Topik diikuti
Pergi ke BHkuKekal rendah hati kunci Saiful Apek bertahan dalam dunia seni
Pelawak veteran hargai setiap peluang, bakal bawa watak serius dalam filem ‘The Real Mamu’
Kekal rendah hati kunci Saiful Apek bertahan dalam dunia seni
Masyhur dan ‘dibanjiri’ peminat, itulah situasi dilalui pelawak Malaysia, Saiful Apek, 57 tahun, selepas dilamar untuk menyertai kumpulan Senario pada 1998.
Pelbagai pencapaian dan anugerah yang telah beliau raih sehingga meletakkan namanya sebaris dengan nama besar lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Rosyam Nor ketika itu.
“Saya sudah 32 tahun dalam industri, tapi masih lagi ada satu sifat yang tidak dapat diubah iaitu rendah jiwa dan rendah hati.
“Bagi saya, lagi orang julang, lagi kita rasa segan.
“Memang hakikatnya saya tak boleh nafikan sejarah. Sejarah telah tercatat. Pencapaian demi pencapaian, pengiktirafan demi pengiktirafan saya raih.
“Saya rasa sebenarnya ada ramai lagi orang yang berpotensi, yang mungkin kurang bernasib baik.
“Saya risau bila orang terlalu tengok saya punya ‘spotlight’ sampai kita terlepas pandang mereka yang sebenarnya hebat.
“Ada yang lagi hebat cuma mungkin nasib tak menyebelahi mereka. Macam saya ini, saya rasalah, bila orang tanya, apa yang membuatkan abang rasa abang bernasib baik?
“Pertama sekali saya nak cakap, zaman media sosial. Masa saya naik, saya tak bersaing dengan media sosial.
“Kalau saya bersaing pada zaman media sosial, saya rasa Datuk Seri Siti, orang tak jumpa, Saiful Apek pun orang tak jumpa,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurut Apek yang terkenal dengan lawak spontan dan bersahaja, beliau menganggap terlalu ramai insan yang berbakat pada era itu.
Justeru, apabila tercalon dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) bersama Siti dan Rosyam yang lebih hebat, perkara itu tidak terlintas dalam fikirannya.
“Mana saya nak fikir logik, satu-satunya pelawak yang pecah tradisi? Tak boleh nak fikir! Memang tak akan boleh fikir, tak logik.
“Tapi pada saya sebenarnya, tak ada benda jadi kebetulan. Semua itu ada sebab Dia (Allah) atur kenapa jadi macam itu.
“Tapi itulah saya cakap, saya bernasib baik kerana ketika saya tengah nak mekar itu bukan pada zaman media sosial.
“Ia organik, bukan tiba-tiba tular.
“Ia ikut susunan yang betul, semula jadi. Tiba-tiba saya digandingkan dengan ‘heroin’ dan ‘hero’ yang dahsyat-dahsyat.
“Malah digandingkan dengan pelakon mapan, ‘otai’ yang dahsyat-dahsyat.
“Saya rasa macam tak percaya, ini semua dulu saya tengok depan televisyen sahaja. Tapi tahu-tahu dapat bekerjasama. Saya rasa bersyukur,” katanya.
Apek mengakui terharu kerana walaupun usia bakal mencecah 60-an, dia masih lagi kekal relevan dalam industri seni tanah air.
“Tapi ada juga ujian datang. Pada saya, ini proses supaya kita tidak terlalu selesa. Kadang-kadang apabila terlalu selesa, boleh timbulkan riak.
“Ketika saya jatuh sekali pun, saya rasa yang membuatkan saya kuat semestinya keluarga sayalah.
“Sebab saya tahu keluarga ini tak boleh dipisahkan. Kalau peminat, penyokong, orang dalam industri ini, mereka boleh tukar pendirian bila-bila masa saja.
“Pada saya, 10 tahun kita boleh bina sesuatu, tapi 10 saat saja kalau Allah nak tarik, bila-bila masa sahaja. Jadi pada saya sebenarnya, kita takkan jumpa kalau kita cari manusia yang sempurna.
“Sebaliknya kita cari manusia yang boleh menerima ketidaksempurnaan kita, dan begitu juga kita sebaliknya. Pada saya, jatuh bangun itu biasa selagi kita bernama manusia,” katanya yang terkenal dengan siri Gitu Gitu Apek.
Apek kini melangkah keluar dari sisi komedi apabila melakonkan watak serius dalam filem The Real Mamu arahan Zulkifli Abu Hassan dan penerbit Muhammed Shahril Baba Jan menerusi produksi Call Production Sdn Bhd.
“Saya berlakon sebagai ‘Mamu Tajuddin’, seorang pengusaha restoran terkenal di Pulau Pinang. Karakter ini paling mencabar dalam kerjaya seni saya.
“Saya keluar dari zon selesa demi menampilkan satu lakonan yang lebih matang.
“Orang memang tak akan dapat tengok saya buat komedi, malah peminat akan menangis kerana emosi dalam lakonan saya,” kongsinya.
Terdahulu, Apek pernah membintangi beberapa filem komedi popular termasuk Jutawan Fakir, Nana Tanjung, Duyung dan Cicak Man.
