Menghargai kebebasan yang dimiliki, pelakon filem Bride Wars, Kate Hudson, 45 tahun, memilih untuk terus bertunang dengan Danny Fujikawa, 38 tahun, bekas anggota kumpulan folk rok, Chief, tanpa terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga.
Pasangan merpati dua sejoli itu telah bertunang sejak September 2021 dan hasil pertunangan itu, Hudson dan Fujikawa dikurniakan seorang anak perempuan, Rani Rose Hudson Fujikawa, enam tahun.
Dalam satu temu bual di rancangan, The Drew Barrymore Show, Hudson berkongsi beliau tidak begitu teruja dengan idea perkahwinan dan menganggap bahawa proses perancangan membebankan fikirannya selain memerlukan perbelanjaan besar.
Beliau akur lebih selesa dengan status pertunangan yang berpanjangan, lapor Hudson dalam laman web, CNN.
Sebagaimana jelasnya: “Saya tidak rasa seperti, ‘Oh Tuhan, saya akan berkahwin dan saya tidak sabar untuk mengadakan majlis tersebut’.
“Sebaliknya, saya rasa lebih kepada, ‘Saya perlu merancang dan mengeluarkan banyak wang untuk majlis perkahwinan’, dan hal tersebut membebankan fikiran saya.”
Keputusan ini turut dipengaruhi oleh ibu beliau, pelakon Goldie Hawn, 79 tahun, yang telah menjalinkan hubungan dengan pasangannya, pelakon Kurt Russell selama lebih 40 tahun tanpa melangsungkan perkahwinan.
Hawn dan juga Russell telah bersama sejak 1983.
“Mereka tidak pernah menandatangani kontrak perkahwinan.
“Mereka juga telah bertunang sejak saya berusia tujuh tahun,” ujar Hudson.
Melihat kebahagiaan ibunya, beliau justeru menegaskan bahawa aspek kontrak dalam perkahwinan tidak menarik perhatiannya.
Tambahan lagi, beliau menyukai kebebasan yang dirasakan dalam hubungan pertunangannya bersama Fujikawa.
Terdahulu, pelakon asal Los Angeles itu pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi kumpulan The Black Crowes, Chris Robinson, dari 2000 hingga 2007.
Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Ryder Robinson, 21 tahun.
Hudson juga mempunyai seorang anak lelaki, Bingham Bellamy, 13 tahun, yang merupakan hasil pertunangannya dengan Matt Bellamy dari 2011 hingga 2014.
“
“Saya tidak rasa seperti, ‘Oh Tuhan, saya akan berkahwin dan saya tidak sabar untuk mengadakan majlis tersebut’. Sebaliknya, saya rasa lebih kepada, ‘Saya perlu merancang dan mengeluarkan banyak wang untuk majlis perkahwinan’, dan hal tersebut membebankan fikiran saya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg