Selepas berjaya membawa pelbagai watak berbeza, pelakon Malaysia, Kahoe Hon ingin diberi peluang membintangi karya genre romantik.
Kahoe, 33 tahun, berharap ada penerbit filem atau drama yang dapat merealisasikan impiannya untuk berlakon dalam naskhah seperti filem Inggeris, The Notebook.
“Saya rasa saya jarang berlakon dalam cerita cinta. Selain mengimpikan membawa watak individu psiko, saya juga teringin membintangi karya dengan jalan cerita yang mengetengahkan kisah cinta.
“Saya inginkan naskhah mendalam, yang mana penonton dapat menghayati kisah atau pengorbanan dilalui pasangan itu,” ujar Kahoe yang pernah membintangi filem War On Terror: KL Anarki, Sa Balik Baju dan drama popular Projek: High Council.
Ditanya siapakah yang beliau ingin bergandingan dalam cerita romantik itu, pelakon berbangsa Cina itu dengan seloroh berkata pelakon dan penyanyi Malaysia, Daiyan Trisha, sebagai pilihan pertamanya.
“Memang betul Daiyan sering berlakon dalam cerita cinta.
“Bagi saya, kadangkala saya rasa malu sedikit apabila digandingkan bersama pelakon wanita.
“Lantas, saya rasa karya romantik akan mencabar kebolehan saya untuk menjiwai watak itu sepenuhnya,” ceritanya kepada Berita Harian (BH).
Beliau ditemui di ruang istirahat Gold Class di pawagam Golden Village, Suntec City semasa mempromosikan filem lakonannya, Badak, di Singapura pada 17 Oktober.
Kahoe menjayakan watak Jay, seorang deejay yang bekerja dalam industri muzik ‘indie’ dalam filem Badak, arahan bakat tempatan, M Raihan Halim.
Filem oleh Papahan Films itu mengisahkan mengenai Salihin Aziz, atau lebih mesra dipanggil Badak (lakonan Shaheizy Sam), seorang bapa yang menghadapi cabaran pendengaran.
Beliau menjaja burger bersama anak perempuannya, Mira (lakonan Aida Amron) yang bercita-cita menjadi penyanyi ‘rap’, namun terpaksa berdepan pelbagai dugaan yang datang bertali arus.
Ditanya mengenai persamaan antara watak Jay dengan diri sebenarnya, Kahoe berkata terdapat beberapa persamaan dari segi perwatakannya yang baik hati, cara watak itu berbual dan sifat suka menolong orang lain.
“Sebenarnya, ia agak mencabar membawa watak yang serupa dengan diri saya sendiri. Dengan nasihat dan perbincangan bersama Raihan, kami dapat menonjolkan sisi berbeza dalam watak Jay.
“Satu turut memberikan cadangan kepada Raihan untuk memberi sedikit kelainan yang mana Jay merupakan seorang bapa tunggal yang mempunyai anak perempuan kecil,” jelas Kahoe.
Beliau turut menganggap kerjasama dengan Raihan sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan.
“Raihan seorang penulis dan pengarah yang berbakat. Sebelum ini, saya pernah bekerja dengannya bagi drama Singapura, Chiron.
“Justeru jikalau saya mendapat tawaran daripada Raihan pada masa hadapan, tentu sekali saya akan kata ya selagi jadual saya mengizinkan,” cerita Kahoe yang pernah membintangi drama bahasa Inggeris terbitan Mediacorp, Mixed Signals.
Kahoe bermula sebagai seorang pelakon ketika masih remaja menerusi filem Talentime pada 2009, arahan Allahyarhamha Yasmin Ahmad.
Mengulas mengenai pengalaman bekerjasama dengan Yasmin, Kohoe berkata dirinya menghargai ilmu yang dikongsikan pengarah prolifik itu sewaktu di set penggambaran.
Beliau turut mengakui sikap disiplin dan profesionalisme yang diterapkan dalam dirinya merupakan sesuatu yang diajar oleh Yasmin.
“Saya bermula berlakon pada usia 14 tahun. Sebagai remaja ketika itu, saya mungkin kurang peka tentang beberapa perkara.
“Namun arwah Yasmin yang berkata pada saya agar sentiasa bersikap profesional apabila di set penggambaran kerana nama seorang pelakon itu boleh naik dan turun bila-bila masa sahaja,” katanya.
Mengakui beliau akan membuat kajian mendalam mengenai setiap watak yang diberikan, Kahoe berkata cara beliau berfikir sebagai pelakon kini telah berubah.
“Dahulu saya dengar sahaja apa yang dikatakan para pengarah kerana masih muda. Mungkin kerana fikiran ketika itu hanya ingin bermain dan tidak perlu ke sekolah.
“Namun kini cara saya menghayati dan menyampaikan dialog tentu sekali berbeza dengan kajian terperinci,” kongsi Kahoe sambil tersenyum.
Kahoe, yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu, berkata dirinya dibesarkan dalam kawasan perumahan di Subang, Selangor di mana keluarganya merupakan satu-satunya keluarga berbangsa Cina.
Dari situ, beliau mula bergaul dengan ramai rakan Melayu dan tertarik untuk mengetahui lebih tentang budaya Melayu.
Beliau turut berharap dapat melihat lebih ramai pelakon bukan Melayu terbuka untuk melibatkan diri dalam karya bahasa Melayu.
“Saya bersyukur penonton terbuka menerima pelakon bangsa lain dalam drama Melayu.
“Mungkin juga dengan gelombang muzik pop Korea (K-pop), penonton kini ingin melihat drama dengan pelakon daripada pelbagai bangsa di Malaysia.
“Saya sering berkongsi dengan pelakon bukan Melayu untuk berlatih bertutur dalam bahasa Melayu agar mereka boleh melebarkan sayap ke industri hiburan Melayu,” ujarnya yang baru-baru ini terlibat dalam drama terbitan Astro, Kerana Seorang Lelaki yang turut dibintangi Soo Wincci dan Daniel Fong.
Badak boleh ditonton di Singapura. Ia masih ditayangkan di beberapa pawagam Golden Village iaitu, GV Vivocity dan GV Yishun.
“
Saya rasa saya jarang berlakon dalam cerita cinta. Selain mengimpikan membawa watak individu psiko, saya juga teringin membintangi karya dengan jalan cerita yang mengetengahkan kisah cinta. Saya inginkan naskhah mendalam, yang mana penonton dapat menghayati kisah atau pengorbanan dilalui pasangan itu.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg