Kemenangan album [Re.Hab] sebagai Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM 25) dianggap sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap fasa duka dan perjalanan panjang yang dilalui penyanyi, Aisha Retno, untuk kembali berkarya.

Aisha, atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, berkata penghasilan album itu berfungsi sebagai proses pemulihan diri selepas berdepan beberapa pengalaman sukar dalam kehidupan dan kerjayanya sebelum ini.

Pada 2025, Aisha pernah mengalami serangan panik hingga menyebabkan dirinya pengsan sewaktu membuat persembahan dalam program Talk To My Manager (TTMM).

Selain itu, pada 2024, konsert beliau, ‘Malam Sutera Aisha Retno’ telah dibatalkan dengan secara mendadak oleh pihak penganjur.

Justeru, beliau menyifatkan pengalaman tersebut sebagai ‘titik terendah’ yang beliau hadapi sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi.

“Saya sendiri masih tertanya-tanya bagaimana proses penjurian terhadap album ini.

“Namun, saya sangat berterima kasih kerana mungkin tujuan utama album ini memang untuk menjadi proses ‘rehab’ atau pemulihan kepada tragedi yang pernah berlaku pada diri saya, dua atau tiga tahun lalu.

“Mungkin ramai sudah tahu dan mengikuti perjalanan saya selama ini. Tetapi dengan ini, ia menjadi kebangkitan semula untuk saya terus berkarya,” katanya dalam laman Harian Metro.

Mengulas mengenai keistimewaan album [Re.Hab], pelantun lagu ‘Sutera’ itu percaya bahawa kepelbagaian genre yang dizahirkan menerusi satu album menjadi kekuatan utama yang memikat hati pendengar serta juri.

Aisha turut mendedahkan ibunya, Jean Retno Aryani, sebagai sumber inspirasi nombor satu dalam kerjaya seninya, selain sokongan padu daripada bapa serta adiknya yang turut disifatkan sebagai rakan perniagaan.

Menerusi kemenangan kategori Album Terbaik, Aisha berjaya menewaskan empat saingan hebat lain termasuk Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan ‘Gema Bumantara’ dan Shila Amzah dengan ‘Sa25’.

Dengan kemenangan tersebut, beliau telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000 ($62,696).

Secara keseluruhan, Aisha cemerlang membawa pulang tiga trofi pada malam kemuncak AIM 25 selepas turut meraih kemenangan bagi kategori Rakaman Album Terbaik serta Lagu Tempatan Bahasa Inggeris Terbaik menerusi lagu ‘O.R.B.I.T’.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti