Selepas dikecam netizen kerana menganggap Kota Filem Ramoji di Hyderabad sebagai “berhantu”, bintang filem Bollywood, Kajol, akhirnya menjelaskan di akaun X bahawa lokasi kunjungan ramai pelancong dunia itu adalah “destinasi terbaik yang selamat bagi keluarga dan anak-anak”.
Kajol Mukherjee, 50 tahun, awalnya, tanpa berselindung menceritakan beberapa pengalaman ngeri tentang Kota Filem Ramoji dalam satu wawancara media bagi filem terkininya, Maa, lapor laman India Today, baru-baru ini.
Namun, pada 23 Jun lalu, selepas teruk dikutuk, Kajol berusaha menghentikan kontroversi itu dengan mengeluarkan kenyataan di akaun X beliau.
“Saya telah menjalani beberapa projek penggambaran di Kota Filem Ramoji, malahan, pernah tinggal di sana selama beberapa kali.
“Saya mendapatinya sebagai tempat dengan sekitaran sangat profesional bagi pembikinan filem.
“Nampaknya, ramai pelancong juga suka berkunjung ke lokasi itu yang merupakan destinasi pelancongan hebat, di samping selamat bagi kunjungan keluarga dan kanak-kanak,” jelasnya.
Sebelum ini, dalam laman web, Galatta India, Kajol ditanya sama ada beliau pernah mengalami keadaan mengerikan di situ.
“Tak tahulah jika wujud tenaga negatif, tetapi kadangkala anda boleh rasakan ada tak kena di kota filem tersebut.
“Ada masanya, saya tak mampu tidur semalaman, sehinggakan saya terdesak meninggalkan tempat itu. Ada beberapa tempat buat bulu roma anda berdiri!” kongsinya.
Menurutnya, mujurlah beliau tidak pernah ternampak hantu di Kota Filem Ramoji, tetapi berasakan ada perkara yang tidak kena di situ.
Sementara itu, Maa, ditayangkan di pawagam serata dunia pada 27 Jun.
Ia diarah Vishal Furia dan diterbitkan suami Kajol, Ajay Devgan serta dua rakan penerbit, Jyoti Deshpande, dan Kumar Mangat Pathak.
Kajol membawa watak ibu yang bertukar menjadi Tuhan Kali dalam agama Hindu, bagi melindungi anak-anaknya yang ketakutan, diancam bahaya syaitan, yang mengenakan sumpahan pada keluarganya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg