Kamal Adli bangkit, tempuh fasa pemulihan selepas perceraian
Kamal Adli bangkit, tempuh fasa pemulihan selepas perceraian
Pelakon Malaysia, Kamal Adli, mengakui masih berada dalam fasa pemulihan emosi dan terpaksa menyembunyikan perasaan sedih ketika menjalani penggambaran selepas bercerai dengan bekas isteri serta pelakon, Uqasha Senrose.
Biarpun perceraian itu sudah berlalu beberapa minggu lalu, iaitu pada 12 Januari, Kamal atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40 tahun, berkata apa yang dialami bukan perkara mudah, apatah lagi pengalaman baru buat dirinya.
“Saya seronok sibuk bekerja dan pada masa sama, sedang dalam pemulihan.
“Perkara ini baru untuk saya, bukan sesuatu yang pernah saya lalui sebelum ini.
“Saya tidak pernah rasa begini, jadi di set penggambaran saya hanya buat-buat okey,” kata Kamal dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 di Jakel Mall, di Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Kamal, kekecewaan yang dirasai memberi kesan besar sehingga menjejaskan selera makannya, sekali gus menyebabkan berat badannya turun dengan ketara.
“Saya tak boleh tipu diri sendiri, sebenarnya saya memang ‘koyak’. Saya terpaksa teruskan penggambaran sebab itu rezeki saya.
“Sampai tahap saya tak rasa hendak makan. Memang saya tengah diet, tapi situasi ini ‘tolong’ sekali,” katanya lagi.
Kamal berkata masih banyak perkara yang perlu dihadam dan beliau lebih selesa meluangkan masa bersendirian apabila pulang ke rumah.
“Walaupun sibuk dengan penggambaran, bila ada masa sendirian barulah saya sempat fikir dan ‘healing’ (pulih).
“Lepas habis penggambaran, saya balik duduk dalam bilik sahaja.
“Berfikir, solat dan buat apa yang mampu. Hendak kata ia membantu sepenuhnya tidak, tapi Alhamdulillah saya bersyukur sebab kerja pun banyak,” ujar Kamal.
Pada masa sama, Kamal bersyukur dengan sokongan moral diberikan rakan-rakan di set penggambaran.
Malah, beliau menghargai sikap mereka yang tidak membangkitkan topik mengenai hal peribadinya.
“Mereka tahu saya masih sedih, tetapi semua tak buka mulut mengenai perkara itu (perceraian).
“Mereka cuba menggembirakan saya,” kata Kamal.
Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada 12 Januari lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 pada sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun.

