Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemenangan Sharon Ismail lebih bererti kerana ‘Mencari Hajar’ dekat dengan kisah ibu sendiri

May 29, 2025 | 5:30 AM
Sharon Ismail, Pesta Perdana 2025
Sharon Ismail sebak mengenang pengalaman emas berlakon bersama pelakon legenda, Nora Samosir, dalam telefilem Aidiladha 2023, ‘Mencari Hajar’ – sesuatu yang dekat di hatinya kerana ibarat menceritakan perjalanan hidup ibunya yang dilahirkan Cina tetapi diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Melayu. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Wajah tenang pensyarah, pelakon dan pengacara, Sharon Ismail, bertukar menjadi terkejut apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Telefilem/Antologi pada Pesta Perdana 2025, yang berlangsung di Teater Mediacorp pada 24 Mei.

Beliau yang kadangkala mengimpikan dirinya memiliki klon untuk hadir di kampus Politeknik Ngee Ann dan di mana-mana set penggambaran, agar masa dan tumpuannya diberi sama rata untuk kededua kerjaya, benar-benar tidak menduga piala tersebut menjadi miliknya.

Sebabnya, beliau bersaing dengan pelakon mapan bukan calang-calang yang jauh berpengalaman seperti Hashimah Hamidon dan Rosita Hussin.

“Saya dewasa dengan menyaksikan kededuanya di kaca televisyen. Mereka memang pelakon yang hebat. Rosita sudah mula berlakon sebelum saya walau usia kami tidak jauh beza. Lakonannya memang ‘hidup’,” ujar Sharon.

Sebelum ini, Sharon, 51 tahun, pernah meraih Anugerah Pelakon Wanita Terbaik sebanyak tiga kali, iaitu bagi drama Sayang Semuanya, Rahsia Perkahwinan dan Ayah Kat Rumah.

Justeru, kemenangan sulung bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ini jauh lebih bermakna memandangkan jalan cerita telefilem Hari Raya Haji 2023, Mencari Hajar ini, cukup dekat dengan kehidupan peribadi ibunya, Cik Sallamah Abu Bakar, yang dilahirkan dalam keluarga Cina tetapi diambil sebagai anak angkat sebuah keluarga Melayu.

Ibu dan bapa saudara Sharon serta kenalan ibunya juga melalui pengalaman serupa dalam era tatkala ramai anak Cina diserahkan kepada keluarga Melayu atau India, kerana kegetiran hidup ataupun tanggapan sosial tentang bayi perempuan.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Sharon, yang pernah menulis buku tentang ibunya, What Sallamah Didn’t Know, berkata:

Mencari Hajar adalah projek seni yang dekat di hati saya sebab ia mengingatkan saya tentang apa yang dilalui mak, mak cik dan ramai wanita seperti mereka, yang diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Melayu.

“Kadangkala, tatkala mereka semua sudah berumur dan uzur serta lupa-lupa, masa terasa begitu singkat.

“Perkara sebegini adakalanya sulit untuk diceritakan tetapi kita tak nak cerita itu hilang begitu sahaja kerana pengalaman itulah yang mencorak mereka menjadi apa yang kita lihat kini.

“Tambahan pula, Mencari Hajar, menggandingkan saya dengan legenda dunia lakonan Singapura, Nora Samosir. Banyak babak membuatkan saya sebak meski mendengar dan berada di belakang tabir.”

Mencari Hajar adalah kisah wanita bernama Hajar yang dilahirkan sebagai seorang Cina tetapi diberikan kepada keluarga Melayu/Islam sebagai anak angkat.

Hajar (lakonan Nora) dibesarkan sebagai orang Melayu tetapi timbul pula isu percanggahan identiti ketika beliau dewasa.

Kisah silamnya mula ‘mengetuk’ pintu hatinya sedang Hajar mempersiapkan dirinya bagi mengerjakan haji.

Bagaimanakah dia menangani penemuan kisah silamnya yang sebelum ini disorok dan tersembunyi daripada pengetahuan ramai?

Menurut Sharon, beliau tidak dapat bayangkan betapa gementar dirinya yang berlakon sebagai anak Hajar, ketika dipertemukan buat kali pertama dengan Nora.

“Ada babak yang mana kami perlu menangis. Saya tak tahu bagaimana nak lakukan semua ini. Dalam hati berdebar-debar sebab tak mahu buat silap depan Nora.

“Tapi saya pujuk hati agar beri segalanya sebab bukan selalu dapat berlakon dengan seorang legenda.

“Entah bagaimana, Nora datang dari belakang dan memeluk saya. Kesan dipeluk Nora itu sahaja membuatkan saya terus menyerap watak yang dibawa dan menangis tanpa henti dan tanpa perlu dipaksa.

“Kalaulah usia saya ketika itu baru 20 tahun dan merupakan pelajar teater di universiti... agaknya dah pengsan dipeluk legenda macam Nora Samosir!

“Mujur saya dapat kawal perasaan teruja berkongsi set dengan beliau, yang secara kebetulan, juga tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi,” tambah Sharon.

Ibu dua anak remaja ini juga seronok kerana mengenali sebilangan besar kru penggambaran yang pernah menuntut di Sekolah Pengajian Filem dan Media di Politeknik Ngee Ann.

“Di sekolah, saya pensyarah dan mereka pelajar. Tapi di set, kami sama sahaja. Mereka buat kerja sebaiknya. Saya pun begitu juga, asal kami berkongsi misi serupa menjadikan kerja seni itu yang terbaik,” katanya.

Bagi Sharon, satu nikmat menceburi bidang lakonan di samping menjadi pensyarah media adalah pemahaman tentang dunia media yang pesat berubah.

“Kalau saya tak terlibat dalam bidang lakonan, bagaimana nak sampaikan kepada pelajar saya situasi dalam industri?

“Sebabnya, kerana perubahan teknologi yang menjejas landskap media sekelip mata, apa yang diajar di sekolah kini mungkin tidak lagi relevan dalam masa dua tahun ketika pelajar sertai pasaran kerja dalam sektor media.

“Jadi perlu bagi saya tahu perkembangan terkini dunia media dengan masih aktif dalam industri seni,” tambahnya.

Kini, beliau dalam perbincangan untuk menjayakan beberapa projek seni lain, yang belum dapat didedahkan butirannya secara terperinci.

Sharon, bagaimanapun, bersyukur masih lagi berpeluang menyumbang pada dunia televisyen Melayu dengan saluran Mediacorp Suria menyambut ulang tahun ke-25 pada 2025.

“Saya kira dengan usia Jubli Perak ini, stesen televisyen harus berani meneroka gaya penulisan naskhah televisyen yang baru.

“Harus ada kesediaan mencuba idea dan platform baru. Kita perlu keluar dari zon selesa dan buat yang lain daripada lain sebab penonton kita kini lebih terdedah dengan pelbagai pilihan wadah penstriman.

“Mereka lebih matang. Kita harus dan boleh terus kekalkan jiwa Melayu dan kepekaan pada isu Melayu dalam naskhah drama atau telefilem kita.

“Tapi tak salah kalau kita teroka dan bereksperimen dengan konsep lebih segar dan ikut contoh dunia televisyen Korea atau Cina yang sentiasa memastikan kerja seni mereka relevan dengan keperluan dan cita rasa penonton.

“Kita ada ramai pelakon mapan. Takkan asyik nak beri mereka watak datuk dan nenek, pesara dan suri rumah, yang boleh kita jangka. Mereka ada cerita mereka tersendiri. Manfaatkanlah sebaiknya pengalaman emas mereka,” tambah Sharon.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg