur dalam bahasa Melayu.”
Juin Teh, yang banyak menjayakan drama berbahasa Mandarin di Channel 8.