Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Soo Wincci bukan ‘gila kuasa’ tapi ‘gila’ cuba segala

Ratu cantik ‘Miss World M’sia 2008’ isi masa bikin lagu Melayu baru, kembali jayakan drama Melayu selain jadi profesor adjung di universiti
Jul 14, 2025 | 5:30 AM
Soo Wincci, Lepaskanlah Segala
Penyanyi yang juga ratu cantik Malaysia, Soo Wincci, berharap lagu ‘Lepaskanlah Segala’, dapat menyuntik semangat positif dalam diri pendengar. - Foto ihsan SOO WINCCI/JASON TAY

Setelah mengharungi pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan, industri hiburan dan mengambil masa hampir lima tahun untuk memulakan semula jenama muziknya sendiri, penyanyi yang juga ratu cantik Malaysia, Dr Soo Wincci, muncul dengan lagu bahasa Melayu terbaru. 

Lagu bertajuk, Lepaskanlah Segala, mengisahkan tentang individu patah hati dan inginkan permulaan baru.

“Terdapat banyak perkara yang berlaku. Sebelum Covid-19, saya telah menutup syarikat muzik saya, Beyond Artistes, dan ia mengambil masa yang lama untuk mendapatkan semula hak cipta dan royalti bagi karya saya yang dihasilkan di Taiwan.

“Saya pernah patah semangat untuk meneruskan (pembabitan) dalam industri seni dan hanya beri tumpuan pada bidang pendidikan saja.

“Namun, selepas berada di Sepanyol untuk menyelesaikan pengajian, saya terpanggil untuk kembali berkecimpung dalam industri seni di Malaysia. 

“Lagu ini seperti diri saya yang ingin bermula semula dengan identiti baru,” cerita Soo, 40 tahun, kepada Berita Harian (BH) dalam satu wawancara melalui Zoom. 

Beliau berkelulusan ijazah Sarjana dalam Penerbitan Muzik, Teknologi dan Inovasi daripada Maktab Muzik Berklee Valencia dan Doktor Falsafah (PhD) dalam Penerbitan Artistik daripada Universiti Politeknik Valencia, Sepanyol.

Soo turut mendapat inspirasi untuk menghasilkan lagu terkininya berdasarkan pengalamannya membimbing pelajar universiti yang tertekan.

“Saya harap semua yang mendengar dapat melepaskan rasa tidak puas hati dan pandang ke hadapan supaya kita boleh mencapai yang lebih baik,” ujar Soo, yang kini merupakan profesor adjung di Universiti Multimedia Malaysia selepas dua tahun berkhidmat sebagai profesor madya sepenuh masa.

Berkongsi mengenai proses menulis lirik lagu itu, Soo mengambil tiga hingga empat bulan untuk memastikan liriknya sesuai dengan melodi yang dihasilkan dan mudah bagi pendengar memahaminya. 

Lagu yang dilancarkan pada 6 Jun dan telah mencatat 331,220 tontonan di YouTube, turut diilhamkan daripada buku falsafah bahasa Melayu yang sering Soo baca.

Kini, beliau dalam proses menghasilkan versi bahasa Cina bagi lagu tersebut. 

Soo turut melancarkan lagu rancak, Buaya, pada 2024 yang mendapat 442,328 tontonan di YouTube.

Lagu bertema isu kecurangan antara pasangan suami isteri turut mendapat sambutan positif daripada netizen.

Ditanya BH mengenai faktor yang membolehkan sesebuah lagu mendapat penerimaan baik, Soo berpendapat ada pelbagai perkara penting yang harus dipertimbangkan. 

“Sebenarnya, saya tiada niat untuk keluarkan Buaya sewaktu ‘kes curang’ menjadi topik hangat dalam industri hiburan.

“Proses penyuntingan bagi lagu itu mengambil masa empat hingga lima bulan dan saya tidak sangka ia bakal keluar pada waktu yang sama. 

“Bagi saya, seorang pemuzik harus memastikan melodi dan lirik yang dihasilkan bersesuaian dengan identiti sebenar mereka.

“Saya akan bekerjasama dengan pemuzik yang saya percaya dan fahami kemahuan saya. 

“Selain itu, mereka harus membuat kajian dan fokus pada penjenamaan mereka.

“Apabila saya hantarkan sesebuah karya kepada syarikat penstriman seperti Spotify, mereka mahu melihat kelainan yang boleh saya ketengahkan,” jelas Soo, yang turut menerima gelaran ‘ijazah paling banyak diterima oleh penyanyi dan ratu cantik’ daripada Malaysia Book of Records pada 2019.

Selain bidang muzik, Soo juga sibuk dalam bidang lakonan dan bakal membintangi drama Melayu setelah sekian lama tidak berbuat demikian.

Beliau sedang menjalani penggambaran bersama barisan pelakon, Daniel Fong, Arena Wan, Steve Yap dan Marissa Yasmin, bagi drama 40 episod arahan Michael Ang yang bakal disiarkan di Astro Prima mulai lewat Ogos. 

Namun, tajuk drama tersebut belum boleh dikongsikan.

“Ia agak melucukan kerana pada 2023 saya berlakon bersama Daniel dalam drama Cina, The Queen’s Ploy, di mana beliau merupakan kekasih muda saya.

“Kali ini, saya berlakon sebagai ibunya pula,” kata Soo sambil tertawa. 

Soo, yang merupakan rakan baik kepada pencipta kandungan media sosial, Ceddy Ang, turut muncul dalam siri video masakan yang tular sewaktu Ramadan. 

Kededua mereka yang berpuasa pada Ramadan berkongsi resipi mudah dan panduan bagi penonton bukan Muslim yang ingin cuba berpuasa.

Salah sebuah video itu mendapat dua juta tontonan di Instagram. 

“Saya tidak sangka video itu akan tular kerana saya hanya kongsi amalan saya sejak berpuasa buat kali pertama 14 tahun lalu.

“Tentu sekali saya akan mempertimbangkan untuk menghasilkan lebih banyak video masakan dan terus bekerjasama dengan Ceddy. 

“Kini, penonton lebih suka video pendek di Instagram atau TikTok,” kata Soo, yang pernah menyertai pertandingan memasak, MasterChef Selebriti Malaysia, pada 2012 dan MasterChef Malaysia All Stars pada 2014.

Menjawab pertanyaan BH jika beliau seorang yang rencam dalam menebarkan sayap bagi beberapa bakat dan kemahiran, Soo percaya bahawa ilmu itu penting dan beliau sentiasa mahu mencuba sesuatu yang baru untuk mempertingkatkan diri.

“Ilmu dan pendidikan amat penting kerana kita perlu rancangan lain jika kita tidak berjaya dalam bidang yang diceburi.

“Saya tidak rasa saya ‘gila kuasa’ tetapi ‘gila’ untuk mencuba dan membantu masyarakat,” ujarnya, yang sering terlibat dalam projek memperkasa kaum wanita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg