Siapa yang boleh lupa wajah comel dan gelak tawa pelakon komedi Malaysia, Syanie Hisham?

Menelusuri perjalanan kerjayanya sejak 1991, naskhah ikonik seperti drama, Sayang Si Montel, dan Cili Padi, sudah cukup untuk memahat namanya sebagai antara bintang komedi kesayangan ramai.

Mana tidaknya?

Sepanjang 35 tahun mengabdikan diri dalam industri hiburan, pelakon yang kini berusia 52 tahun itu, menyimpan pelbagai lipatan kenangan manis yang sukar dipadamkan daripada ingatan peminat.

Antara yang paling tidak dapat dilupakan pastinya fenomena filem, Laila Isabella, arahan Rashid Sibir dan turut dibintangi Datuk Rosyam Nor, Nasha Aziz dan Saiful Apek.

Mendedahkan rahsia di sebalik tabir, Syanie, atau nama sebenarnya, Syaniza Hisham, memberitahu babak ikonik dirinya diangkat menggunakan trak tunda selepas jatuh longkang sebenarnya tiada langsung dalam skrip asal.

“Masa penggambaran babak saya jatuh longkang itu... kalau ikutkan skrip cuma cari jalan biasa untuk keluarkan saya.

“Tiba-tiba Abang Rosyam Nor dengan Rashid Sibir berpakat kenakan saya dengan panggil trak tunda!

“Saya memang terjerit terus kata ‘kurang ajar’ sebab betul-betul tak sangka.

“Tapi itulah yang jadi kenangan dan sorotan orang sampai sekarang,” katanya dalam laman web, Harian Metro.

Bukan sekadar adegan kelakar, malah perjalanan seninya turut dihiasi kenangan emosi.

Gandingan serasinya bersama Saiful Apek, 57 tahun, menerusi filem Cinta Luar Biasa, pernah membuatkan emosinya terganggu dek keakraban mereka yang sudah dianggap seperti adik-beradik.

“Ada satu babak Apek luahkan perasaan dekat watak Farah, lakonan Nasha Aziz.

“Habis sahaja babak itu, saya pergi ke belakang set dan menangis betul-betul.

“Apek cari saya dan tanya, ‘Kenapa menangis?’

“Rasa terkesan itu sebab kami terlalu rapat, jadi emosi itu terbawa-bawa.

“Tapi Apek pujuk dan cakap itu cuma lakonan sahaja,” katanya.

Di sebalik kejayaan dan kemampuannya bertahan dalam industri hiburan Malaysia, Syanie meletakkan ibunya yang juga penerbit drama dan filem terkenal pada era 1980-an, Ruhani Abdul Rahman, 77 tahun, sebagai tunjang utama yang membentuk disiplin dirinya sebagai anak seni.

“Mummy (panggilan buat Ruhani) adalah insan yang paling banyak mengajar saya bab disiplin kerja.

“Dulu, dia yang tolong baca saring skrip saya sebelum terima tawaran.

“Tanpa Mummy, tiadalah Syanie Hisham yang orang kenal hari ini,” ujar pelakon asal Kedah itu.

Selepas hampir dua tahun menyepi tanpa sebarang tawaran lakonan, khabar gembira kini menyapa peminat setia pelakon filem, Senario The Movie itu.

Syanie akhirnya kembali beraksi di depan kamera menerusi naskhah terbaharu di wadah Astro.

Lebih menarik lagi, kembalinya Syanie kali ini menyaksikan beliau disatukan semula dengan ‘pasangan’ serasinya, Saiful Apek, menerusi telefilem, Gitu-Gitu Apek: Return 2026.

Ia dijadual disiarkan menerusi saluran Astro Ria, pada 30 Ogos bermula 9 malam.

Mengulas mengenai kepulangannya ke set penggambaran, Syanie mengakui peluang itu ibarat menyuntik kembali semangat serta jiwa seninya yang sudah lama terendam.

“Bila dapat kembali ke set penggambaran, rasa seronoknya tak dapat digambarkan.

“Dah lama rasanya tak mendengar perkataan ‘action’, dapat berkumpul dengan kru dan rakan-rakan artis.

“Saya sangat rindukan suasana itu,” ujar Syanie.

Walaupun selesa dengan penampilan comel yang dibawanya sejak awal kemunculan dalam industri hiburan, Syanie turut memasang tekad untuk mengurangkan berat badan demi merealisasikan impian murni menunaikan ibadah haji.

Beliau akur kini mengamalkan kaedah puasa berselang-seli atau ‘intermittent fasting’ secara tekal sehingga berjaya menurunkan berat badan hampir 20 kilogram dalam tempoh beberapa bulan.

Langkah itu diambil selepas pemeriksaan kesihatan bagi urusan visa haji sebelum ini tidak melepasi syarat ukuran Indeks Jisim Badan (BMI) yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Sepatutnya saya dijadualkan menunaikan haji pada tahun ini (2026), namun disebabkan syarat ketat BMI daripada kerajaan Arab Saudi, hajat itu terpaksa ditangguhkan dahulu.

“Masa mula-mula buat pemeriksaan kesihatan awal tahun lalu (2025), berat saya sekitar 147 kilogram.

“Daripada situ, saya tekad amalkan ‘intermittent fasting’ ditambah pula dengan ibadah puasa Ramadan.

“Alhamdulillah, kini berat saya berada pada angka 130 kilogram,” kata Syanie.